Monday, February 14, 2011

Pikat 40 penaja




KEKECEWAAN berganti gembira. Duka bertukar suka. Jika sebelum ini konsert solonya yang dijadualkan berlangsung pada 23 September lalu di Jakarta terpaksa di tunda atas alasan keadaan ketegangan politik yang masih belum reda antara Indonesia dan Malaysia, namun konsert itu akhirnya menjadi suatu realiti.

Malah, halangan tersebut sebelum ini langsung tidak mematahkan semangat Datuk Sheila Majid apabila penganjur konsert tersebut, TIS Communication telah mengumumkan lebih awal tarikh muktamad iaitu esok, 15 Februari ini.

Lega dengan keputusan itu, Sheila dan tenaga produksinya mampu tersenyum kembali dan berganding bahu menyempurnakan setiap lagu yang ingin didendangkan kelak.

"Kesempurnaan sebanyak 20 buah lagu yang bakal dipersembahkan telah pun diteliti dengan mendalam sepanjang bermulanya sesi latihan dua minggu lalu.

"Saya mahu konsert ini menjadi hadiah amat bernilai kepada seluruh peminat dan individu yang pernah terlibat dengan kerjaya seni saya," katanya dengan reaksi penuh gembira.

Di sebalik keriangan setelah sekali lagi melakar sejarah penuh makna dalam kerjaya seninya itu, Sheila tidak menafikan begitu teruja dan tidak sabar untuk menggegarkan ruang pelosok JCC.

Ini kerana kelunakan suaranya itu akan bertambah agresif apabila dua pemuzik, Jenny Chin dan Mac Chew yang cukup sinonim dengan kejayaan kerjayanya sebelum ini turut dibawa bersama.

Selain itu, konsert berkenaan turut dijayakan oleh suaminya sendiri iaitu Acis yang menggalas tugas sebagai Pengarah Muzik.

Dengan tawa riang dan usikan Sheila setelah selesai mengadakan latihan di Studio Akarkarya baru-baru ini, jelas terpancar bahawa penghibur itu begitu senang bekerjasama dengan tiga pemuzik profesional tersebut.

"Bayangkan peminat kali ini bukan dihiburkan oleh saya sahaja bahkan mereka dapat menyaksikan kehebatan tiga pemuzik profesional berada di atas satu pentas.

"Inilah saat yang dinanti-nantikan kerana masing-masing begitu bermakna dalam dunia kerjaya seni saya," jelasnya yang berlepas ke Jakarta dua hari lalu.


SHEILA bersama barisan tenaga produksi Konsert Sheila Majid 25 Years, Radiance Cellebration Live In Jakarta termasuk suaminya sendiri, Acis (dua dari kanan).


Imbau kenangan

Rancak berbicara, Sheila memberitahu, pemergiannya ke Jakarta kali ini telah mengimbau kenangannya mengadakan konsert berskala besar iaitu Warna: Indonesian Tour 1988.

Bahang konsert kali ini saling tidak tumpah dengan sejarah 23 tahun lalu apabila Sheila telah berkesempatan menjelajah seluruh pelosok tanah Jawa.

Penjelajahan konsert tersebut bermula di Semarang, Yogyakarta, Malang dan Jember. Seterusnya diikuti pula Bali, Jakarta dan berakhir di Bandung.

Apatah lagi, konsert Warna: Indonesian Tour 1988 juga telah disokong penuh oleh kedua-dua pemuzik kesayangan yang sering menjadi sebutan bibirnya iaitu Jenny Chin dan Mac Chew.

"Sebab itulah saya katakan konsert kali ini sungguh nostalgia," ujarnya ringkas yang turut digelar sebagai Ratu Jazz.

Berbicara soal gimik yang akan dipertontonkan, Sheila menjelaskan, konsertnya tidak menggunakan tenaga kepakaran muzik okestra sebaliknya diiringi kumpulan pemuzik.

"Kami mahukan perubahan dengan tidak menggunakan khidmat okestra supaya persembahan nampak kelainan. Paling pasti seramai tiga pemain keyboard akan berentap bersama saya.

"Cuma mungkin akan ada efek visual di atas pentas nanti," ungkapnya yang diiringi oleh 14 pemuzik dari tanah air.


SHEILA dan tenaga produksinya menjalani latihan dan bekerja keras demi memastikan persembahan konsertnya kali ini benar-benar bermutu.


Dari segi pemilihan lagu pula, pastinya penonton sudah dapat meramalkan. Ini kerana lagu-lagu milik penyanyi itu sentiasa berjaya menambat hati tarikan pendengar.

Boleh dikatakan setiap lirik lagu amat segar dalam ingatan seluruh lapisan peminatnya. Konsert yang akan berlangsung kira-kira dua jam itu disempurnakan dengan lagu popular antaranya Sinaran, Gemilang, Warna, Lagenda, Ratu, Ku Mohon, Jentayu, Cinta Jangan Kau Pergi dan Antara Anyer dan Jakarta.

"Hanya satu lagu yang dinyanyikan dalam medley, selebihnya penuh. Semua lagu popular akan dinyanyikan, kalau saya tinggal lagu tersebut rasanya konsert itu tidak lengkap.

"Malah peminat juga mungkin tidak akan berpuas hati," seloroh Sheila.

Tidak mahu riak

Melihat kepada brosur yang tersusun di atas meja, penyanyi yang mempunyai kedudukan tinggi di persada seni negara itu sememangnya individu yang bertuah kerana menerima banyak tajaan.

Ikhlas dari hati, Sheila memanjat kesyukuran kerana kira-kira 40 pihak sudi menghulur penajaan bagi menjayakan konsertnya.


MENGAKUI begitu teruja dengan konsertnya Jakarta kali ini, Sheila berikrar memberikan komitmen seratus peratus.


"Bagi saya sekiranya seseorang artis itu diberi penghormatan untuk mengadakan konsert di negara luar, ia merupakan satu penghargaan tidak ternilai.

"Jadi saya perlu memberikan seratus peratus komitmen untuk pastikan kedatangan ke Indonesia tidak menghampakan banyak pihak terutama penaja dan peminat," terangnya.

Tarikan yang dimiliki oleh Sheila sungguh memukau banyak pihak tetapi dirinya sentiasa beringat supaya tidak perlu riak dengan pencapaian yang telah diraih.

Bagaimanapun, tidak dinafikan empunya diri berasa bangga apabila diberi penghormatan untuk mengadakan konsert di negara jiran.

"Saya bangga tetapi tidak mahu riak. Bangga itu dilihat dari sudut lagu yang saya sampaikan kerana turut dihafal oleh peminat.

"Inilah yang dikatakan konsert, apabila penonton yang hadir tahu lagu yang saya dendangkan itu. Paling terharu apabila mereka turut nyanyi bersama-sama," katanya yang akan mengenakan dua pasang busana rekaan pereka terkenal, Micheal Ong.

Sementara itu, dari segi penjualan tiket pula, sehingga kini sebanyak 50 peratus tiket sudah terjual sekali gus menambahkan lagi semangat penyanyi itu untuk bergerak lincah di pentas.

"Jualan tiket mungkin ada penambahan memandangkan sebilangan peminat sudah terbiasa menyerbu kaunter pada saat-saat akhir," ujar Sheila lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: