Monday, February 14, 2011

Suku Temuan, hutan sukar dipisahkan

PERTAMA kali memasuki kawasan Desa Temuan, fizikalnya hampir tiada beza dengan kawasan perumahan lain.

Melihat saiz rumah yang agak besar membuatkan hati terdetik betapa beruntungnya Orang Asli di sini apabila mendapat aset percuma walaupun tidak pernah meminta.

Apa yang dapat dikata, ‘Tuah ayam nampak di kaki’, tuah Orang Asli dapat dilihat apabila mereka dihantar ke lokasi baru yang lebih selesa dan sempurna.

Namun di sebalik keharmonian dan kesempurnaan Desa Temuan rupa-rupanya wujud 1001 kisah.

Salah seorang penduduk Orang Asli Desa Temuan masuk semula ke hutan untuk menangkap ikan.

Tidak keterlaluan dikatakan Desa Temuan menjadi sebuah kisah klasik negara apabila kerajaan dan pemaju cuba mencipta kemodenan untuk manusia yang langsung tidak pernah terfikir tentangnya.

Secara amnya, penduduk kawasan tersebut terbahagi kepada tiga golongan iaitu Orang Asli yang lahir dan membesar di Bukit Lanjan, golongan muda Orang Asli yang pernah merasa kehidupan hutan sebelum dipindahkan dan kanak-kanak Orang Asli yang barangkali tidak tahu wujudnya kehidupan hutan seperti yang pernah dirasai ibu bapa mereka sebelum ini.

Bagi golongan muda dan kanak-kanak, tidak hairanlah jika rutin harian mereka hampir sama dengan masyarakat biasa.

Mereka ke sekolah, bergaul bersama rakan dan nampaknya sedikit demi sedikit belajar mencari hiburan luar jika ada kelapangan.

Pun begitu, darah Orang Asli yang mengalir dalam tubuh membuatkan mereka seakan-akan tidak boleh dipisahkan dengan aktiviti lasak.

Buktinya, kanak-kanak di kawasan perumahan itu begitu mahir memanjat pokok walaupun tidak lagi tinggal di dalam hutan sedangkan ibu bapa mereka tidak pernah mengajar selok-belok bergayut di dahan pokok.

Berkaki ayam

Kelihatan kanak-kanak Orang Asli menjadikan pokok di halaman rumah mereka di Desa Temuan sebagai tempat bermain.

Di tengah terik mentari pula, sesetengah mereka masih mampu ‘berkaki ayam’ di atas tar.

Namun, masalah timbul apabila sukar bagi kebanyakan ibu bapa mereka mengadaptasi kehidupan ‘moden’ sementelah kemajuan bukan matlamat.

Orang Asli payah mengubah gaya hidup dengan memberi alasan; mereka tidak boleh dipisahkan dengan hutan dan alam semula jadi.

Timbul rasa simpati apabila majoriti penduduk mengeluh hutan yang ditarah untuk tujuan pembangunan membuatkan mereka hilang sumber rezeki.

Walaupun kini tinggal di rumah besar, mereka yang selama ini bergantung hidup dengan hasil hutan terpaksa mencari alternatif lain bagi menyara keluarga.

Mereka yang tiada kelulusan atau kemahiran selain menyumpit, bercucuk tanam dan memburu sukar diterima bekerja, malah makan gaji adalah pekerjaan yang begitu asing bagi mereka.

Kesudahannya, golongan itu terpaksa mencari sisa-sisa tanah dan hutan berdekatan untuk bercucuk tanam bagi mencari rezeki.

Menyedari tidak mungkin dapat berpatah balik, mereka reda dengan perubahan walau pendapatan yang diterima tidak ‘sekencang’ dulu.

Mujur dalam masa yang sama terdapat juga generasi baru masyarakat Orang Asli yang diterima bekerja dan lebih membanggakan ada yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Generasi inilah yang diharapkan dapat ‘membawa keluar’ ibu bapa mereka dari dunia sebenar Orang Asli yang beratus tahun memperoleh rezeki untuk hidup dari isi hutan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: