Sunday, February 20, 2011

Sisi karakter rumah

pix_gal0
Tatahias moden kontemporari pilihan Mohd Faizal Othman Gaya cetus rasa damai, bersih dan eksklusif

KETIKA menyuarakan cadangan mengenai konsep dan gaya penataan kepada pelanggannya, pelbagai elemen hiasan dalaman diluahkan. Namun, untuk kediaman sendiri, pemilik syarikat hiasan dalaman Qubeid, Mohd Faizal Othman setia memilih gaya moden kontemporari yang menjadi sanjungan sejak dulu.

Ditanya alasannya, Mohd Faizal berkata, gaya itu menghulurkan suasana ‘clean & cut’ sekali gus menjadikan persekitaran rumah nampak bersih, terancang selain menyelitkan karektor tersendiri.“Elemen kontemporari diselitkan melalui sisipan warna alam, majoriti kemasan kaca serta logam di samping penekanan terhadap ciri ruang terbuka,” katanya yang mengemukakan selusur tangga kaca dan pintu lipat menggantikan kaca sorong demi menterjemahkan gaya diingininya itu.
Katanya, penggunaan kaca di tangga berkesan membentuk suasana luas dan terbuka sekali gus menjauhi kelaziman konkrit serta logam yang biasa digunakan orang.

Pintu lipat berupaya memaksimumkan ruang sehingga 50 peratus berbanding jenis gelangsar yang disifatkannya mengekang kebebasan dan kurang praktikal bagi kediaman sederhana luas.

“Kadangkala jika ingin mendapatkan suasana berangin atau ketika menganjurkan acara barbeku, pintu lipat itu akan dibuka habis. Malah, atas sebab yang sama juga, saya memutuskan menempatkan ruang makan di di situ,” katanya.

Melengkapi gaya, hanya warna selamat berupa hitam, putih dan coklat dijadikan latar kemasan, perabot dan perhiasan. Menyifatkannya memberi ketenangan ketika berada di rumah, matlamat lain penggunaan warna berkenaan ialah untuk menghidupkan karektor serta menyerlahkan warna koleksi lukisan dindingnya.
“Selaku pencinta lukisan, saya akui perlu berhati-hati mencari padanan warna dinding. Mengenangkan kebanyakan lukisan bermotif moden dan abstrak, saya fikir lebih baik usah menggunakan cat dinding dramatik dan pekat yang ditakuti menenggelamkan keindahan lukisan itu,” katanya yang turut menjalankan perniagaan jual beli lukisan yang majoritinya diimport dari Bali itu.

Mengaku paling sayangkan lukisan kepala kuda belang yang menghiasi dinding kamar tetamu, Mohd Faizal bagaimanapun sedia melepaskannya sekiranya ada menawarkan harga lumayan untuknya.

Tambahnya, pilihan lukisan bukan dibuat sembarangan sebaliknya dibeli merujuk konsep dan keperluan ruang.

Mengulas lanjut sentuhan hiasannya, Mohd Faizal berkata, dia perlu memikirkan secara dalam dan menyeluruh sebelum menetapkan sebarang kelengkapan dan perhiasan. Ini disebabkan pelan lantai azali kediaman itu yang tidak memaparkan ciri simetrikal.

“Pelan lantai kediaman ini sedikit ‘lucu’ kerana tidak menyediakan sempadan ruang makan dengan ruang tamu. Namun, saya tidak bercadang membuat pengubahsuaian tetapi sedaya mungkin mengikut arus serta karektor ruang itu,” katanya yang mendirikan rumah tangga bersama Siti Nor Baiti Busro dan dikurniakan tiga cahaya mata perempuan ini.

Mohd Faizal bagaimanapun tidak merancang membina sempadan ruang apatah lagi menggunakan pengadang ruang sebaliknya memilih membezakan fungsi kawasan melalui rekaan siling berlapis.

“Pengadang menjadikan ruang sempit menyebabkan saya memilih kaedah siling berlapis. Selain menunjukkan beza ruang secara tidak langsung meminjamkan gaya ruang pameran di kediaman ini,” ujarnya.

Bagaimana pula perabot idaman? Baginya, cita rasa mereka sekeluarga lebih menjurus kepada perabot siap. Alasannya, selain tidak perlu menukar perabot dan memikirkan tema penataan baru, perabot seumpamanya dilihat juga mampu memaksimumkan ruang.

Katanya, menerusi ketinggian seragam tujuh hingga lapan kaki, dia boleh membina kabinet atau almari setinggi siling sekali pun.

“Lagipun, melainkan katil, saya memang tidak gemar dengan perabot mudah alih. Saya cukup berpuas hati dengan atur letak perabot sekarang dan andai suatu masa nanti datang jelak dan jemu, saya berhasrat membuat pengubahsuaian besar-besaran membabitkan seluruh ruang rumah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: