Tuesday, February 22, 2011

Semangat si gadis genit


SELAIN dunia peragaan, Syazwani juga berbakat dalam bidang nyanyian.


KETINGGIAN gadis kecil molek itu hanya mencecah 139 sentimeter manakala berat badannya pula sekadar 40 kilogram. Namun, senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya.

Apabila memulakan bicara, banyak perkara yang dikongsi oleh pemilik nama penuh Aidil Syazwani Sardon itu. Bakal mencecah usia 24 tahun pada 24 Mei depan, gadis yang mesra disapa Syaz itu dilihat mempunyai keyakinan diri yang tinggi meskipun tubuhnya bersaiz XS.

Menurut Syaz sejak berusia 13 tahun, dia sudah melibatkan diri dalam bidang nyanyian apabila aktif menyertai pelbagai pertandingan yang diadakan.

Tetapi, apabila berjaya meraih tempat kedua dalam Pertandingan Simply Pretty Avon-Utusan Malaysia pada tahun 2007, gadis berambut kerinting itu mula menggorak langkah untuk menceburi bidang peragaan pula.

Ternyata minat barunya tidak sia-sia lantaran bakat semula jadi yang dimiliki membuatkan Syaz tidak langsung kekok apabila berada di hadapan kamera. Berikut pandangan Syaz mengenai kecintaannya terhadap dunia model kepada GenK:

GenK: Biasanya dunia peragaan sinonim dengan mereka yang bertubuh langsing dan tinggi. Tetapi Syaz hanya mempunyai ketinggian sekitar 139 sm. Bagaimana anda melihat perkara ini?

SYAZ: Bagi Syaz semuanya bergantung kepada keyakinan kita untuk berdepan dengan perkara tersebut. Alhamdulillah, walaupun Syaz tidak mempunyai ketinggian seperti yang dikehendaki, namun masih ada pihak yang berminat untuk menggunakan khidmat Syaz sebagai model untuk rekaan busana bersaiz XS. Itu juga peluang yang baik bagi mengembangkan kerjaya dalam bidang ini.

Antara nyanyian dan peragaan, mana satu yang lebih digemari?

Sebenarnya Syaz memang minat menyanyi sejak kecil. Kalau ada apa-apa pertandingan di sekolah, Syaz selalu ambil bahagian. Kadang-kadang bila keluar bersama keluarga dan kemudian pusat beli-belah tersebut ada menganjurkan pertandingan nyanyian, pasti Syaz tak lepaskan peluang untuk tunjuk bakat yang ada.

Bidang peragaan ini pula masih baru buat Syaz tetapi ia amat menyeronokkan. Tambahan pula bila dapat menjadi model untuk sesuatu rekaan baru, rasa teruja sangat. Kesimpulannya kedua-dua bidang ini mempunyai keistimewaan tersendiri dan Syaz pun memang meminatinya.


SYAZWANI (kanan) ketika memenangi tempat kedua dalam Pertandingan Simply Pretty Avon-Utusan.


Apakah aset diri Syaz yang paling berharga?

Sudah semestinya rambut Syaz yang kerinting ini. Untuk makluman, ia kerinting asli sejak Syaz kecil dan bukan dibuat di salon. Syaz cuma warnakan rambut untuk menampakkan kelainan sekali gus mengikut fesyen dan gaya terkini.

Siapakah model yang paling Syaz kagumi?

Kalau di Malaysia sudah tentu Nasha Aziz kerana wajahnya yang tak jemu dipandang banyak menghiasi majalah berkaitan bidang peragaan. Tapi rasanya mungkin impian untuk menjadi super model seperti Nasha sukar dicapai memandangkan ketinggian Syaz tidak mencukupi (tersenyum).

Pada waktu lapang, apa yang Syaz suka lakukan?

Kalau tiada sesi fotografi, Syaz akan tolong mama menguruskan Restoran Ikan Bakar Terapung Fort Supai di Kuala Linggi, Melaka bersama adik-adik.

Cuma, kalau Syaz ingin melepaskan tekanan Syaz akan pergi ke pusat karaoke untuk menyanyi sepuas hati.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: