Saturday, March 26, 2011

Alam sekitar hanya pinjaman


Mahadi Mohamad menikmati keindahan sungai yang mengalir di tengah-tengah bandar seoul, yang asalnya sangat kotor dan berlumpur tetapi berjaya dipulihkan secara bersama seluruh rakyat korea Selatan.


TOKOH alam sekitar terkemuka negara yang juga Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Dr. Zaini Ujang berkata, environmentalisme atau alam sekitar menurut Islam adalah berasaskan kepada ajaran tauhid atau kefahaman kesatuan yang menggabungkan manusia, alam dan tuhan.

Menurutnya, agama Islam menjadikan akhlak sebagai teras hubungan antara manusia, alam dan tuhan. Menurut sebuah hadis Rasulullah, misi kerasulannya adalah menyempurnakan akhlak yang mulia.

"Berasaskan dasar itu, sebenarnya sebarang masalah atau pencemaran alam sekitar berpunca daripada kesempurnaan akhlak manusia terhadap dirinya, alam dan tuhan.

"Konsep manusia sebagai khalifah menunjukkan bahawa alam sekitar ini merupakan hak Allah dan ciptaan-Nya maka manusialah perlu melaksanakan misi dan amanah itu. Di samping itu, alam ini merupakan tanda yang tersirat atau simbol tentang kebesaran dan kekuasaan Allah," katanya.

Kata-katanya ini adalah petikan dalam kertas kerja oleh Mohamad Syafiqe Abdul Rahim dari Jabatan Syariah & Undang-Undang Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (2008). Ia bagi menjelaskan betapa erat dan rapatnya hubungan manusia dengan alam sekitar.

Malah menurut Mohd. Syafiqe, ada ulama yang mengatakan bahawa jasad manusia dijadikan daripada unsur yang telah bercampur melalui bahan makanan yang didapati daripada tumbuh-tumbuhan (Muhammad al-Mubarak, 1973).

"Dengan ini jelaslah kepada kita betapa jelas dan kompleksnya kejadian manusia dihubungkan terus dengan unsur-unsur bumi," katanya.

Namun fenomena ombak besar tsunami di Jepun, gempa bumi di New Zealand, kebakaran hutan di Australia, banjir dan hujan lebat di Arab Saudi dan berlakunya pelbagai lagi musibah alam sejak kebelakangan ini menimbulkan pelbagai petanda dan petunjuk.

Adakah kita benar-benar menuju ke akhir zaman yang Allah rahsiakan masa kejadiannya? Apa yang jelas, alam ini mampu berakhir hanya dengan dengan kerosakan yang diciptakan oleh manusia selaku penghuni alam ini sendiri.

Masih rendah

Kerosakan tersebut apabila bumi disifatkan sedang mengalami proses tua angkara radang kepanasan disebabkan kesan pemanasan global. Juga kesan rumah hijau (green house effect) yang berpunca daripada pelbagai kesan pencemaran alam sekitar yang berlaku di seluruh pelosok bumi.

"Bumi telah lama dirosakkan oleh kemajuan industri dan teknologi yang sangat pesat sehinggakan ibu bumi tidak lagi mampu menampung kesan dari harga kemodenan ini," kata Presiden Malaysia Go-Green Inisiative, Mahadi Mohamad.

Malaysia Go-Green Inisiative adalah platform sukarela yang ditubuhkan oleh beberapa syarikat bioteknologi Malaysia, syarikat multinasional, beberapa universiti tempatan, sejumlah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan yang terdiri daripada penggiat kepada kempen Go-Green dan penjagaan alam sekitar.

Ia mendapat kerjasama beberapa kementerian dan jabatan kerajaan khasnya Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air baru-baru ini.

Menurut Mahadi, dengan 60 peratus penduduk Malaysia beragama Islam, umumnya mempunyai kesedaran penjagaan alam sekitar yang masih rendah berbanding inisiatif oleh masyarakat antarabangsa.

"Tidak dinafikan adanya kempen di sana sini namun ia masih lagi bersifat sukarela dan tiada koordinasi di peringkat nasional.

"Usaha mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan kempen menjaga alam sekitar dan bumi masih belum diselaraskan secara strategik di Malaysia dan masih bersifat program dan acara," katanya.

Ini memberi idea kepada beliau untuk menyatukan semua kempen Go-Green dalam pelbagai aplikasi khasnya di kalangan masyarakat dan semua yang terlibat. Bukan hanya menumpukan kepada sektor teknologi hijau tetapi lebih kepada membina minda sedar dan prihatin terhadap visi dan misi Go-Green itu sendiri.

Tidak dinafikan pihak Barat atau lebih tepat lagi yang bukan Islam adalah juara dalam memperjuangkan isu-isu alam sekitar.

Mengikut sejarah, pengurusan alam sekitar di Barat bermula pada akhir kurun ke 19 kesan daripada Revolusi Industri.

Perkembangan itu bermula dengan tercetusnya kebimbangan ke atas kesan yang timbul daripada proses pembangunan ke atas alam sekitar. Oleh itu, mereka berusaha melalui pelbagai kaedah bagi mengawal kualiti alam sekitar daripada terjejas.

Namun, walau apa pun kaedah atau langkah yang diambil, mereka masih gagal menguruskan alam sekitar dengan berkesan.

Apa yang pasti, ini disebabkan gejala "pemencilan pengaruh keagamaan" sebagai salah satu faktor penyumbang kegagalan tersebut.

"Atas pengaruh ajaran yang sempurna, umat Islam sepatutnya lebih menjuarai sebagaimana di zaman tamadun kerajaan Islam seperti Umayyah, Abbasiah, Mughal, Sepanyol sehinggalah kepada Uthmaniah sebenarnya telah mendahului dalam soal penjagaan alam sekitar," kata Mahadi.

Tetapi apabila bercakap dalam abad sekarang, Barat lebih memimpin dalam soal ini.

"Sehinggakan jika kita pergi Masdar City, Abu Dhabi pasti kita akan kagum dengan tahap dan mutu kebersihan bandar moden itu sehingga berjaya digelar sebagai Green City.

"Tetapi sayangnya pencapaian tahap sebaik itu sebenarnya adalah usaha dari pihak syarikat-syarikat Barat yang menjadikan soal keindahan dan kebersihan antara yang boleh dikomersialkan dan memberikan keuntungan.

"Iaitu pelaburan yang menguntungkan di sebuah negara Arab yang moden dan kaya" kata Mahadi.

Begitu juga di kebanyakan negara-negara Arab Islam moden yang lain, soal kebersihan dan lestari alam sekitar mereka adalah hasil dari kepakaran pihak bukan Islam.

Namun kata Mahadi, untuk tempoh terdekat ini, tanpa mempunyai banyak pilihan umat Islam turut terpanggil untuk menyambut satu hari yang sangat bermakna dalam soal menyelamatkan bumi ini.

Kebetulan esok adalah sambutan Hari Earth Hour 2011 Peringkat Malaysia yang dianjurkan oleh pertubuhan alam sekitar Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

"Satu sambutan yang sangat signifikan untuk kita semua umat Islam turut menyertainya, iaitu dalam usaha kita menangani krisis perubahan cuaca di seluruh dunia.

"Ia tidak sekadar satu simbol tetapi ada kesannya yang sangat positif terhadap penggunaan tenaga karbon dan sebagainya yang begitu berlebihan sehingga menjejaskan kualiti alam," katanya.

Ini apabila kita hanya diminta menutup semua suis lampu dan dibiarkan bergelap selama sejam, iaitu bermula pukul 8.30 malam sehinggalah 9.30 malam esok.

"Tempoh bergelap ini mampu mengurangkan darjah kepanasan bumi walaupun tidak begitu signifikan kerana apa yang penting ialah mesej yang hendak disampaikan," kata Mahadi.

Ia menunjukkan betapa pentingnya kerjasama semua pihak dalam memastikan bumi masih sesuai didiami dan dihuni oleh generasi anak-anak pada masa akan datang.

Tidak boleh tidak, hakikat pahitnya kini usaha Go-Green di peringkat dunia sekarang ini dimulakan dan diusahakan secara serius oleh kalangan bukan muslim, bukannya ummat Islam itu sendiri yang menjadi khalifah di muka bumi ini.

"Segala teknologi hijau dan kempen bertaraf antarabangsa semuanya dimiliki dan dikelolakan oleh barat dan bukannya kita. Sebagai contoh yang mudah ialah apa yang berlaku di Timur Tengah. Negara-negara Arab membelanjakan bilion dolar untuk menggunakan aplikasi teknologi hijau yang semuanya datang dari negara Barat," katanya.

Ini mungkin disebabkan sikap dan cara berfikir umat Islam sebahagian besarnya masih melihat isu menjaga alam sekitar dan bumi ini ialah urusan dunia, bukannya berkaitan dengan amanah yang akan dinilai di akhirat nanti.

"Dunia Islam lebih sibuk dengan soal perbezaan mazhab, menangani isu pengganas dan ekstremis, peperangan demi minyak, kemiskinan dan sebagainya sehingga tidak terserlah usaha umat untuk menjuarai soal menjaga alam sekitar dan bumi yang tunggal ini," kata Mahadi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment