
ERA 60-an membawa pengaruh yang bukan sedikit buat khalayak dalam aspek fesyen dan muzik. Malah tahun tersebut memberi penyegaran dan memperkenalkan khalayak kepada banyak kugiran seperti Zurah II, The Siglap Five, Kumpulan Pancharagam Ramlie, Kumpulan Orkes Teruna Ria dan banyak lagi.
Mengimbau kembali kenangan lalu, Belbis Sdn. Bhd. dan Lokman Ghani merancang membawa peminat mengembara ke zaman tersebut dengan membawakan teater Kenangan Mengusik Jiwa ke Istana Budaya (IB).
Bakal menampilkan Sohaimi Meor Hassan sebagai salah seorang penyanyi undangan dalam teater tersebut, penyanyi malar segar seperti A. Halim, L.Ramlee, Fatimah M. Amin, J. Sham dan Datuk Ahmad Jais akan dibawakan khas ke pentas IB istimewa buat semua.
Bagi mendapatkan teraju-teraju dalam konsert yang berlangsung pada 1 hingga 5 Jun nanti, satu uji bakat diadakan semalam dan ia berlanjutan hingga hari ini di IB.
"Kami mahu mencari pelakon-pelakon teater yang mampu menyanyi, menari dan berlakon mengikut rentak 60-an. Para artis juga digalakkan datang hari ini untuk sebuah sesi uji bakat khas," ujar Pengarah Urusan Belbis, Afandy Alis.

Jelasnya, uji bakat itu diadakan seawal 10 pagi mulai semalam hingga lewat petang hari ini.
Pengarah Kenangan Mengusik Jiwa, Lokman Ghani menjelaskan, teater itu akan mengutamakan jalan cerita yang menjadikan lagu sebagai isi dan perjalanan teater tersebut.
"Lagu-lagu yang dipilih nanti adalah lagu yang sesuai dengan jalan cerita," ulas Lokman tentang teater yang bakal berdurasi satu jam lebih ini.
Muzikal itu menampilkan kira-kira 50 pelakon yang merangkumi 10 pelakon utama, 20 pelakon pembantu dan selebihnya penari.
"Kita mahu teater ini dapat mencipta sejarah tersendiri seperti mana teater muzikal Grease atau Saturday Night Fever dapat menangkap perhatian ramai," ujar Lokman tentang projek pertama IB ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: