Friday, February 4, 2011

YPM laksana Program Anjung Ilmu


ROSLI Mat Hassan (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM26,850 kepada Mohd. Salleh Hamden untuk disampaikan kepada 179 anak yatim Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak di Kuching, baru-baru ini.


Sebagai organisasi yang bertindak selaku pelengkap pendidikan bumiputera, Yayasan Pelajaran Mara (YPM) melaksanakan Program Anjung Ilmu bertujuan membantu anak-anak yatim seluruh Malaysia memperoleh kecemerlangan dalam bidang pelajaran.

Usaha itu juga bertujuan melahirkan anak-anak yatim yang berilmu, berpengetahuan, berkemahiran, mantap taraf sosioekonomi, mempunyai keperibadian mulia serta bermanfaat kepada bangsa Melayu dan masyarakat.

Pengerusinya, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan berkata, YPM akan melaksanakan Program Anjung Ilmu di 52 rumah anak yatim di bawah Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) dan 10 rumah anak yatim persendirian.

Menurutnya, pelaksanaan program dengan peruntukan sebanyak RM4 juta itu bermatlamat memberi kemudahan pembelajaran kepada anak-anak yatim selain memupuk sikap membaca dan cintakan ilmu pengetahuan di kalangan mereka.

"Strategi di bawah Program Juara Rakyat-Pendidikan YPM yang dahulunya dikenali sebagai Program Kecemerlangan Ilmu dan Pendidikan (PKIP) itu akan dilaksanakan di 222 kawasan Parlimen seluruh negara.

"Ia bertujuan mempertingkatkan kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar bumiputera di setiap peringkat," katanya kepada Utusan Malaysia selepas lawatan ke Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak di Kuching baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Sharif Hamid; Pengurus Kebajikan Laila Taib, Mohd. Salleh Hamden dan Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Sarawak (TCS), Azri Abdul Rahman.

Dalam lawatan itu juga, YPM telah memberikan sumbangan wang tunai kepada 179 anak-anak yatim di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak yang kesemuanya berjumlah RM26,850.

Selain itu, rumah anak yatim tersebut juga adalah yang pertama di Sarawak yang akan melaksanakan Program Anjung Ilmu. TCS telah dilantik sebagai pihak bertanggungjawab ke atas pelaksanaan program tersebut.

Rosli berkata, melalui Program Anjung Ilmu itu, YPM akan menyediakan kelas bimbingan, makmal komputer dan mini perpustakaan bagi mendidik seterusnya melahirkan anak-anak yatim yang berjaya dalam bidang pelajaran.

"Semoga usaha ini dapat membantu melahirkan anak-anak yatim yang berilmu, berpengetahuan, berkemahiran, mantap taraf sosioekonomi, mempunyai keperibadian yang mulia serta bermanfaat kepada negara," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, bermula tahun ini, YPM akan memberi tumpuan ke arah pemantapan pendidikan terutamanya yang melibatkan anak-anak di Sabah dan Sarawak.

"YPM sedia maklum ramai anak- anak di Sabah dan Sarawak yang masih ketinggalan dalam bidang pendidikan.

"Tumpuan ini juga selaras dengan hasrat Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk memastikan rakyat di Sabah dan Sarawak tidak ketinggalan dalam pendidikan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: