![]() |
| |
SEDAR tak sedar, rupanya program realiti, Pilih Kasih musim kedua (PK2) sudah sampai ke penghujung selepas bersiaran di TV2 selama 10 minggu.
Malam ini, tujuh finalis akan bersaing untuk merebut gelaran juara di Auditorium Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad,Seremban, Negeri Sembilan.
Mereka terdiri daripada Jay Iswazir, 29, Yuzwan Yunus, 24, Ku Hariz, 26,Livonia, 20, Mira Amnas, 20, Nur Jannah, 24, dan Lia Natalia, 19.
Namun masih ada lagi suara-suara sumbang yang memandang sinis terhadap PK2 ini. Program realiti ini dikatakan masih tidak popular seperti Akademi Fantasia atau Mentor.
Masalahnya betulkah ramai orang tidak menonton PK2 ini? Kenapa ya? Saat diajukan soalan itu kepada penerbit PK2, Rosyam Nor, dia memulangkan paku buah keras kepada mereka yang berkata demikian.
“Orang yang tidak sedar PK2 sudah sampai pentas akhir adalah golongan penonton yang tidak menonton program itu.
“PK2 ada peminat fanatik sendiri. Orang yang tak tengok, memang mereka tidak sedar. Kalau orang yang cakap macam tu, mereka sebenar yang tidak puas kerana PK2 sudah bersiaran pada pentas akhir.
“Bagi saya, PK2 merupakan satu fenomena baru dalam industri seni hiburan di negara ini kerana ia merupakan program realiti yang sangat berbeza dengan program realiti lain,” terang Rosyam bersungguh-sungguh.
Menyambung hujahnya lagi, jelas Rosyam, dia tidak faham kenapa masih ramai anak-anak muda berlumba-lumba menyertai program realiti berbentuk nyanyian dan muzik.
Padahal kata lelaki berusia 43 tahun itu, industri muzik di negara ini telah mengalami kemelesetan yang berlarutan sejak kebelakangan ini.
“Berbanding dunia lakonan, industri kini mengalami pertumbuhan pesat berikutan wujudnya banyak stesen-stesen televisyen dan syarikat produksi.
“Ini secara tidak langsung akan membuka peluang kepada ramai pelapis pelakon terutama peserta PK2 untuk berkecimpung dalam dunia lakonan dengan menjadikan satu profesion pada masa akan datang.
“Ini membuktikan PK2 bukan sekadar membuka peluang untuk meraih populariti semata-mata tetapi dapat menjanjikan tempoh karier seni yang panjang.
“Buat apa popular setahun dua, lepas tu tidak ada lagi punca pendapatan. Macam peserta PK1, ramai yang semakin popular dan sibuk berlakon.
“Malah peserta PK2 yang terkeluar di minggu-minggu awal pun sudah semakin laku sekarang,” katanya panjang lebar.
Rosyam memberitahu PK2 mencatat rating penonton lebih satu juta orang setiap minggu sejak bersiaran 11 Disember tahun lalu.
Mengenai musim ketiga, Rosyam mengakui RTM telah memberi lampu hijau untuk meneruskan program itu pada masa akan datang.
Malah dia yakin, PK2 tidak akan dibuang oleh RTM kerana ia merupakan program hiburan berbentuk ilmiah yang dimiliki stesen kerajaan itu.
“Saya berharap Telekom Malaysia Berhad (TM) selaku penaja utama program ini selama dua musim akan terus bersama dengan kami selaras dengan slogan TM iaitu Merintis Kemungkinan,” katanya bersemangat
Siapa juara PK2?
Pentas Akhir PK2 bakal menyaksikan kelainan dari bentuk persembahan iaitu finalis harus bermonolog. Malah, bagi drama pula skrip akan diberi di set penggambaran bertujuan untuk mengasah minda finalis supaya bersedia terutama secara spontan.
Lakonan teater pula lebih menekankan kepada tema lebih glamor dan menyeronokkan. Bertemakan kehidupan remaja di kolej, sudah tentu ia mencabar kerana finalis juga perlu menyanyikan beberapa lagu baru yang dicipta khas untuk teater itu.
Rosyam Nor berkata format Pentas Akhir PK2 masih sama seperti musim lalu apabila pemarkahan finalis mewakili sebanyak 50 peratus daripada beliau dan 50 peratus lagi juri profesional. Markah juga berdasarkan laporan pengarah mengenai disiplin dan tingkah laku finalis.
Ditanya finalis mana yang dijangka bergelar juara, dia mengambil jalan selamat untuk tidak mempunyai finalis pilihan di antara tujuh peserta itu.
Ini dibuktikan apabila dia menyingkirkan Shasha Allkhred yang dikatakan menjadi peserta pilihannya selepas tidak menunjukkan persembahan yang baik pada minggu kelapan.
“Saya tidak kisah siapa yang menjadi juara sama ada lelaki atau wanita. Semuanya terserah kepada tujuh finalis untuk menampilkan aksi terbaik pada Pentas Akhir PK2.
“Saya harap penonton yang mempunyai kuasa memilih juara menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) akan mengundi dengan bijak.
“Ini kerana siapa yang dipilih mereka, akan ditonton semula di kaca televisyen pada masa akan datang. Justeru, jangan tersalah undi,” rayu Rosyam kepada penonton setia PK2.
Pada masa sama, Rosyam turut menasihatkan penonton agar tidak menghantar undian SMS di saat-saat akhir bagi mengelakkan kesibukan talian sistem pada malam ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: