Tuesday, February 15, 2011

Pembangunan modal insan penting - Sultan Ahmad Shah


Sultan Ahmad Shah menyampaikan anugerah kepada Sheikh Humaid Rasyid Al-Nuaimi pada majlis penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat Dalam Pengurusan Perniagaan (Pembangunan Modal Insan) di UIAM, Gombak, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 14 Feb. - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bertitah, pembangunan modal insan di dalam sesebuah negara adalah penting bagi mengekalkan tahap pertumbuhan ekonomi yang mapan.

Baginda yang juga Ketua Perlembagaan UIAM bertitah, rakyat perlu sentiasa mempelajari kemahiran dan kebolehan baru untuk berjaya di dalam pasaran perniagaan dunia yang penuh dengan persaingan kini.

"Dengan mengembangkan kemampuan manusia dalam aspek teknikal dan kemahiran konseptual, masyarakat dan negara secara umumnya dapat melahirkan sebuah komuniti yang cemerlang," titah baginda pada Majlis Konvokesyen Khas UIAM di sini hari ini.

Majlis tersebut diadakan bagi menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Dalam Pengurusan Perniagaan (Pembangunan Modal insan) kepada Ahli Majlis Pemerintah Tertinggi Raja-Raja Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Humaid Rashid Al-Nuaimi.

Penganugerahan ijazah tersebut disempurnakan oleh Sultan Ahmad Shah.

Anugerah tersebut diberikan kepada Sheikh Humaid di atas sumbangannya terhadap pembangunan modal insan dan peningkatan kesedaran sosial di kalangan rakyat UAE.

Hadir sama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Presiden UIAM, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid.

Sultan Ahmad Shah menambah, sumbangan Sheikh Humaid juga memberi kesan yang besar kepada seluruh UAE dan dunia.

"Dengan tertubuhnya beberapa pertubuhan seperti Human Appeal Organization oleh Sheikh Humaid di negeri pemerintahannya iaitu Ajman, kemudahan pelajaran dan kelengkapan infrastruktur turut disalurkan kepada negara seperti Sudan, Bosnia dan Genting Gaza," titah baginda.

Sementara itu, Sheikh Humaid dalam ucapan penerimaan anugerah tersebut memuji kemajuan dan kemodenan negara ini di bawah pemerintahan Dr. Mahathir dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Teks ucapannya dibacakan oleh anaknya, Sheikh Rashid Humaid Al-Nuaimi.

Baginda kemudiannya melakukan pertemuan dengan Dr. Mahathir sebelum memberikan pingat penghargaan kepada Mohd. Sidek serta Dr. Syed Arabi dan Dekan Pejabat Penjaminan Kualiti dan Strategi UIAM, Prof. Abdil Aziz Berghout.

Sheikh Humaid juga melakukan upacara memecah tanah untuk kolej kediaman baru UIAM.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: