Saturday, February 5, 2011

Tetamu Tanah Api dan Ais


DERUAN air terjun menyambut pengunjung ke Gulfros.


KENAPA Iceland? Dalam banyak-banyak negara, mengapa mahu ke sana, apakah keistimewaanya?

Itulah pertanyaan yang sering dianjukan oleh teman-teman kepada saya dan suami, Faizal Mahmood, 38, tatkala kami merancang percutian ke negara yang paling utara di dunia itu.

Apa yang pasti, Iceland yang terletak di garisan Bulatan Artik dan di pergunungan berapi yang paling aktif di dunia benar-benar memikat hati kami. Setakat ini, hanya terdapat dua syarikat penerbangan yang menawarkan penerbangan ke Iceland iaitu Icelandair dan Iceland Express.

Kembara kami bermula dari London Heathrow yang memakan masa lebih kurang tiga jam. Sebaik tiba di lapangan terbang Keflavik, pandangan kami tertumpu kepada gunung-ganang yang mengelilinginya seolah-olah seperti padang jarak padang terkukur.

Namun perasaan ingin tahu semakin membara, bagaimanakah agaknya rupa Iceland secara keseluruhan. Perjalanan ke Reykjavik, ibu negaranya memakan masa selama satu jam.

Bandar yang menempatkan 70 peratus daripada keseluruhan penduduk Iceland itu kelihatan sangat tenang dan agak sunyi. Penduduk Iceland secara keseluruhannya hanya 313,00 orang dan keluasannya sebesar England.

Selebihnya penduduk Iceland bermaustatin di Akureyri, sebelah utara dan sekitar pantainya. Disebabkan populasinya yang rendah, Perdana Menteri Iceland juga turut tersenarai dalam buku panduan telefon. Menarik bukan?

Menurut sejarah, Iceland merupakan salah sebuah negara yang paling muda dan Ingolfur Arnarson adalah orang pertama yang menjadi penduduk tetapnya. Kebanyakan yang berhijrah ke Iceland datangnya dari Scandinavia dan Norway.

Biarpun struktur geografinya yang bergunung-ganang dan sentiasa sejuk, Iceland tetap menarik dan mampu memberi kelainan sebagai destinasi percutian.

Pakej pelancongan popular

Pelbagai pakej pelancongan yang ditawarkan tetapi yang paling popular sekali adalah Golden Circle Tour. Pakej itu memakan masa hampir sembilan jam yang bermula dengan Pingvellir National Park. Apa yang paling menariknya di sini, struktur geografi rift valley yang menandakan Amerika Utara dan benua Eropah terpisah.


PENULIS menyimpan impian mahu menjelajah ke utara dan timur Iceland.


Kami rasa bertuah kerana berada di dua buah benua dalam masa yang sama. Perhimpunan Agung yang terawal dikenali sebagai Alping dan Deklarasi Kemerdekaan juga mencatat sejarahnya di Pingvellir. Biarpun terkejut dengan tiupan angin yang sangat sejuk hingga kebas menusuk ke tulang, kami gagahkan juga untuk berjalan di kawasan sekitarnya.

Perjalanan kami diteruskan ke Gulfoss atau Golden Falls, air terjun yang sangat deras dan menyebabkan kami tidak sanggup mendekatinya, takut-takut tergelincir.

Itupun hampir basah kami dek tempiasnya. Disebabkan angin sejuk yang semakin tidak tertahan itu, kami berlari masuk ke kafe berdekatan. Sempat juga alas perut dengan coklat panas dan mufin. Baru lega dan ada tenaga balik.

Sesudah itu, kami di bawa ke Geysir, pancutan air panas yang terbentuk sejak beribu-ribu tahun lalu. Bayangkan pancutan air panas setiap lima minit itu bersuhu antara 80 hingga 100 darjah Celcius, tetapi tempat kami berdiri untuk menyaksikannya dilitupi ais.

Patutlah Iceland dikenali sebagai The Land of Fire and Ice. Kejadian pancutan ini masih lagi menjadi perdebatan dalam kalangan pakar geologi.

Dalam perjalanan pulang ke Reykvajik, kami berhenti sebentar di Skaholt yang menempatkan gereja yang menjadi penempatan terbesar pada kurun ke-13. Kini tapak gereja itu telah dibaikpulih pada tahun 1963, sejak ia musnah pada kurun ke-18 akibat gempa bumi.

Kami juga berpeluang melihat dari jauh gunung berapi yang meletus baru-baru ini, Eyjafjallajokull. Menurut penduduk tempatan, gunung yang dijangka meledak ialah Hekla, tetapi sangkaan mereka ternyata meleset. Ledakan yang melumpuhkan sistem penerbangan antarabangsa itu benar-benar membuktikan betapa besarnya impak letusan itu.

Di samping itu juga, kami berpeluang 'bermesra' dengan kuda-kuda Iceland yang sangat jinak dalam perjalanan pulang ke bandar Reykvavik.

Lokasi-lokasi menarik


BERMESRA dengan kuda-kuda Iceland yang jinak ketika dalam perjalanan pulang.


Ada satu lagi tarikan popular di Iceland ialah Northern Light atau dikenali sebagai Aurora Borealis. Kejadian ini biasanya dapat disaksikan semasa musim sejuk.

Jika anda bertuah, anda akan dapat saksikan cahaya seolah-olah terbentang di ruang angkasa yang berwarna hijau dan merah. Kejadian itu juga menandakan betapa jauhnya anda mengembara menghampiri kutub utara.

Keesokannya, kami menghabiskan masa di tempat-tempat yang menarik di sekitar bandar Reykvajik. Tasik Tjornin yang menjadi nadi kepada bandar itu kelihatan sangat tenang dan indah. Ia menempatkan Dewan Bandaraya Reykjavik.

Selain itu, terdapat sebuah gereja yang tertinggi di Iceland, Hallgrimskirkja, yang menyediakan dek untuk melihat pemandangan di sekitar Reyjkavik.

Jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Iceland, terdapat sebuah muzium yang menceritakan mengenai penemuan Iceland di, Reykjavík 871 +/-2 Settlement Museum.

Bagi anda yang gemar membeli-belah, sepanjang jalan Laugavegur anda akan disajikan dengan butik-butik pereka tempatan, restoran, kafe, kedai cenderamata dan sebagainya.

Secara jujurnya, Iceland bukanlah tempat untuk membeli-belah, memandangkan harganya yang agak mahal. Bagi anda yang ingin menikmati pemandangan pergunungan salji yang terbentang luas, anda boleh berjalan-jalan di sepanjang Saebraut yang menempatkan arca yang paling popular, Solfar (Sun Voyager).

Untuk mengakhiri percutian anda di sini, anda juga boleh berkunjung ke kolam air panas yang ada merata-rata di sekitar Revjkavik. Tetapi yang paling popular dan sinonim dengan Iceland ialah The Blue Lagoon.

Jika sekiranya kami diberi kesempatan sekali lagi, sudah pasti kami akan menjelajah ke sebelah utara dan timur Iceland yang kami rasakan sangat istimewa dan menawarkan kelainan yang mungkin tidak ada di tempat lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: