Friday, February 11, 2011

Wajib nasihati ayah bersolat


SOLAT merupakan talian hayat kita dengan Allah, justeru ingatkan ahli keluarga kita supaya taati kewajipan bersolat.


AYAH saya berusia 54 tahun dan agak liat untuk menunaikan solat lima waktu. Jika ibu saya menasihatkannya, dia akan mula meninggikan suara dan bergaduh. Bagaimanakah cara untuk menyuruhnya bersolat?

JAWAPAN: Seorang ayah wajib menjadi contoh yang baik kepada isteri dan anak-anak.

Begitu juga dalam hal ibadah yang merupakan tanggungjawab berupa fardu ain kerana setiap ahli keluarga wajib diajar dalam hal solat dan perkara-perkara berkaitan hukum. Ingatlah solat itu merupakan talian hayat kita dengan Allah.

Dalam al-Quran banyak ayat yang menerangkan azab bagi orang yang meninggalkan solat. Antaranya firman Allah dalam surah Al-Ma'un ayat 4-5 yang bermaksud:

"Maka celakalah atau lubang dalam neraka bagi orang yang sembahyang, iaitu orang yang lalai dan meninggalkan sembahyangnya." Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud, "Siapa yang meninggalkan solat maka seumpama telah binasa keluarga dan hartanya." (Hadith Riwayat Ahmad)

Solat itu tanda ketaatan kita sebagai hamba kepada Allah. Imam Muslim meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W pernah bersabda, "Sesungguhnya sempadan seseorang itu dengan syirik dan kafir ialah meninggalkan solat."

Sehubungan itu, seorang anak wajib menasihati dan mengingatkan ahli keluarga kita supaya taat akan kewajipan solat.

Berikan ingatan akibat meninggalkan solat dengan perbanyakkan amalan soleh sebelum nyawa terpisah daripada jasad. Harta dan kesenangan dunia akan ditinggalkan. Menghadap Allah dalam keadaan papa kedana dengan pahala tetapi kaya dengan dosa dan maksiat mengundang murka dan azab yang tidak terperi sakitnya.

Jamak apabila keluar kawasan

KALAU saya datang dari Permatang Pauh dan menaiki bas di Butterworth ke Pahang, bolehkah saya solat jamak Zuhur dan Asar kerana di Permatang Pauh ketika itu masuk waktu Zuhur.

JAWAPAN: Diharuskan solat Jamak atau diqasarkan dengan tujuan perjalanan yang baik dan bukan tujuan maksiat kerana mereka menanggung kesulitan seperti orang musafir.

Mengikut pendapat Mazhab Syafie, harus jamak solat kerana musafir yang lama perjalanannya sama ada jamak takdim atau takhir. Perjalanan yang dibolehkan untuk melaksanakan rukhsah sejauh dua marhalah atau 90 kilometer (km).

Ia merupakan satu bentuk rukhsah (keringanan) kepada umat Islam dalam melaksanakan ibadah. Ini menunjukkan bahawa solat itu wajib dilaksanakan walau dalam apa jua keadaan sekalipun sebagaimana hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

"Solat itu tiang agama. Sesiapa yang mendirikannya maka dia telah menegakkan agamanya kemudian sesiapa yang meninggalkannya maka dia telah meruntuhkan agamanya." (Riwayat Al-Baihaqi)

Permulaan musafir seseorang itu dikira daripada waktu keluar dari sempadan tempat tinggal (kariah) sama ada sempadan itu berbentuk kota, parit atau sungai.

Jika anda telah sampai ke Butterworth anda diharuskan melakukan solat jamak kerana telah keluar dari kawasan. Pastikan anda telah berada dalam perjalanan untuk bersolat jamak dengan niat yang baik. Allah amat menyayangi umat-Nya sebagaimana hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah menyukai rukhsah-Nya dilaksanakan sebagaimana Allah membenci maksiat dilakukan." (Riwayat Ahmad)

Derma hasil judi

RAKAN saya suka berjudi dan dia selalu menghulurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan daripada hasil judi tersebut. Apakah hukum sumbangan hasil judi itu?

JAWAPAN: Perjudian adalah perbuatan yang dilaknat oleh Allah dan hukumnya adalah haram. Maka hasilnya juga dilaknat dan haram. Allah menjanjikan azab bagi manusia yang hidup dengan rezeki yang haram seperti sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:

"Sesungguhnya daging yang dibesarkan dengan perkara yang haram, maka nerakalah yang lebih utama untuknya." (Riwayat at-Tabrani)

Sehubungan itu, Islam menutup pintu-pintu ke arah perjudian (sad zarai') kerana ia memudaratkan kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang arak dan judi, katakanlah: Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya." (Surah al-Baqarah: ayat 219)

Perlu ditegaskan, di dalam Islam matlamat tidak menghalalkan cara. Mendermakan harta haram bukan jalan untuk menghalalkan harta tersebut.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

"Barang siapa yang mengumpulkan harta yang haram kemudian mendermakannya, tiadalah baginya sebarang pahala (kerana harta itu bukan hartanya) dan kekal menanggung dosa (sehingga bertaubat)." (Riwayat Al-Hakim)

Biarlah harta yang sedikit tetapi daripada sumber yang halal dan berkat.

Syirik percaya petua

MASYARAKAT kita sering melakukan petua yang pelbagai. Baru-baru ini ibu saya meletakkan benda-benda tajam seperti pisau dan gunting di bawah tilam anak buah saya yang baru lahir kononnya mahu mengelakkan perkara-perkara tidak sepatutnya. Bagaimanakah pandangan Islam dalam hal ini?

JAWAPAN: Islam sangat menitikberatkan soal akidah dan syariat. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber yang asal seperti al-Quran, hadis, ijmak dan qias ditolak oleh Islam.

Masyarakat kita memang diakui begitu banyak petua dan pantang larang dalam kehidupan. Namun, ada juga petua dan pantang larang yang bercanggah dengan akidah. Sebagai contoh, meletakkan benda tajam seperti pisau dan gunting di bawah tilam dipercayai terhindar perkara-perkara buruk jelas bercanggah dengan syariat dan akidah.

Malah, sekiranya ia merupakan suatu kepercayaan yang boleh merosakkan akidah adalah haram. Sebenarnya bahaya atau nahas itu bukan ditentukan oleh manusia yang lemah. Allah lebih mengetahui bila dan apa jua yang akan berlaku kerana Dia-lah yang menyusun-atur kehidupan makhluk di dunia ini.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman dan bertawakkal." (Surah At-Taubah: ayat; 51).

Sesungguhnya, setiap makhluk di dunia ini tidak memberi kesan kepada yang lain melainkan dengan izin Allah. Sesuatu amalan itu mestilah tidak bertentangan dengan dalil dan nas-nas daripada al-Quran dan hadis di samping kajian saintifik yang tidak bertentangan dengan hukum Allah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: