
PEKAN 8 Feb. - Seramai 50 penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) berkampung selama lima hari di Felda Chini Tiga dekat sini, bagi mengadakan program khidmat bakti di tanah rancangan itu semalam.
Program anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini itu memberi peluang kepada generasi belia Felda terutama yang berpendidikan rendah untuk berkongsi pengetahuan dan motivasi bersama penuntut universiti terbabit.
Antara aktiviti yang dianjurkan termasuk gotong-royong, motivasi pelajar sekolah, sukan rakyat bersama belia dan penduduk setempat serta gerai informasi bagi memberi maklumat program pengajian yang ditawarkan oleh UUM.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun, program itu dianjurkan bertujuan membuka mata golongan mahasiswa bagi melihat kejayaan kerajaan membangunkan masyarakat luar bandar melalui tanah rancangan Felda terutama di Parlimen Pekan.
"Gugusan Felda Chini adalah antara tanah rancangan yang pesat membangun meliputi pelbagai sektor termasuk industri kecil, pelancongan dan pertanian di samping kemajuan taraf hidup peneroka.
"Selain itu, pembangunan sosial belia juga mula menampakkan hasil melalui pelbagai program yang dilaksanakan oleh kerajaan termasuk pembangunan kemahiran pekerjaan, sukan, insaniah dan akademik.
"Masyarakat di Chini tidak lagi berimejkan kehidupan pekerja ladang di penempatan luar bandar, sebaliknya mempunyai taraf kehidupan seperti masyarakat bandar," katanya.
Beliau berucap pada majlis penyerahan penuntut universiti itu kepada keluarga angkat masing-masing sempena program Baktisiswa UUM di tanah rancangan tersebut.
Abu Bakar memberitahu, Gugusan Felda Chini akan muncul sebagai sebuah bandar baru dalam Parlimen Pekan tidak lama lagi selepas sektor perindustrian mula beroperasi di Bandar Chini, manakala aktiviti pelancongan terus berkembang di Tasik Chini.
Sementara itu, wakil pelajar yang mengetuai program bakti siswa itu, Ku Amirul Faiz Ku Seman, 21, berkata, peluang tinggal bersama keluarga angkat di Felda menjadi pengalaman baru untuk pelajar.
"Selain dapat berkongsi idea dan selaku mahasiswa bersama ahli keluarga angkat, peserta juga dapat melihat sendiri bagaimana perubahan taraf hidup sosioekonomi peneroka di Chini.
"Kebanyakan mereka mempunyai anak yang berjaya dalam pelajaran dan berkerjaya profesional, namun masih terus berbakti kepada tanah rancangan itu melalui program belia dan sebagainya," katanya.
Menurutnya, peserta program itu juga menjalankan promosi untuk menggalakkan anak peneroka yang masih bersekolah supaya dapat melanjutkan pengajian ke UUM dalam pelbagai jurusan selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: