
KERINDUAN Norhaslinda Soyed semakin membuak-buak, sudah hampir seminggu dia tidak bersua muka dengan Hidago. Bukan dia tidak mahu menghabiskan masa bersama teman barunya itu, kerana kalau diikutkan hati, setiap hari dia mahu berdamping dengan Hidago.
Namun, jadual kerja yang tidak menentu serta kesibukan tugas sebagai pelayan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara mengehadkan masanya.
Gadis berusia 23 tahun itu mengakui, ketika awal pertemuan, dia agak bimbang untuk berdamping dengan Hidago yang mempunyai ketinggian hampir dua meter, bertubuh tegap dan sasa.
Selepas berkenalan hampir dua bulan yang lalu, barulah dia sedar temannya yang berasal dari Argentina itu manja, tidak banyak kerenah dan mudah mendengar kata.
Lebih penting, kehadiran Hidago telah mendedahkan Norhaslinda tentang keseronokan menunggang kuda, sukan riadah yang begitu asing kepada dirinya sebelum ini.
Sejak itu, saban minggu jika mempunyai kelapangan, dia pasti 'bermesra' dengan Hidago yang terletak di Teratak Kuda Asli berhampiran Kampung Orang Asli Bukit Lagong, Gombak, Selangor.
Lengkap berkasut but kulit hingga ke paras lutut dan bertopi keselamatan, Norhaslinda tangkas melompat ke atas pelana Hidago. Postur badannya ditegakkan, kedua-dua tangannya memegang kemas tali kekangan yang mengikat haiwan itu.
"Ayuh Hidago, kita pergi berlatih," tuturnya sambil mengusap kepala kuda berwarna perang dan putih itu.
Kakinya yang memijak bahagian rakap dihayunkan ke badan Hidago. Seolah-olah memahami isyarat yang diberikan, kuda itu memulakan langkahnya di sekitar kawasan padok (trek menunggang kuda) yang tersedia.
Walaupun baru mempelajari dua teknik asas menunggang kuda iaitu walk (berjalan) dan trot (berlari-lari anak), Norhaslinda tetap berpuas hati.
Tunggangannya semakin lancar. Dia juga kini cekap mengawal kuda dan mengimbangi diri, semuanya berkat latihan dan tunjuk ajar daripada jurulatihnya, Muhammad Adam Wahqif atau lebih popular dengan gelaran Big Chief.
"Selama ini saya tidak pernah memasang impian untuk menunggang kuda kerana menyangkakan ia hanya sesuai untuk golongan kaya dan berada.
"Ternyata aktiviti ini tidaklah semahal yang disangkakan, sesiapa sahaja boleh mempelajarinya asalkan ada kemahuan," ujar anak sulung dari lima beradik itu.
Gadis yang menetap di Damansara Damai, Petaling Jaya itu memberitahu, biarpun masih baru, namun banyak yang telah dipelajarinya terutama aspek interaksi dengan haiwan tersebut.

Katanya, kuda merupakan haiwan yang bijak dan mampu mengenali manusia melalui bau badan.
"Lazimnya, jika ia sudah mengenali penunggangnya, maka ia mudah menyesuaikan diri. Salah satu cara untuk memupuk kemesraan dengan kuda adalah dengan memberinya makan dan sering memandikan atau membersihkan bulunya," jelas Norhaslinda.
Melihat persekitaran kawasan itu, pengunjung dapat merasai suasana perkampungan Orang Asli yang jauh berbeza berbanding suasana bandar.
Disambut dengan teduhan pohon-pohon merimbun, landskap yang terpeta di kawasan itu nyata sesuai untuk dijadikan aktiviti riadah keluarga pada hujung minggu.
Sejak beroperasi kira-kira empat bulan lalu, Teratak Kuda Asli yang seluas 3.3 hektar itu dilengkapi bangsal kuda, padok, pondok rehat dan kafe.
Menurut Big Chief, secara keseluruhan terdapat 25 ekor kuda daripada pelbagai spesies berumur di antara tiga hingga 32 tahun.
Antaranya adalah kuda ekuestrian, kuda lumba, kuda polo pony, kuda padi dan kuda Arab.
"Kebanyakannya daripada baka import seperti dari Australia, New Zealand, Argentina, India dan Rusia," katanya yang merangkap ketua jurulatih dan pengurus di situ.
Mewarisi kemahiran
Big Chief yang kelihatan tegap dalam usia 56 tahun itu bukan sahaja mahir tentang selok-belok haiwan itu malah, telah melahirkan ribuan penunggang kuda di negara ini.
Dia mewarisi tradisi itu daripada datuknya yang pernah mengusahakan kandang kuda di Batu Arang, Klang satu ketika dahulu.
Sebelum menguruskan Teratak Kuda Asli, Big Chief juga berpengalaman menguruskan beberapa padang dan kandang kuda seperti di Templer Park, Sungai Tua, Pusat Belia Bukit Lagong dan Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM).
"Kebiasaannya, mereka yang baru berjinak-jinak dalam aktiviti ini memerlukan masa antara dua hingga tiga bulan sebelum mahir.
"Bagaimanapun, mereka perlu membiasakan diri dengan kuda terlebih dahulu. Semua pelajar saya perlu tahu mengangkat najis kuda, memandikan, memberi makan dan membersihkan bulu sebelum belajar teknik-teknik menunggang yang betul," katanya.
![]() |
| PENYAKIT lenguh dan kebas yang dialami Muhammad Syuwari beransur pulih selepas terlibat dalam sukan berkuda. |
Jelasnya, kawasan itu juga terbuka kepada pengunjung yang mahu merasai pengalaman menunggang kuda.
Salah seorang pelajarnya, Muhammad Syuwari Najmin, 26, berkata keseronokan menunggang kuda sukar digambarkan dengan kata-kata.
Anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak itu memberitahu, selain mengisi masa lapang dan meredakan tekanan di tempat kerja, penglibatannya juga sejajar dengan saranan Nabi Muhammad SAW yang menggalakkan umatnya terlibat dalam aktiviti tersebut.
"Pada mulanya, saya rasa takut untuk menunggang kuda, tetapi kini saya rasa sukan berkuda tidak terlalu susah dan ia mampu dilakukan oleh setiap orang.
"Sukan ini mengajar saya berhadapan dengan cabaran dan menjadi lebih berani untuk melakukan apa sahaja yang saya rasa mampu dilakukan," jelasnya.
Muhammad Syuwari yang masih bujang menambah, sejak menceburi aktiviti itu kira-kira lima bulan lalu, dia dapat merasakan staminanya semakin meningkat dan tahap kesihatannya juga bertambah baik.
Sebelum ini katanya, pinggangnya yang pernah retak akibat kemalangan jalan raya sekitar tahun 2002 sering lenguh dan kebas menyebabkannya sukar berdiri dan duduk dalam tempoh yang lama.
Terapi berkesan
"Namun syukurlah, sejak aktif dalam aktiviti ini, ia semakin berkurangan. Memang tiada bukti saintifik, tetapi ada fakta menyatakan latihan berkuda merupakan salah satu aktiviti terapi yang berkesan untuk kesihatan dan membantu membina kekuatan otot.
"Buktinya, lihatlah Big Chief sendiri. Sebelum ini, dia pernah mengalami kecederaan teruk akibat terjatuh daripada kuda, sekarang dia semakin sembuh malah kecergasan dan kelincahannya mengalahkan orang yang lebih muda," gurau Muhammad Syuwari.
Sementara itu, pemilik Teratak Kuda Asli, Mohd. Nizar Mohd. Shahbi, 24, berkata, penubuhan kandang kuda itu bukan berpaksikan keuntungan semata-mata, sebaliknya untuk mempromosikan aktiviti berkuda kepada masyarakat.
"Kalau diikutkan, yuran belajar menunggang kuda sebanyak RM400 yang dikenakan adalah murah dan tidak memberi keuntungan, cukup sekadar untuk menampung kos operasi.
![]() |
| AKTIVITI sukan berkuda bukan suatu aktiviti eksklusif untuk golongan elit. |
"Kami mahu buktikan aktiviti berkuda bukan untuk golongan elit sahaja, semua orang tidak kira darjat dan pangkat kini boleh mencubanya," ujarnya.
Pada masa yang sama, ia juga dapat menjana pendapatan penduduk setempat di samping menjadi tarikan kepada pengunjung dan pelancong yang datang ke situ.
"Kawasan kampung ini terkenal dengan kejernihan air sungainya dan menjadi destinasi perkelahan popular pada hujung minggu.
"Kehadiran kandang ini dapat memberi nilai tambah kepada tarikan yang sedia ada. Mereka yang berkunjung ke kampung ini juga boleh bermandi-manda, memancing ikan, melawat ladang arnab dan nurseri yang diusahakan penduduk di sini," kata Mohd. Nizar.
Tambahnya, dia mempunyai pelan jangka panjang untuk membesarkan kandang dan menambah jumlah kuda serta membina padok outride demi kepuasan pengunjung.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: