![]() |
| AZNIL turut mengundang anaknya, Firdaus Hariz Aznil yang menyanyi bersama-samanya untuk lagu Cari Jodoh. |
SELAMA 21 tahun menjadi seorang personaliti paling berjaya di negara ini, Aznil Nawawi sebenarnya sudah lama menyimpan hasrat untuk mengadakan sebuah konsert.
Mungkin kedengaran agak mustahil bagi seorang pengacara untuk mengadakan konsert tetapi apabila memperkatakan tentang Aznil, tiada yang mustahil dapat dilakukan oleh anak jati Kuala Lumpur itu.
Aura dan karisma pengacara nombor satu negara ini setiap kali berada di atas pentas memang tidak dapat dinafikan lagi dan Aznil sudah membuktikan bahawa tiada sesiapa yang mampu menggantikan tempatnya sehingga kini.
Sekali lagi, Aznil telah membuktikan kehebatannya sebagai pengacara unggul negara apabila dia berjaya menghiburkan hampir 8,000 orang peminat yang sanggup meredah hujan dan becak semata-mata mahu menonton konsert sulungnya, Konsert Hore! Hore! yang berlangsung di Padang Bola, Taman Titiwangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sepanjang dua jam menikmati persembahan Aznil pada malam tersebut, ternyata penonton tidak sedikit pun berganjak daripada tempat duduk masing-masing malah sabar menanti sehingga ke akhir konsert.
Terus-terang dikatakan, Aznil bukanlah seorang penyanyi yang hebat seperti penyanyi lelaki lain saat mendendangkan lagu-lagu sepanjang konsert berkenaan.
Malah, Aznil juga sebelum ini pernah memberitahu dan meminta peminatnya untuk tidak meletakkan harapan yang tinggi jika mereka hadir mahu menikmati nyanyiannya.
Tetapi, persona Aznil itu sendiri sebenarnya telah banyak menghidupkan perjalanan konsert berkenaan yang dianjurkan oleh RYE Production Sdn. Bhd. dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Astro selaku stesen penyiar rasmi.
Memulakan persembahan tepat pukul 8.45 malam, Aznil muncul di atas pentas dengan sekumpulan penari diketuai oleh Ahmad Kassan dengan berpakaian penuh warna-warni dengan lagu Hore Hore.
Walaupun sudah 21 tahun bergelar anak seni, namun wajah Aznil tidak dapat menyembunyikan perasaan gementar dan gugup sehingga dia kelihatan sedikit keras di atas pentas.
Meneruskan persembahan, Aznil kemudiannya menjemput pelakon cilik, Haziq yang pernah menjadi pasangan pengacara dalam rancangan Tom Tom Bak untuk menyampaikan lagu popular kanak-kanak, Papaku Pulang.
Kejutan pertama pada malam itu muncul apabila Aznil mengundang Azlan & The Typewriter untuk berduet dengannya menerusi lagu yang sama dengan susunan muzik yang lebih moden dan disuntik dengan nuansa rock.
Azlan & The Typewriter juga tidak menghampakan peminat dan audiens yang membanjiri lokasi tersebut dengan lagu klasik, Jeritan Batinku dengan gayanya yang tersendiri.
Seperti mana yang dijanjikan Aznil sebelum ini, lagu-lagu yang dipersembahkan untuk konsertnya itu mempunyai signifikan tersendiri dalam perkembangan kariernya.
Kali ini, dengan gaya tersendiri, Aznil menyampaikan empat buah lagu rock popular tahun 90-an secara medley iaitu Isabella, Umpama Mimpi Dalam Mimpi, Sejati dan Masih Aku Terasa.
Aznil turut menyampaikan lagu popular Ratu Rock Negara, Ella iaitu Dua Insan Bercinta yang merupakan lagu kegemaran Aznil dengan meniru gaya penyampaian Ella sehingga mendapat tepukan gemuruh.
Sebagai orang yang bertanggungjawab memperkenalkan nama Saiful Apek ke persada seni tanah air, Aznil tidak melupakan anak didiknya itu dengan mengundangnya ke atas pentas.
Nampaknya, aura pelawak itu masih belum pudar kerana dia masih memiliki pengaruh yang kuat apabila mendapat tepukan gemuruh daripada audiens.
Cuma, ketika Saiful Apek mengendalikan segmen bersama penari hip hop kanak-kanak, ia sedikit menghambarkan dan merencatkan perjalanan konsert yang baru hendak mencapai momentumnya.
Seperti mana yang diketahui ramai, Allahyarham Sudirman Arshad merupakan individu yang paling berpengaruh dalam hidup Aznil dan sebagai penghormatan, Aznil telah menyampaikan lima buah lagu popular seniman kreatif itu.
Apa yang mengharukan Aznil apabila kakak arwah Sudirman, Datin Rodziah Arshad dan keluarga sudi hadir menonton konsertnya pada malam itu dan membuatkan Aznil sedikit sebak.
Walaupun membawakan lagu-lagu seperti Hujan, Apa Khabar Orang Kampung, Pulang Dari Kilang, Dari Kerana Mata, Aku Penganggur dan Salam Terakhir, namun penyampaian Aznil tetap tersendiri dan tidak cuba hendak meniru penyanyi pujaannya itu.
Cuma, konsep persembahan Aznil sahaja mengambil inspirasi Penghibur Nombor Satu Asia itu yang menjadi tunjang kekuatan persembahan Aznil untuk segmen tribute itu.
Sebagai seorang penghibur dan seorang yang tidak pernah ketandusan idea dalam mempelbagaikan persembahannya, Aznil menjemput lima orang wanita ke atas pentas bagi menyempurnakan segmen lagu-lagu untuk wanita.
Lima lagu yang dipilih Aznil adalah Azura, Carol, Oh Fatimah, Azizah dan Kerana Percayakan Siti dan untuk menghangatkan persembahan menerusi segmen itu, Aznil telah menawarkan hadiah lumayan berupa barangan kemas tajaan Habib Jewels.
Mengambil kesempatan di atas populariti lagu Kalau Berpacaran, Aznil menjemput Ana Raffali dan Altimet untuk menyanyikan lagu itu dengan gaya mereka sendiri sebelum Ana membuat persembahan solo menerusi lagu popularnya, Tolong Ingatkan Aku.
Malam terus hangat apabila Aznil mengundang juara Akademi Fantasia musim kedua, Zahid untuk menyampaikan lagu Cik Mek Molek dan Gila Judi yang pernah dipopularkan oleh Datuk M. Daud Kilau.
Lebih menggamatkan apabila dua wanita dalam lingkungan 40-an diundang untuk menari mengiringi dua lagu berkenaan dan aksi mereka telah membuatkan penonton tidak kering gusi.
Jika sebelum ini, Aznil sering menampilkan kejutan dalam Akademi Fantasia, namun malam itu dia pula diberi kejutan oleh dua penyampai radio Era FM, Ray dan Haniff apabila perlu memegang seekor ular albino yang merupakan haiwan yang tidak digemarinya.
Dalam berhibur, Aznil sempat membuat amal jariah dengan menyampaikan cek berjumlah RM30,000 kepada seorang kanak-kanak, Ahmad Nazeef Ahmad Sabri yang menghidap jantung berlubang.
Semuanya adalah menerusi projek Hero Malaya yang diinisiatifkan oleh Aznil bersama beberapa artis lelaki popular negara lain.
Air mata Aznil tidak dapat dibendung lagi apabila Ray dan Haniff menjemput seluruh ahli keluarganya naik ke pentas bersama rakan-rakan seperjuangan Aznil serta mereka yang telah menjadi tulang belakang kejayaan selama ini dan menyanyikan lagu popular kumpulan Samsons, Kenangan Terindah.
Mengakhiri persembahan, Aznil menyampaikan lagu Toyol dan Profesor Klon yang merupakan pilihan terbaik untuk melengkapkan perjalanan Konsert Hore! Hore! yang cukup menghiburkan itu.
Bertemu dengan Aznil pada pertemuan singkat selepas berakhirnya konsert tersebut, sekali lagi air matanya tumpah dan dalam menahan sebak, Aznil memberitahu dia cukup terharu melihat sokongan yang diberikan oleh peminatnya.
Baginya, pengorbanan peminat yang sanggup mengeluarkan wang untuk membayar dan menonton konsertnya merupakan sesuatu yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata.
“Lebih-lebih lagi ada yang datang dari Sabah dan Sarawak, membuatkan saya tergamam dan hilang kata-kata. Mereka sanggup menonton persembahan saya walaupun saya ini bukan seorang penyanyi yang memiliki mutu vokal yang mantap seperti penyanyi lain.
“Alhamdulillah, saya bersyukur konsert sulung saya ini berjalan dengan lancar seperti mana yang diharapkan. Saya pernah berkata ini merupakan konsert pertama dan terakhir saya tetapi nampaknya kejayaan ini mendorong saya untuk meneruskannya di masa hadapan,” katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: