Saturday, February 12, 2011

PPZ-MAIWP kutip zakat RM164j melalui skim thohir

SUMBANGAN...Mustafa (belakang tujuh dari kiri) bersama pengetua dan guru besar yang menerima sumbangan akhbar dan Buku Sejarah Malaysia, semalam.
SUMBANGAN...Mustafa (belakang tujuh dari kiri) bersama pengetua dan guru besar yang menerima sumbangan akhbar dan Buku Sejarah Malaysia, semalam.

AMPANG: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ- MAIWP) mengutip zakat lebih RM164 juta melalui skim thohir (potongan gaji) daripada kakitangan awam dan swasta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Mustafa Abdul Rahman, berkata kutipan zakat melalui skim itu memberangsangkan apabila ia menunjukkan peningkatan 15 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM142 juta lebih.


Katanya, kutipan itu menunjukkan peningkatan bilangan pembayar zakat di kalangan pekerja sebanyak 17 peratus iaitu daripada 49,830 pada 2009 kepada 58,115 orang tahun lalu.

“Sebahagian daripada kutipan zakat itu, sebahagian besarnya disumbang warga pendidik iaitu RM110,000 pada tahun lalu berbanding RM88,000 yang dicatatkan pada 2009.


“Peningkatan tahap kesedaran di kalangan masyarakat untuk membayar zakat menambah jumlah kutipan, sekali gus bantuan kepada golongan memerlukan diperluaskan,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Tajaan Akhbar dan Buku Sejarah kepada sekolah menengah kebangsaan dan sekolah kebangsaan terpilih sekitar Wilayah Persekutuan di Wisma PPZ, semalam.


Hadir sama, Pengurus Besar PPZ-MAIWP, Mohd Rais Alias dan Timbalan Pengarah Pejabat Pelajaran Wilayah (Bangsar/ Pudu), Jamaludin Abdullah.Mustafa berkata, walaupun jumlah kutipan zakat melalui skim thohir meningkat, beliau percaya masih ramai yang layak membayar zakat tidak berbuat demikian.


“Kami optimis masih banyak ruang yang boleh diusahakan bagi meningkatkan dakwah zakat terutama di kalangan warga pendidik dan pekerja di Wilayah Persekutuan.“Kerjasama erat dengan Jabatan Pelajaran WPKL mampu mencapai hasrat PPZ-MAIWP dalam menjejaki pendidik untuk tampil membayar zakat,” katanya.


Menurutnya, jumlah sebenar pendidik yang layak mengeluarkan zakat di WPKL seramai 4,200, tetapi hingga kini 1,648 orang yang tampil membayar zakat dan berharap jumlah kutipan dan pembayar akan meningkat tahun ini.


Beliau berkata pendidik dari 204 sekolah di WPKL sudah mendaftar skim thohir dan akan menjejaki pendidik di 91 sekolah yang belum menyertai skim itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: