Monday, February 14, 2011

Sayang haiwan tapi tahu jaga

CABANG LUAS...Dr Maizatul sebagai jurubius ketika pembedahan kucing.
CABANG LUAS...Dr Maizatul sebagai jurubius ketika pembedahan kucing.

"SEWAKTU saya berkhidmat di bidang haiwan kesayangan dahulu, selalunya haiwan yang dibawa ke klinik ialah kucing, anjing, arnab, hamster, tikus belanda, iguana, ular, beruk dan kambing. Semuanya mengujakan!"

Kerana sukakan haiwan terutama kucing dan anjing membuatkan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini menyatakan, minatlah yang mendorong dia berkecimpung di bidang veterinar.


"Bukan saya saja malah ibu, seorang suri rumah dan bapa, pesara tentera juga sukakan kucing. Kami pernah memelihara 11 kucing yang semuanya dari jalanan," cerita Dr Maizatul Azlina Abd Mulok, 31.

  • Foto

    PERLU...mengambil sampel kloaka itik.

  • Foto

    PELAJARI ILMU PELIHARA HAIWAN...ramai yang sayang dan suka pelihara haiwan tetapi tidak tahu cara pemeliharaan yang betul.

Kini setelah berkhidmat sebagai doktor veterinar di Johor Bahru dan Kluang, Johor, enam tahun pengalaman kerja sudah dikumpulnya termasuk bidang haiwan ternakan lembu, kambing, bebiri serta haiwan kesayangan.


Kerjaya di bidang veterinar sering disalah erti oleh kita semua. Ramai yang menyangka, doktor veterinar cuma merawat lembu dan kambing saja.


"Apabila berjaya diterima masuk ke bidang perubatan veterinar di Universiti Putra Malaysia, baru saya tahu ada banyak lagi bidang veterinar ini yang membuka mata saya mengenai pelbagai jenis dan baka haiwan," katanya.

Skop doktor veterinar sangat luas. Doktor veterinar juga terbabit dalam pemeriksaan makanan (dari sumber haiwan) yang kita makan seperti daging dan susu. Pihak veterinar antaranya perlu membuat pemeriksaan bermula dari ladang, ke rumah sembelihan sehinggalah pemprosesan makanan itu sendiri yang perlu mengikut standard HACCP supaya ia selamat untuk manusia."Di bidang makmal pula, pihak veterinar juga membuat pemeriksaan pada sampel haiwan (hidup atau mati) untuk mencegah penyakit berjangkit sama ada daripada haiwan ke haiwan atau dari haiwan ke manusia (penyakit zoonotik).


"Bidang veterinar ini agak luas. Kami mempunyai cabang anatomi, fisiologi, histologi, radiologi veterinar, kesihatan haiwan ternakan, kesihatan haiwan kesayangan, farmakologi, patologi, bakteriologi, virologi, pembedahan, hidupan liar dan akuatik (ikan dan hidupan akua).

"Setiap bidang ini pula ada banyak lagi cabang kecil. Tetapi seorang doktor veterinar biasanya akan menjurus kepada satu-satu cabang di mana dia akan menjadi pakar bagi bidang terbabit," katanya.Di samping memerlukan minat dan kesungguhan, bolehkah seseorang veterinar itu tidak menyukai binatang?

"Rasanya mustahil. Seseorang veterinar itu perlu menyukai haiwan bagi mengenali tabiat dan perangainya sebelum boleh melakukan rawatan. Bolehkah seorang doktor pediatrik menjadi doktor kanak-kanak sekiranya dia tidak sukakan kanak-kanak?

"Ini bermakna untuk berada di bidang ini seseorang itu tidak boleh mengatakan ia adalah sesuatu yang terpaksa dilakukan," katanya.


Menurutnya, haiwan kesayangan seperti kucing dan anjing juga mendapat penyakit seperti demam dan selesema. Pada kucing, ia dipanggil selesema kucing. Pada anjing ia dipanggil kennel cough dan parainfluenza. Setiap satunya berpunca daripada bakteria atau virus yang berlainan," katanya.


Sekerap mana haiwan kesayangan perlu diperiksa kesihatannya?

"Sekiranya haiwan itu tidak mempunyai masalah serius, biasanya ia boleh dibawa ke klinik haiwan satu atau dua bulan sekali.


"Jika sakit yang serius, mungkin perlukan rawatan harian atau mingguan. Klinik haiwan kesayangan biasanya mempunyai tempat untuk meletakkan haiwan mereka sepanjang rawatan jika diperlukan," katanya.


Haiwan juga seperti bayi, memerlukan suntikan khas pada peringkat usia mereka yang dipanggil vaksin.


Kebiasaannya, kucing dan anjing akan cerai susu pada umur lapan minggu jadi masa yang sesuai untuk vaksin ialah ketika umurnya tujuh hingga lapan minggu. Sekiranya terlalu awal diberikan vaksin, antibodi dalam susu ibu akan menyebabkan vaksin yang disuntik tidak berfungsi.


"Jika dikira daripada konteks anjing dan kucing, memberikan apa saja makanan kepada haiwan peliharaan adalah cara yang tidak benar sama sekali.

"Jika kita memberi anjing dan kucing makan nasi, ia sama seperti kita memberi lembu makan ikan dan daging sedangkan itu bukan makanan mereka. Kucing dan anjing memerlukan daging dan ikan (sumber protein, kalsium dan fosforus), bukannya nasi iaitu sumber karbohidrat," katanya.


Menurutnya, setiap binatang mempunyai perbezaan tersendiri dan tidak boleh disamakan.

"Susu juga sering disalahertikan kepentingannya pada haiwan. Susu yang diminum oleh manusia ialah susu lembu yang sudah diproses atau disterilkan.

"Ia boleh diberi minum cuma jangan dalam kuantiti yang banyak dan kerap kerana boleh menyebabkan cirit-birit. Secara peribadi, saya tidak menggalakkan pemberian susu kepada kucing dan anjing kecuali jika terpaksa dalam kes anak kucing yang kehilangan ibu.

"Saya cadangkan anda membeli susu gantian khas untuk anjing dan kucing yang ada dijual di kedai haiwan peliharaan atau klinik haiwan.


"Ada juga pemilik yang memberikan ubat demam manusia kepada kucing tanpa bertanya kepada doktor veterinar terlebih dulu, semata-mata untuk menjimatkan kos ke klinik veterinar.

"Perbuatan ini boleh menyebabkan keracunan pada kucing kerana hati kucing tidak mempunyai enzim yang boleh mencernakan ubat itu jadi, ia boleh menyebabkannya berkumpul dalam sistem badan dan merosakkan hati. Jika lambat dirawat atau kerap diberikan ubat demam terbabit, kucing boleh mati akibat keracunan," katanya.


Ramai yang sayangkan haiwan dan suka memelihara haiwan, tetapi tidak tahu cara pemeliharaan yang betul.

"Harus diingat, memelihara haiwan adalah untuk seumur hidup. Apabila anda membuat keputusan untuk memelihara seekor atau lebih haiwan, maka fikirkan ia sentiasa memerlukan perhatian anda, tidak kira ia adalah kucing, anjing, lembu, kambing, ikan, kuda dan haiwan lain.


"Anda tidak boleh memelihara haiwan, kemudian bila rasa tidak menyukainya maka anda mengabaikannya. Ia adalah makhluk yang bernyawa dan tidak boleh dilayan seperti objek. Sayangilah haiwan anda dan jalankan tanggungjawab sebagai manusia yang mempunyai akal fikiran yang sempurna," katanya.


Bidang tugas Dr Maizatul juga meliputi penyakit mengenai haiwan.

"Ada sesetengah penyakit yang boleh berjangkit kepada manusia. Lazimnya, ia lebih mudah berjangkit kepada mereka yang lemah tahap keimunan badan seperti kanak-kanak, bayi, orang tua, ibu mengandung dan pesakit Aids.

"Contohnya, Toxoplasmosis pada kucing boleh menjangkiti manusia jika kita termakan makanan yang tercemar dengan najis kucing yang dijangkiti atau melalui tangan kita yang tersentuh najisnya. Toxoplasmosis boleh menyebabkan keguguran pada wanita mengandung," katanya.


Oleh itu, menurutnya, penting untuk kita membasuh tangan sebersih-bersihnya selepas kita menyentuh haiwan apa sekalipun.

"Bagi mereka yang berpenyakit lelah, bulu kucing biasanya mempunyai habuk dan sel mati yang boleh menyumbang kepada serangan lelah itu sendiri. Tetapi penyakit selesema dan batuk kucing tidak boleh menyebabkan selesema dan batuk kepada manusia.


"Pada anjing pula, ada penyakit rabies yang boleh berjangkit kepada manusia melalui air liur atau gigitan.


"Tetapi penyakit ini jarang berlaku di negara kita buat masa ini. Sebab itulah penyeludupan anjing dari negara jiran atau negara luar perlu dibanteras kerana walaupun anjing itu mungkin daripada baka yang baik dan murah, tahap kesihatannya tidak diketahui kerana tidak melalui pihak kuarantin.


"Ada lagi satu penyakit kulit yang disebabkan oleh fungus yang juga boleh menjangkiti manusia iaitu Sporotrichosis pada anjing dan kucing.

"Sila buat rawatan segera sekiranya kucing atau anjing anda mengalami masalah kurap kemerahan yang berair dan anda juga mengalami simptom yang sama," katanya.


Terang Dr Maizatul, pada lembu dan kambing, penyakit brucellosis boleh menyebabkan keguguran pada lembu dan kambing, yang menyebabkan kerugian dan bahaya penyakit zoonotik kerana penyakit ini boleh menjangkiti manusia.

"Brucellosis menyebabkan sakit sendi dan otot, demam yang berulang serta kemandulan pada manusia. Ia boleh dicegah melalui saringan darah ternakan setiap dua kali setahun dan saringan darah sebelum atau selepas import.

"Penyakit kaki dan mulut pada lembu dan kambing mendatangkan kerugian daripada segi ekonomi penternak. Cuma jangan risau kerana ia tidak sama dengan penyakit tangan, kaki dan mulut pada kanak-kanak kerana virusnya berbeza," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: