![]() |
| PROGRAM Bicara yang mengupas tentang Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin global bersiaran pada 16 Februari ini pukul 9.30 malam. |
MENYEDARI peranan media cukup besar dalam menyampaikan mesej-mesej tertentu di kalangan anggota masyarakat, TV AlHijrah menerusi medium penyiarannya mengambil inisiatif dalam menyalur pengertian sambutan Maulidul Rasul sepanjang bulan Rabiulawal (4 Februari hingga 5 Mac).
Justeru, pelbagai kandungan menarik yang menepati tema Andai Rasullullah Masih Ada telah disediakan bagi memberi lebih penghayatan buat penonton setia saluran yang baru dua bulan bersiaran secara rasmi itu.
Pada sidang akhbar selepas pelancaran sambutan Maulidul Rasul di TV AlHijrah yang berlangsung di Pusat Penyiaran AlHijrah, Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sebanyak 54 jam masa yang telah diperuntukkan untuk jumlah siaran sempena sambutan tersebut.
Ini jelas Jamil, termasuklah 40 jam 30 minit meliputi rancangan-rancangan terbitan syarikat produksi tempatan dan AlHijrah sendiri manakala 13 jam 30 minit lagi adalah masa yang diperuntukan untuk siaran rancangan daripada luar.
"Sambutan Maulidul Rasul bagi saya tidak semestinya hanya tertumpu pada tanggal 12 Rabiulawal sahaja.
"Sebab itu kali ini AlHijrah tidak mahu ketinggalan sepanjang bulan tersebut dengan menghidangkan pelbagai rancangan yang bersesuaian.
"Saya yakin masyarakat akan lebih memahami tentang makna sebenar sambutan tersebut dengan mengambil pengajaran dan sirah rasul seperti yang terkandung dalam rancangan-rancangan tersebut," katanya.
Sebanyak 10 buah program telah disusun khas sebagai hidangan penonton setia saluran itu. Ini termasuklah dua program bual bicara utama AlHijrah iaitu Bicara dan Assalamulaikum yang bakal mengupas topik-topik menarik tentang Rasul junjungan itu.
Bicara yang mengupas tentang tajuk Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin global bersiaran pada 16 Februari ini pukul 9.30 malam manakala Assalamulaikum yang membentangkan topik-topik terpilih berkaitan Rasullullah bermula 18 hingga 20 Februari ini pada pukul 12 tengah hari.
Kandungan terbesar yang dibawakan oleh AlHijrah sempena meraikan Maulidul Rasul ialah rantaian 13 episod terbitan AlHijrah sendiri iaitu Titian Ombak yang bakal bersiaran mulai 19 Februari ini pukul 8.30 malam.
Titian Ombak merupakan dokumentari yang mengupas tentang sejarah kedatangan Islam ke alam Melayu. Berbeza dengan dokumentari lain, Titian Ombak merungkai kekuatan agama Islam dalam menggamit hati masyarakat Melayu.
Sebuah program berbentuk wacana, Tetamu Dari Hadramaut pula bersiaran pada 15 Februari pukul 10.30 malam dengan menyentuh tentang peristiwa perjuangan Rasullullah. Ia banyak merungkai tentang aspek positif dan nilai-nilai murni yang boleh dipraktiskan dalam kehidupan harian.
Di samping memberi pelbagai informasi dan makluman yang sarat mesej, intipati hiburan tentu sahaja menjadi keperluan dalam menambah variasi antara rancangan-rancangan yang disiarkan.
Salah satunya ialah program berdurasi selama satu jam iaitu KL Berselawat yang bersiaran pada 14 Februari ini pukul 10.30 malam.
Ia memaparkan lagu-lagu popular berunsur ketuhanan dan kemanusiaan yang disampaikan oleh barisan artis termasuk Altimet, Ruffedge, VE dan Innuendo.
Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pepatah tersebut ternyata tidak dipandang sepi oleh AlHijrah apabila turut menyiarkan rancangan yang bersesuaian dengan kanak-kanak iaitu animasi Muhammad Utusan Terakhir.
Bersiaran pada 15 Februari ini pukul 8.30 malam, rancangan itu selain memaparkan grafik animasi penuh warna warni yang mampu menarik minat golongan cilik turut membentangkan tentang sejarah kehidupan Rasullullah SAW.
Antara rancangan luar yang turut disenaraikan menghiasi sambutan tersebut di AlHijrah ialah filem Iran, arahan Majid Majidi iaitu Children Of Heaven yang bakal bersiaran pada 14 Februari ini pukul 8.30 malam.
Filem yang pernah memenangi anugerah Oscar pada tahun 1999 itu mengisahkan tentang kehidupan Ali dan adiknya, Zahra yang dibesarkan serba kedaifan.
Suatu hari, Ali secara tidak sengaja telah menghilangkan kasut adiknya dan berpakat merahsiakan daripada pengetahuan ibu bapa mereka kerana sedar tentang kesempitan hidup keluarga.
Demi mendapatkan sepasang kasut, Ali menyertai sebuah pertandingan dengan harapan dapat membawa pulang kasut baru untuk adiknya itu.
Rancangan lain yang turut disenaraikan sepanjang sambutan tersebut di AlHijrah ialah Majalah Islam yang bersiaran pada 18 Februari pukul 9.30 malam.
Tidak ketinggalan, Muhasabah Diri yang bersiaran setiap hari di AlHijrah pada pukul 11.30 malam dan Al Mahabbah Award, bersiaran pada 20 Februari pukul 10 malam.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: