Saturday, February 12, 2011

Perkampungan 1Malaysia kenali budaya


ANTARA persembahan pada program Perkampungan 1Malaysia Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Zon Selatan di Melaka, baru-baru ini.


MELAKA 8 Feb. - Peserta program Perkampungan 1Malaysia Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Zon Selatan menyifatkan penganjuran itu memberi peluang terbaik kepada mereka mengenali lebih dekat mengenai pengertian 1Malaysia.

Mereka berpendapat usaha itu bukan sahaja membuka peluang mempelajari adat budaya kaum lain malah membantu melengkapkan diri dengan kemahiran berkomunikasi menerusi pergaulan dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Ini kerana menurut penuntut berkenaan, mahasiswa IPT tidak boleh hanya menumpukan perhatian kepada akademik atau terperuk di kampus.

Justeru, berbekalkan kesedaran itu seramai 500 penuntut dari IPT seluruh Melaka, Negeri Sembilan dan Johor tidak mahu melepaskan peluang mengikuti program Perkampungan 1Malaysia IPT Peringkat Zon Selatan anjuran Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KYMI) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi, baru-baru ini.

Antara IPT yang terlibat ialah KYMI, Kolej Risda Alor Gajah, Akademi Laut Malaysia (ALAM), Kolej Negeri, Kolej Universiti Nilai, Kolej Islam Johor, Kolej Metropoint dan Kolej Antarabangsa Crescendo.

Penuntut semester dua jurusan Diploma Pengurusan Ladang, Nadia Salim, 20, melahirkan rasa bertuah apabila dipilih menyertai program itu.

"Jika sebelum ini saya mungkin memandang remeh mengenai konsep 1Malaysia tetapi program ini betul-betul memberi kesan kepada saya betapa pentingnya mengenali adat budaya kaum lain.

"Banyak aktiviti yang bermakna dan mendatangkan kesedaran kepada saya mengenai konsep 1Malaysia dan tidak sia-sia menyertai program ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bagi penuntut Universiti Multimedia (MMU), Jaiganesh Velayaa, 21, program itu mencapai matlamat dalam menyatukan pelbagai kaum walaupun ia dijalankan selama tiga hari.

Katanya, program yang penuh dengan kesedaran mengenai adat budaya dalam negara ini mampu menyatupadukan semua kaum yang terdapat di Malaysia.

"Saya rasa bertuah kerana dilahirkan di Malaysia yang bebas daripada sebarang ancaman permusuhan kaum kerana bagi saya ini adalah semangat 1Malaysia yang diterapkan oleh pemimpin negara ini," katanya.

Bagi penuntut Kolej Negeri, Negeri Sembilan, Nurnisha Fazlin, 19, keputusan memilih menyertai program itu dirasakan amat tepat pada matlamatnya.

"Walaupun program seumpama ini diadakan dalam masa yang singkat, banyak faedah yang boleh diperolehi. Apa yang penting semangat 1Malaysia bukan sahaja diterapkan dalam program ini tetapi saya akan bawa terus menerapkan nilai-nilai murni ini sampai bila-bila," katanya.

Pendapat itu dipersetujui oleh rakan kumpulannya, Mohd. Ashraf Mohd. Yusof, 23, yang melahirkan rasa bertuah kerana tinggal di negara yang aman ini.

"Selain menerapkan nilai 1Malaysia, kami juga mempelajari kebudayaan negeri Melaka memandangkan tahun ini Melaka menjadi tuan rumah kepada program ini.

"Apa yang menarik kami berpeluang mengenali adat Portugis, kaum Chetti dan Baba Nyonya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: