Sunday, February 13, 2011

Serigala ubah niat peneroka

TENANG...menerima sentuhan budaya masyarakat Perak.
TENANG...menerima sentuhan budaya masyarakat Perak.
UNIK...kampung ini mendapat nama daripada kisah kewujudan serigala.
UNIK...kampung ini mendapat nama daripada kisah kewujudan serigala.

MENJADI lumrah masyarakat kita menamakan sesuatu kawasan berdasarkan nama seseorang tokoh atau kisah pelik yang berlaku.

Berbeza dengan Kampung Serigala yang terletak di kawasan Kuala Kubu Bharu, Selangor, kisah bagaimana ia mendapat nama sedemikian pastinya menimbulkan seribu persoalan.

Ini kerana, satu fakta yang tidak dapat disangkal, Malaysia sememangnya antara negara yang tidak mempunyai spesies serigala. Jadi, bagaimana pula kampung berkenaan mendapat nama sedemikian.

Walaupun fakta menyatakan serigala hanya wujud di negara beriklim sejuk serta di gurun, kampung itu mendapat namanya seolah-olah menggambarkan haiwan berkenaan pernah ada di negara ini satu ketika dulu.Menurut ketua kampung berkenaan yang lebih dikenali sebagai Tok Empat, Pirus Abd Aziz, 43, Kampung Serigala secara rasmi dibuka pada 1920 namun dipercayai diterokai lebih awal oleh masyarakat yang merantau dari Bangkahulu, Indonesia sekitar abad ke-18.Katanya, ketika kumpulan perantau berkenaan menyusuri tebing Sungai Bernam bagi mencari kawasan sesuai untuk dibuat penempatan, mereka terserempak dengan satu kawasan datar yang dihuni banyak spesies anjing liar jenis serigala.

Oleh kerana pelik berikutan jarang melihat spesies berkenaan dan khuatir diserang serigala, mereka berpakat untuk bermalam di kawasan terbabit dengan mendirikan pondok sementara dan menanti sehingga hari siang.

Bagaimanapun, sepanjang malam sewaktu berlindung dalam pondok yang dibina, kumpulan perantau itu merasa sungguh selesa, apatah lagi kawasan berkenaan sejuk selain mudah mendapatkan bekalan air dari Sungai Bernam.

“Hasrat meneruskan perjalanan itu ditunda keesokannya apabila mereka bersepakat menunggu beberapa hari lagi selain mengumpul buah-buahan sebagai bekalan makanan sewaktu dalam perjalanan.

“Namun, tempoh beberapa hari itu akhirnya mengubah hasrat mereka apabila ada yang selesa untuk tinggal di sana selain berasa selamat berikutan serigala tidak memberi ancaman kepada mereka,” katanya.

Akhirnya, kumpulan perantau itu bersepakat tinggal di kawasan berkenaan dan membina rumah lebih selesa untuk didiami bagi membawa anak serta isteri tinggal bersama dan memanggil kawasan itu dengan nama Kampung Serigala, merujuk kepada sekawan serigala di situ.

Sedikit demi sedikit kawasan berkenaan diteroka bagi membolehkan mereka bercucuk tanam serta menternak haiwan seperti ayam, lembu dan kambing.

Kedamaian kawasan itu tidak bertahan lama apabila banyak binatang ternakan yang dibawa masuk dibaham serigala.

Oleh kerana kejadian ternakan dimakan serigala semakin menjadi-jadi, penduduk kampung bekerjasama menghalau dan menangkap haiwan itu.

Semakin lama, serigala yang berkeliaran di kawasan kampung itu akhirnya pupus dan bagi mengingati haiwan itu, penduduk bersetuju untuk terus mengekalkan nama kampung berkenaan.

Selain itu, menurut Pirus, Kampung Serigala pernah menjadi tapak komunis berselindung ketika tanah air berdepan peristiwa darurat sekitar 1940.

Ini kerana kawasan kampung itu terletak hampir dengan kawasan hutan tebal dan ini memudahkan komunis bersembunyi.

“Bagaimanapun, kegiatan komunis berjaya dibendung oleh pihak berkuasa ketika itu,” katanya.

Seperkara yang menarik mengenai Kampung Serigala, sebuah perkampungan bunian dikatakan wujud di sebuah kawasan bukit dikenali sebagai Bukit Taman.

Pirus berkata, Bukit Taman bukan saja menarik berikutan dikelilingi pelbagai spesies tumbuhan, malah ketinggiannya membolehkan sesiapa yang mendakinya melihat pemandangan kawasan berkenaan.

“Sukar pergi ke kawasan bukit ini kerana perlu memasuki hutan dan memanjat bukit batu untuk sampai ke atas.

“Berdasarkan beberapa cerita, banyak kejadian pelik yang berlaku, antaranya beberapa penduduk pernah terserempak dengan kelibat wanita cantik ketika
ke sana dan menghilang di sebalik pokok berkenaan,” katanya.

Keunikan Kampung Serigala boleh dilihat menerusi loghat percakapan masyarakat di sana yang mengikut gaya pertuturan loghat Perak walaupun kawasan itu di bawah pentadbiran negeri Selangor.

“Ini yang uniknya mengenai kampung ini. Biarpun terletak di Selangor, penduduknya bercakap mengikut loghat Perak.

“Ini kerana kedudukannya yang terletak berhampiran Tanjung Malim, Perak.

“Malah, jika ingin membeli-belah sekali pun, kebanyakan penduduk lebih selesa pergi ke pekan Behrang yang sememangnya terletak di negeri Perak,” katanya.



Kampung Serigala, Kuala Kubu Bharu, Selangor

  • Terletak antara ­sempadan negeri Selangor dan Perak

  • Kawasan terdekat untuk ke Kampung Serigala adalah dengan melalui pekan Tanjung Malim, Perak yang terletak kira-kira 11 kilometer

  • Dibuka secara rasmi pada 1920

  • Hanya dihuni kira-kira 500 penduduk

  • Walaupun terletak di Selangor, kebanyakan penduduk bercakap mengikut loghat Perak

  • Pertanian getah dan kelapa sawit adalah aktiviti ekonomi penduduk Kampung Serigala
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: