![]() |
| Ahmad Ramli Mohd. Yahya, diperhatikan Mohamad Nasir Mohamad Ibrahim (kiri) dan Abu Hassan Ahmad menunjukkan produk USM-AR2 di Pulau Pinang, semalam. |
PULAU PINANG 9 Feb. - Sekumpulan empat penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menemui kaedah baru dalam industri penyulingan dan penulenan petroleum yang mampu menjimatkan kos penghasilan bahan bakar tersebut.
Ketua kumpulan penyelidik berkenaan, Dr. Ahmad Ramli Mohd. Yahya dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat berkata, inovasi yang dikenali sebagai USM-AR2 itu berpotensi digunakan secara meluas oleh negara-negara pengeluar minyak termasuk Malaysia.
Mengulas fungsi USM-AR2 beliau berkata, produk biosintetik semulajadi tersebut yang dihasilkan oleh mikrob tempatan akan ditambah ke dalam minyak mentah petroleum sebelum berlakunya proses penyulingan.
Jelas beliau, dengan menggunakan USM-AR2, masa penyulingan mampu dijimatkan sehingga 50 peratus serta mengurangkan penghasilan tenaga berbanding teknologi konvensional penyulingan minyak mentah kepada minyak boleh guna seperti petrol, diesel dan kerosin yang mengambil masa panjang selain menggunakan tenaga haba yang tinggi.
"Sebagai contoh, proses konvensional memakan masa kira-kira 103 minit pada suhu antara 160 hingga 200 darjah celsius manakala proses diperbaiki dengan USM-AR2 hanya 38 minit pada suhu 110 hingga 160 darjah celsius.
"Kandungan tenaganya pula tidak banyak berubah iaitu 11.87 (konvensional) dan 12.05 (USM-AR2) manakala hasil komponen-komponen yang ada pada kedua-duanya pula serupa," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir tiga penyelidik bersama dalam projek itu, Prof. Madya Mohamad Nasir Mohamad Ibrahim dari Pusat Pengajian Sains Kimia dengan dibantu dua penuntut, Nur Asshifa Md. Noh dan Salwa Mohd. Salleh dan Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, Prof. Abu Hassan Ahmad.
USM-AR2 merupakan hasil penyelidikan selama tiga tahun dengan kos hanya RM20,000 menerusi Geran Pendek USM.
Menurut Ahmad Ramli, penambahan USM-AR2 dalam minyak mentah tersebut membantu proses emulsi, mengurangkan ketegangan permukaan dan kelikatan minyak yang sekali gus mempercepatkan proses penyulingan dan menjimatkan tenaga.
Kata beliau, hasil penjimatan tenaga itu menyumbang kepada pengurangan kos dalam pemprosesan petroleum dan boleh memberi impak besar kepada ekonomi sesebuah negara pengeluar minyak.
Jelasnya, bahan USM-AR2 boleh dihasilkan dalam bentuk cecair atau serbuk dan bersifat stabil serta boleh disimpan pada suhu bilik sehingga tempoh antara 10 hingga 11 minggu.
"USM-AR2 yang telah dipatenkan dua tahun lalu turut memenangi pingat gangsa pada Pameran BioMalaysia 2010 di Kuala Lumpur baru-baru ini," katanya.
Kata Ahmad Ramli, penghasilan USM-AR2 dalam skala besar akan menyumbang kepada lebih penjimatan kos seterusnya membolehkan lebih banyak ujian dan aplikasi dijalankan termasuk di peringkat industri.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: