Monday, February 14, 2011

Restoran bak kediaman Paris


DARI jauh tersergam indah restoran tiga tingkat yang kelihatan seperti sebuah kediaman mewah.


KEHANGATAN fenomena drama bersiri Korea, Full House enam tahun lalu masih segar dalam ingatan. Full House yang diadaptasi daripada sebuah komik dipuji kerana kesegaran dan keunikan kisah cinta antara empat insan.

Melangkah ke sebuah restoran di pusat membeli-belah Sunway Giza Mall, Kota Damansara baru-baru ini menggamit kenangan drama tersebut.

Elemen putih dan watak kartun seolah-olah membawa kita ke alam percintaan watak-watak utama Full House. Kebetulan restoran tiga tingkat yang berkonsep kafe dan gaya hidup diberi nama Fullhouse.

Elemen putih

Sebaik tiba di pintu menyambut tetamu, mata tertarik kepada kereta Mini Cooper merah samar yang comel.

Di sisinya berdiri patung gadis, Tiffany memakai baju berwarna sama dengan kereta itu.

Seolah-olah berada di halaman rumah, suasana segar dan ceria menyambut kedatangan tetamu.

Melangkah masuk ke restoran, bermulalah cerita watak itu.

Dinding bercat putih itu dihiasi bingkai-bingkai watak kartun keluarga Tiffany melancong di Paris.

Pengarah Fullhouse Sunway Giza Mall, Calvin Soo memilih rekaan dalaman Paris bersesuaian dengan watak-watak tersebut.

Aras bawah disusun atur seperti sebuah ruang tamu kediaman dengan set sofa berwarna hitam. Mewah tetapi ringkas menggamit suasana yang harmoni dan tenang.

Meja-meja makan dan kerusi berwarna putih kelihatan kemas. Kebiasaannya pada rumah bersaiz besar, terdapat ruang untuk mempamerkan barang-barang hiasan ataupun susunan hadiah. Begitu juga dengan Fullhouse, terdapat ruang pameran hadiah-hadiah kecil di tepi pintu masuk utama.

Watak kartun

Dengan elemen kartun comel semuanya nampak indah. Jangan salah sangka kerana ia bukan sekadar barangan hiasan atau pameran kerana pelanggan boleh membelinya.

Menyusuri tangga yang diperbuat khas daripada kayu ke tingkat dua, terdapat sebuah bilik persalinan lengkap dengan katil yang dihias cantik.

Masih mengekalkan elemen putih, semuanya nampak kemas dan luas. Di ruangan itu, pelanggan masih boleh menikmati hidangan pilihan.

Istimewanya, Fulhouse turut menyediakan ruang makan di serambi yang memberikan kelainan kepada pelanggan. Sambil menjamu selera, mereka boleh menikmati pemandangan luar pusat beli-belah itu. Jangan terkejut, jika anda melihat langsir-langsir berwarna putih yang dipilih untuk menghiasi jendela-jendela restoran. Memang benar kata Calvin, kita akan berasa seperti berada di sebuah rumah.

Jika tidak percaya, jangan lupa menjenguk ruangan di tingkat tiga yang disediakan untuk majlis-majlis keramaian atau rasmi. Sebuah bilik air yang lengkap dengan tab mandi seperti bayangan sebuah rumah.

Tidak ketinggalan, cermin besar dipilih untuk menghias diri.

Pilihan keluarga

Selain putih, Calvin turut menggunakan merah samar yang sesuai dengan watak utama restoran tersebut. Katanya, jika pengunjung melihat warna biru di cawangan Fullhouse yang lain, ia bermakna watak utama ialah lelaki dan merah samar merujuk kepada perempuan.

Restoran seperti kediaman Paris itu sering dikunjungi pelanggan berkeluarga.

Kebanyakan pelanggan tertarik dengan kepelbagaian menu dengan harga yang sederhana serta suasana restoran itu sendiri.

Restoran yang dibuka pada Jun tahun lalu itu turut menyediakan buku menu yang unik.

Selain senarai menu dan harga, Fullhouse mengadaptasi watak-wataknya dalam cerita kartun.

Pelanggan boleh membaca siri komik Fullhouse dalam buku menu yang akan diterbitkan setiap enam bulan.

Pada masa akan datang, Fullhouse turut mempamerkan alatan elektronik yang dijual kepada pelanggan. Pengunjung bukan sahaja dapat menikmati makanan, malah mereka akan merasai suasana kediaman yang lengkap dengan perabot dan kemudahan elektronik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: