Sunday, February 13, 2011

Sofazr bikin filem


ATAS DARI KIRI: One, Aremeer, Zimi dan (bawah dari kiri) Fairouz serta Shah mempersembahkan album Maaf Dari Hati Mohd Atlas.


TEMPOH tujuh tahun band Sofazr bernaung di bawah syarikat rakaman SRC membuatkan ahli-ahli kumpulan itu sedikit demi sedikit mengerti perihal asam garam dunia seni.

Melewati usia-usia matang, kumpulan yang dianggotai oleh Aremeer, Zimi, Shah, One, Fairouz dan Rodie itu nekad membawa nama Sofazr untuk bergerak sendiri.

Sepakat menubuhkan Global Record iaitu sebuah syarikat rakaman milik Sofazr sendiri, keenam-enam anak muda itu kini merasai sendiri cabaran sebagai ahli perniagaan dalam industri seni.

Bersedia dengan stigma masyarakat terhadap artis yang mengundur diri daripada sesebuah syarikat rakaman untuk memilih hala tuju sendiri, Sofazr ada jawapannya.

“Hubungan kami dengan pihak SRC masih baik dan tiada apa-apa masalah.

“Penghijrahan kami sebenarnya sebagai satu usaha untuk Sofazr berdikari dan tempoh tujuh tahun bersama label lama banyak mematangkan kami,” kata Aremeer selaku penyanyi utama.

Buah tangan pertama Global Records pastinya dengan album terbaru Sofazr sendiri. Album terbaru yang dijangkakan dipasarkan bermula awal Mac ini diberi judul Maaf Dari Hati Mohd Atlas.

Album keenam Sofazr itu menampilkan lagu-lagu yang bakal hits seperti single Maaf Dari Hati, Jiwa Kacau, Bagai Disayangi dan tujuh lagu lain. Semua lagu berkenaan kini sedang dijual dalam bentuk caller ringtone..

“Terdapat sepuluh buah lagu dalam album pertama daripada Global Records ini.

“Sebelum diedarkan dalam bentuk cakera padat (CD), lagu-lagu itu terlebih dahulu dijual melalui caller ringtone oleh syarikat Maxis kerana kami melihat kaedah ini lebih berbaloi.

“Secara tidak langsung peminat-peminat akan mendekati lagu-lagu kami terlebih dahulu,” kata Aremeer lagi.

Selain mengejutkan peminat dengan membuat kemunculan kembali melalui syarikat rakaman lain, transformasi nama Sofaz kepada Sofazr pastinya menimbulkan tanda tanya kepada peminat.




Menjawab persoalan itu, Sofazr menjelaskan bahawa di bawah pengurusan sendiri itu mereka bebas untuk memilih jenama yang sesuai untuk mereka.

“Sofazr kini bebas meletakkan nama sendiri dan penambahan huruf R di hujung nama Sofaz bagi menyatakan kewujudan Rodie dalam kumpulan kami.

“Seperti peminat maklum nama kumpulan kami terhasil daripada gabungan huruf pertama setiap ahli,” kata Aremeer menjelaskan nama baru itu.

Tidak hanya tertumpu kepada bidang nyanyian sahaja, perancangan rapi Sofazr pada 2011 juga tertumpu kepada cabang seni lain iaitu menghasilkan sebuah filem.

Mengambil langkah selamat dengan mempertaruhkan naskhah bertema komedi, filem berjudul Sofazr The Movie: Jiwa Kacau (STM) itu bakal menampilkan ahli-ahli Sofazr sebagai pemain utama.

STM yang melibatkan produksi penerbitan daripada syarikat mereka sendiri iaitu Nusanbakti Corporation Sdn. Bhd. dengan kerjasama Global Record itu dijangkakan memulakan penggambarannya pada bulan hadapan.

“Latar ceritanya adalah mengenai kehidupan Sofazr dalam keadaan gila. Kami akan memegang watak dengan nama sendiri tetapi karekter yang akan dibawakan itu adalah berbeza daripada yang sebenar.

“Tetapi sifat gila-gila yang ada dalam diri ahli Sofazr diterjemahkan dalam filem itu.

“STM turut menampilkan pelakon-pelakon lain seperti Angah Raja Lawak, Along Raja Lawak dan Azrul Charm. Kami menjangkakan STM akan menemui penonton di pawagam pada pertengahan tahun hadapan,” kata Zimi selaku pemain gitar kedua.

Mereka kini sedang menjalani latihan lakonan saat akhir sebelum memulakan penggambaran filem itu. Pada masa yang sama band yang pernah hits dengan lagu Dan Bila Esok itu turut sibuk dengan siri-siri konsert yang akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: