Saturday, February 12, 2011

Selera Korea ala tempatan


Sudubu jigae atau sup tofu lembut yang dimakan bersama nasi dan kimchi.


MELANGKAH masuk ke mana-mana restoran makanan Korea pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba sajian tradisi paling popular negara itu, Kimchi.

Sayur jeruk kegemaran masyarakat Korea yang diperam menggunakan garam, lada, bawang putih dan sos ikan ini, sememangnya telah menjadi makanan wajib rakyat negara itu sejak 5,000 tahun lalu.

Kini, bagi yang ingin merasai kimchi buatan orang tempatan mungkin boleh berkunjung ke restoran Korea milik Spring Potato (M) Sdn. Bhd., di No. 11, Jalan Sg 1/1, Taman Sri gombak, Batu Caves.

Dihasilkan sendiri oleh pemilik restoran tersebut, ternyata menu masakan Korea yang ditawarkan memenuhi selera masyarakat tempatan.

Ini kerana kebanyakan masakan orang Korea berasaskan sayuran dan sup manakala cara penyediaan pula sama ada dikukus atau rebus.

Menurut Marini Mahbob, 29, kesemua menu yang disediakan di restorannya dipelajari daripada ibu mertuanya, seorang rakyat Korea dan dia mengambil masa lebih dua tahun untuk menguasainya.

Katanya lagi, restoran yang beroperasi sejak pertengahan Disember lalu diusahakan bersama suaminya, Haikal Jin Won Abdullah, dan ia merupakan restoran Korea pertama diusahakan oleh orang Melayu.

‘‘Asalnya saya hanya mengusahakan perniagaan Spring Potato dan lama kelamaan apabila melihat ia semakin mendapat sambutan, saya mula terfikir kenapa tidak membuka sebuah restoran yang menyediakan masakan Korea memandangkan saya sendiri ada mempelajarinya daripada ibu mertua.

‘‘Lagipun, apabila restoran ini dibuka, segalanya dibuat sendiri oleh saya dan segala bahan yang digunakan adalah halal dan orang ramai terutama orang Melayu boleh menikmatinya tanpa was-was.

‘‘Bagaimanapun, bagi memastikan hidangan yang disediakan merupakan makanan asli Korea, ada beberapa jenis sos serta serbuk cili diimport dari negara itu dan sudah pasti ia halal. Untuk membolehkan ia diterima ‘tekak’ orang Malaysia, saya ada membuat sedikit olahan resipi supaya kena dengan selera kita,’’ tambahnya.

Menyajikan pilihan makanan seperti bibimbap (nasi campur Korea), kalguksu (mi makanan laut), sudubu jigae (sup tofu lembut), kimbab (nasi gulung) dan jajang myeon (mi kacang hitam), ia pastinya menggamit selera sesiapa sahaja untuk mencubanya.

Seperti bibimbap, ia merupakan nasi putih yang mengandungi hirisan timun, lobak merah, tauge, cendawan shitake dan telur.

Ia dihidang bersama miyukku iaitu sup rumpai laut dan ia perlu digaul sebati bersama sos pedas gochujang

Rasa sajian yang pedas, masam dan masin ini pastinya memikat selera sesiapa sahaja yang mencubanya.

Kalguksu pula merupakan mi makanan laut yang mengandungi kupang, lala dan kerang.

Masakan ini dihidangkan bersama cili jeruk sebagai pilihan untuk mereka yang ingin pedas.

Dan menurut Marini, yang menjadikan sajian ini istimewa ialah kerana mi yang dihidangkan diperbuat daripada kentang dan kuahnya pula adalah daripada air rebusan kentang dengan campuran air rebusan kupang segar.

‘‘Orang Korea memang terkenal dengan pemakanan sihat dan dalam setiap masakan, mereka tidak menggunakan bahan perasa sebaliknya hanya bergantung kepada air rebusan misalnya ayam atau makanan laut.

‘‘Mi kentang yang digunakan juga dibuat sendiri. Ia merupakan campuran tepung gandum dan tepung kentang yang tidak muak. Ini merupakan resipi turun temurun keluarga suami saya,’’ jelas ibu kepada seorang cahaya mata ini.

Selain itu, sajian sudubu jigae iaitu sup tofu lembut yang mengandungi lala, telur separuh masak dan udang, lazimnya dimakan dengan nasi dan kimchi.

Lagi satu keistimewaan sajian di Spring Potato ini ialah, nasi yang dihidangkan menggunakan beras yang juga diimport dari Korea di mana nasinya sedikit melekit dan rasanya sudah pasti lain daripada beras Malaysia.

Ulas Marini, buat masa sekarang, restorannya hanya menawarkan beberapa menu sajian Korea yang dirasakan bersesuaian dengan selera orang Malaysia dan akan menyediakan lebih banyak sajian Korea pada masa hadapan.

Selain makanan, Spring Potato juga tidak ketinggalan mengetengahkan minuman yang pasti menyelerakan.

Perfect Taste yang merupakan gabungan buah rambutan dan laici, sirap strawberi serta krim mempunyai rasa agak unik. Bukan saja manis, tetapi juga masam, masin dan lemak.

Bagi penggemar longan dan kundur pula apa kata anda mencuba Black Ice yang sesuai untuk menyejukkan badan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: