Thursday, March 24, 2011

Bakat luar biasa Adik-Adikku


Rosmah Mansor (kiri) bermesra dengan para pemenang di Pertandingan Akhir Program Realiti Adik-Adikku Musim Kedua di Pusat Konvensyen Antarabangsa di Putrajaya.


PADA malam itu, kita dapat melihat pelbagai bakat yang luar biasa ditunjukkan oleh para peserta akhir Program realiti TV Adik-Adikku yang menyebabkan para juri mempunyai tugas yang sangat sukar untuk memilih para pemenang.

Mereka bercerita, bersyarah, bersyair, bernasyid dalam nada-nada suara comel yang sungguh memikat hati para penonton.

Tetapi ternyata persembahan adik Muhammad Amirul Munir Azlin,10, Adik Syafiqah Fasiha Ahmad Safri,11 dan Adik Zaid Najmuddin Zul Akmal 11 yang akhirnya berjaya merangkul hadiah masing-masing yang pastinya menjadi dorongan kepada seluruh kanak-kanak yang lain untuk mengikut jejak mereka di program yang sama di musim-musim hadapan.

Namun pengumuman oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bahawa semua finalis program realiti TV, Adik-Adikku musim pertama dan kedua akan menerima imbuhan berbentuk geran pendidikan sebanyak RM2,4000 setahun sehingga ke Tingkatan 5 itu memberi makna yang amat besar kepada program terbabit.

Apa tidaknya, pada musim pertama tahun lalu, program tersebut berjaya menarik hampir sejuta penonton dan antara lima calon teratas bagi kategori Rancangan Realiti Terbaik dalam Anugerah Seri Angkasa baru-baru ini.

Pada tahun ini, imbuhan hasil sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapiem) itu dilihat mampu meletakkan program itu antara sumber utama untuk kerajaan mencungkil bakat, karisma, kepimpinan dan membentuk keyakinan diri di kalangan kanak-kanak lagi.

Ini kerana skim itu bukan hanya menyediakan program berbentuk akademik tetapi juga memberi penekanan kepada aspek kepimpinan dan motivasi, selain bantuan pelajaran bagi membolehkan pencapaian mereka dipantau secara lebih sistematik.

Ternyata usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meneruskan program realiti TV itu buat musim kedua pada tahun ini adalah berbaloi dalam mencungkil bakat baru dan memberi pendedahan mengikut lunas-lunas Islam.

Ia juga satu usaha yang amat positif dalam menarik minat generasi muda ke arah program berilmiah berbanding yang berbentuk hiburan semata-mata.

Selaras dengan objektif rancangan itu adalah memaparkan karisma kanak-kanak, mencungkil bakat yang boleh dibina dalam diri kanak-kanak serta dapat mendorong membentuk jati diri dan istiqamah dalam kepimpinan kanak-kanak.

Malah, Rosmah dalam ucapan penutup Siri Akhir Program Adik-Adikku Musim Kedua terbitan Jakim menyimpulkan bahawa kita memerlukan generasi pelapis yang berilmu dan berakhlak bagi menjadi tonggak untuk menerajui pembangunan negara.

"Di peringkat usia tersebut, daya pemikiran dan kebolehan pembelajaran mereka adalah yang paling cerdas, dan justeru itu, segala potensi yang ada dalam diri mereka perlu digilap dengan sebaiknya.

"Dalam mengharungi abad ke-21, Malaysia memerlukan generasi muda yang mampu mengatasi kerapuhan suasana persekitaran.

"Untuk itu, saya menyeru agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya sama-sama menyumbang bagi membina modal insan berkualiti dan bertaqwa,'' katanya di majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: