
SUATU ketika dulu, Istana Budaya (IB) akan cemas setiap kali ada acara rasmi melibatkan tokoh kenamaan yang berlangsung di kompleks itu. Pihak pengurusan akan bertambah resah apabila jemputan kenamaan adalah pemimpin utama negara.
Situasi itu terjadi kerana lazimnya, mana-mana program yang dianjurkan di IB suatu ketika dahulu kurang menerima kehadiran pengunjung, sehingga menyebabkan sesuatu acara itu akan kurang meriah. Jadi, apakah yang dilakukan IB untuk memenuhkan panggung?
Percaya atau tidak, IB terpaksa menggerakkan bas-bas miliknya ke sekolah-sekolah berdekatan untuk mengambil pelajar-pelajar bagi memenuhkan kerusi-kerusi kosong di sana.
Namun, itu adalah kisah lama. Kini IB mengalami tranformasi yang cukup mengagumkan. Institusi yang dibina bagi menyemarakkan seni persembahan tradisional itu telah menjadi rebutan produksi dalam dan luar negara untuk mementaskan hasil karya mereka.
IB juga dikatakan menjadi faktor utama yang mengangkat seni teater negara hingga digilai oleh peminat-peminat seni tempatan. Bagi pengamal industri, IB adalah penggerak seni teater negara.
"Jika dulu orang awam sentiasa mahukan tiket percuma. Jika tiket harga berjumlah RM50, tiada seorang pun hendak beli. Tapi sekarang, sudah ada orang sanggup membayar sekeping tiket walaupun harganya mencecah RM300 bahkan, ada yang berebut-rebut pula.
"Teater juga kini telah memberi pulangan hingga mencecah jutaan ringgit kepada pihak produksi dan angka ini sebenarnya agak mustahil pada 10 tahun lalu," ujar Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani.

Namun, seperkara yang membanggakan adalah peminat-peminat teater tidak lagi hanya menggamit hati golongan elit dan dewasa. Ini memandangkan, 70 peratus penonton muda telah mendominasi ruang Panggung Sari setiap kali pementasan berlangsung.
Golongan itu ujar Mohamed Juhari adalah kumpulan yang terawal akan hadir di ruang lobi IB dan sanggup beratur panjang semata-mata untuk menemui idola mereka.
"Ia merupakan satu kemajuan dan perkembangan yang sangat menakjubkan," ulas Mohamed Juhari.
Orang muda di IB
Selaku tulang belakang kepada pusat kebudayaan yang berprestij itu, Mohamed Juhari ada melakukan kajiannya sendiri berhubung golongan muda dan teater.
Beliau yang tidak pernah melepaskan peluang menonton setiap teater dipentaskan di IB berkata, rata-rata anak muda gemar melihat idola mereka beraksi di pentas. Teater jenis muzikal menjadi pencetus perdana yang menarik golongan itu hadir di IB dengan penuh keterujaan.
"Saya melihat, penonton wanita suka menonton teater yang mengangkat nama-nama legenda wanita contohnya teater Natrah, Siti Zubaidah, Lantai T-Pinkie dan Siti Di Alam Fantasi.
"Selain itu, mereka juga cenderung kepada teater yang bertema tragedi," beritahu Mohamed Juhari.
Trend remaja lelaki pula sebaliknya. Jawabnya, golongan Adam lebih ke arah teater yang mempunyai unsur komedi dan aksi.
"Kita tengok semasa pementasan Impak Maksima dan Cuci, penonton lelaki yang berebut-rebut ke panggung," ujarnya yang turut berbangga apabila penglibatan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dalam seni persembahan teater semakin memberangsangkan.
Justeru, adakah para pelajar mempunyai ruang untuk mementaskan kreativiti mereka di pentas IB yang gah ini?
Menurut Mohamed Juhari, setakat ini belum ada pementasan IPT yang sampai ke tahap tersebut, namun dia melihat cadangan itu boleh direalisasikan dengan syarat.
"Tiada masalah sekiranya semua Institut Pengajian Tinggi bergabung dan menyatukan hasil kreativiti mereka. IB boleh mempertimbangkannya," kata beliau.
Sebelum itu, Mohamed Juhari memberitahu, sebenarnya pihak IB meletakkan keutamaan kepada produksi yang berjaya mementaskan teater di luar IB dan mempunyai bajet perbelanjaan mencecah RM500,00.

"Saya berpendapat sesuatu yang sukar untuk peringkat umur mereka (pelajar) ialah bajet, namun saya menggalakkan mereka berjinak-jinak dengan menyertai festival teater di peringkat universiti terlebih dulu," katanya yang turut menafikan IB mengamalkan sikap pilih bulu terhadap mana-mana produksi yang berhasrat mementaskan idea mereka.
Menoleh seketika perkembangan seni teater di negara, secara keseluruhannya, banyak IPT yang aktif dalam memperjuangkan khazanah berharga negara ini sejak sedekad lalu.
Antaranya ialah Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
USM baru-baru ini berjaya mencatatkan rekod Malaysia Book Of Records (MBR) apabila mementaskan teater monolog selama enam jam tanpa henti yang hanya dilakonkan oleh seorang pelakon. MBR mengiktiraf pementasan itu sebagai teater monolog yang terpanjang di Malaysia.
Etika masuk panggung
Bersembang tentang seni teater dengan Mohamed Juhari atau senang disapa dengan nama Abang Joe sangat menyeronokkan. Beliau mempunyai pengertian yang mendalam tentang seni persembahan tradisional tinggalan nenek moyang itu.
Namun, nada riang perbualan kami tiba-tiba bertukar tatkala penulis bertanya kepadanya tentang penonton yang melanggar etika berpakaian di IB.
Mohamed Juhari menegaskan, menonton di IB tidak sama menonton di panggung wayang yang membolehkan sesiapa bebas memakai segala jenis pakaian yang disukai.
"IB ada etikanya sendiri, kita mahu jaga prestij institusi kebudayaan ini. Saya berpendapat, mereka yang datang ke sini sudah tahu, tapi masih tak menghormati. Kadang-kadang berlaku perbalahan dalam kalangan pegawai IB dengan penonton," katanya.
Namun, dalam hal ini, IB yang cukup masak berdepan dengan dilema sebegini akan meminjamkan pakaian miliknya kepada mereka yang dikesan berpakaian selekeh.
Mohamed Juhari memberitahu, pihaknya mempunyai perancangan besar untuk menjadikan IB bertaraf antarabangsa. Kini, mereka sedang berusaha membawa teater Asia dari Indonesia, Jepun dan Korea untuk dipentaskan di sini.
![]() |
| TEATER Natrah memecahkan rekod sebagai pementasan tempatan paling mendapat sambutan sewaktu ia dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya tahun lalu. |
Terbaru, IB sedang dalam perbincangan untuk membawa teater Laskar Pelangi yang menjadi satu fenomena luar biasa di Indonesia.
Melihat kepada kerancakan teater yang kini mempunyai peminatnya tersendiri terutama dalam kalangan anak muda membuatkan Mohamed Juhari bersikap optimis.
"Saya rasa tidak perlu tunggu 20 tahun, sedekad lagi IB pasti akan menjadi satu industri kerana kita lihat syarikat produksi tempatan telah berjaya bawa pulangan yang baik," tuturnya.
Tambah beliau, pada masa akan datang juga bakal menyaksikan pemain-pemain teater akan mendapat bayaran yang lumayan yang berupaya menjadikan hidup mereka mewah.
Barangkali, suatu hari nanti, pementasan negara akan setanding dengan pementasan di Sydney Theatre atau Broadway dengan kemudahan yang canggih di IB.
"Justeru, kepada pelajar-pelajar IPT, jika anda mempunyai bakat, sila gunakan sebaiknya. Selain menjadikan ia sebagai periuk nasi, anda juga adalah generasi yang akan terus mempertahankan seni budaya negara kita," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: