
Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru.
Mercun pula akan dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.
Sambut sederhana kerana banjir: David Teo, Penerbit
“Tahun ini saya terpaksa menyambut Tahun Baru Cina dalam suasana hujan dan banjir di Segamat, Johor Bharu. Rumah keluarga saya selamat, tetapi rumah keluarga mertua saya dinaiki air setinggi lima meter. Jadi tahun sambutan akan diadakan secara sederhana sahaja.
Hari Jumaat saya akan pulang ke Kuala Lumpur kerana pada sebelah malam saya terlibat dengan program Raja Lawak. Nak buat rumah terbuka juga mungkin tak sempat kerana saya jadual saya padat dengan pelbagai program.
“Tahun ini saya sediakan RM100, 000 untuk keluarga, saudara-mara, rakan-rakan, artis dan pekerja saya.”
Pertama kali sambut bersama anak: Amber Chia, Model Antarabangsa
“Tahun Baru Cina kali ini yang paling bermakna buat saya memandangkan saya telah bergelar isteri dan ibu. Tentunya persiapan tahun ini lebih ditumpukan kepada anak saya, Ashton Wong yang kini berusia empat bulan.
Tahun ini juga merupakan tahun pertama saya menyambut Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur. Selalunya saya akan pula meraikan di Tawau, Sabah. Jadi tahun ini keluarga dan sanak saudara yang akan turun ke Kuala Lumpur.
Saya juga sudah menyiapkan angpau untuk diberikan kepada keluarga, rakan dan tetamu yang datang. Pada hari ketiga pula saya akan membuat rumah terbuka secara sederhana untuk keluarga dan rakan-rakan.
Pada semua rakyat Malaysia khususnya yang berbangsa Cina, saya ucapkan Selamat Tahun Baru Arnab, semoga tahun ini membawa sinar kebahagiaan dan rezeki yang baik kepada semua.”
Tempah masakan Melayu: Nancy Foo, Pengacara
“Tahun ini sambutan dan persiapan masih seperti biasa dan saya akan berkumpul bersama keluarga dan sanak-saudara di Kuala Lumpur. Saya tidak sabar menanti kepulangan anak sulung dari Melbourne, Australia dan saudara dari Hong Kong.
“Bagi mencari kelainan, pada hari pertama Tahun Baru Cina, saya sudah menempah masakan Melayu seperti nasi kunyit, rendang, sambal udang, kari ayam, sate. Bukan mahu melupakan makanan tradisi tapi kadang-kala muak jika makan menu yang sama selama beberapa hari berturut-turut.
“Tetapi saya juga masih mengekalkan tradisi seperti memastikan ahli keluarga saya memakai baju baru pada hari pertama Tahun Baru Cina dan memakai warna-warna yang terang bagi memastikan tuah pada diri sendiri dan keluarga.”
Masa berkumpul bersama keluarga: Janet Khoo, Pelakon
“Saya akan menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga di Penang. Bagi saya pada musim perayaan seperti inilah saya dapat berkumpul bersama keluarga dan sanak saudara, memandangkan saya sibuk dengan penggambaran.
“Saya buat persiapan secara sederhana dan memandangkan tahun ini rezeki saya dapat lebih sedikit jadi saya sudah siapkan peruntukan angpau untuk keluarga dan rakan yang datang ke rumah.
“Saya juga membeli pelbagai makanan seperti ikan yang besar untuk disimpan dan dijamu kepada tetamu yang hadir. Masyarakat Cina percaya membeli pelbagai makanan pada sambutan tahun baru akan membawa rezeki yang banyak kepada kami.
“Keluarga saya tidak pernah membuat rumah terbuka tetapi pintu rumah kami sentiasa terbuka menanti tetamu yang hadir.”
Sambut Tahun Baru di Bali: Bellinda Chee, Pengacara
“Tahun ini saya akan menyambut Tahun Baru Cina di Bali, Indonesia bersama suami dan keluarganya. Sudah lama saya tidak mendapat cuti panjang pada Tahun Baru Cina kerana bekerja, jadi bila ada kesempatan seperti ini, saya gunakan sepenuhnya.
“Rutin menyambut tahun baru di luar negara memang sudah menjadi kebiasaan kami sekeluarga kerana menggunakan peluang ini menziarahi saudara-mara yang menetap di luar negara.
“Malah sebelum saya berkahwin, saya pernah ke Perth, Australia menziarahi saudara. Mereka membawa kami menangkap ketam dan ketam itu menjadi hidangan makan malam kami, itu adalah kenangan yang tidak dapat saya lupakan.”
Ambil peluang pergi bercuti: Hannah Tan, Model/Pengacara
“Saya akan pulang ke Kuching esok (hari ini) untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga. Lebih manis lagi adik saya yang kini menuntut di New Zealand juga akan pulang meraikan tahun baru bersama saya.
“Kami merancang untuk mengunjungi Taman Orang Utan pada hujung minggu ini. Walaupun sudah beberapa kali pulang ke Kuching, kami masih belum berkesempatan ke sana.
“Jika bercerita tentang kenangan yang tidak dapat dilupakan masa kecil, saya masih ingat kenangan bermain bunga api di kampung saya di Melaka semasa saya kecil.”
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: