![]() |
| MAMPUKAH Christian Bale mengekalkan kejuaraannya dan mencipta hatrik di pentas Oscar nanti? |
DEBARAN kian dirasai dan hanya tinggal kurang daripada seminggu sahaja lagi acara anugerah yang cukup ditunggu-tunggu oleh peminat filem di seluruh dunia iaitu Anugerah Academy akan membuka panggungnya.
Acara yang cukup dikenali dengan panggilan glamornya, Oscar itu memang telah diakui bukan sembarangan anugerah kerana jarang sekali untuk sesebuah acara anugerah di dunia yang meraih perhatian meluas seperti Oscar.
Mungkin akan ada yang beranggapan Oscar tidak ubah seperti sebuah anugerah yang berada dalam kelompok popular meskipun ia merupakan pengiktirafan tertinggi untuk karyawan filem di Amerika Syarikat.
Di sebalik tanggapan skeptikal itu, mahu atau tidak, harus diakui memang tiada siapa yang mampu menidakkan kuasa hebat Oscar yang berjaya meraih perhatian puluhan atau mungkin ratusan juta penonton di seluruh dunia saban tahun.
Tarikh 27 Februari ini menandakan Oscar sudah pun memasuki tahun yang ke-83 dan sekali lagi, acara anugerah itu kembali menjadi sebutan dan perhatian mereka yang tidak pernah mengikuti perkembangannya sejak dulu lagi.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, Hits juga tidak mahu ketinggalan meraikan kedatangan Oscar yang sememangnya diakui memiliki kelompok peminatnya yang tersendiri.
Sebagai permulaan, untuk keluaran hari ini, Hits akan membawa pembaca melihat lima aktor yang tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan pastinya memberikan saingan cukup hebat tahun ini.
Mereka yang dipilih oleh pihak akademi untuk disenaraikan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk edisi ke-83 ialah Christian Bale bagi filem The Fighter, John Hawkes (Winter's Bone), Jeremy Renner (The Town), Mark Ruffalo (The Kids Are All Right) dan Geoffrey Rush (The King's Speech).
Daripada senarai pencalonan ini, sudah pasti nama yang disebut untuk menjulang Oscar pada malam itu nanti ialah Christian Bale yang telah memberikan persembahan terbaik dalam filem The Fighter.
Dalam sejarah penganjuran Oscar sebelum ini pun, pihak akademi cukup gemar dan tertarik dengan mana-mana pelakon yang berani membawakan watak seorang tokoh atau figura penting yang pastinya bukan satu tugas mudah.
Jika diukur kepada persembahan Bale dalam filem The Fighter, tiada alasan untuk pihak juri tidak memilihnya sebagai pemenang kerana watak Dick "Dicky" Eklund yang dibawakannya dalam filem itu cukup berkesan.
Barangkali tuah juga berpihak kepada Bale untuk membawa watak berkenaan walaupun menjadi pilihan ketiga selepas Matt Damon dan Brad Pitt yang terpaksa menolaknya atas alasan jadual kerja yang padat.
Sehinggakan untuk menampakkan wataknya itu hidup di layar lebar, Bale sanggup menurunkan berat badannya dan mempelajari lenggok bahasa serta percakapan Eklund menerusi filem dokumentari dan rakaman audio.
Keberkesanan lakonannya itu mendapat pujian pengarah The Fighter iaitu David O. Russell dan Eklund sendiri yang mengatakan Bale berjaya mengekalkan momentumnya serta hidup dalam watak itu sehingga akhir.
Sudah pun memenangi dua anugerah penting dalam musim anugerah tahun ini iaitu Golden Globe dan Screen Actor Guild, rasanya Bale tidak akan berdepan dengan sebarang masalah untuk mencipta hatrik untuk membawa pulang Oscar malam itu nanti.
Selalunya bagi mana-mana aktor yang memenangi dua anugerah tersebut, tanpa ragu Oscar akan menjadi pelengkap kepada kemenangan mereka dalam musim anugerah di Hollywood.
Sayangnya, Bale tewas di tangan Geoffrey Rush di Anugerah Akademi Filem Britain (BAFTA) untuk kategori itu sekali gus menjadi Rush sebagai saingan terdekat Bale di pentas Oscar nanti.
Rush bukanlah nama asing dalam Oscar kerana sebelum ini dia pernah memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada tahun 1997 menerusi filem Shine dan pencalonannya untuk filem The King's Speech menyaksikan kali keempat aktor kelahiran Australia itu menerima pencalonan Oscar.
Membawakan watak sebagai seorang pakar terapi percakapan dari Australia yang membantu Putera Albert (lakonan Colin Firth) yang berdepan dengan masalah gagap, lakonan Rush memang cukup menyakinkan.
Mungkinkah kejutan bakal tercipta di pentas Oscar kelak dengan kemenangan Rush? Bukan sesuatu yang mustahil kerana sejarah pernah tercipta sebelum ini pada tahun 2007.
Ketika itu, pelakon komedi terkenal, Eddie Murphy telah membolot hampir kesemua anugerah utama bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik sepanjang musim anugerah pada tahun itu menerusi filem Dreamgirls.
Namun, Murphy terpaksa berputih mata apabila calon bukan pilihan, Alan Arkin yang tercalon untuk filem Little Miss Sunshine mengejutkan ramai pihak apabila menewaskan Murphy. Sedangkan Arkin langsung tidak tercalon untuk Golden Globe dan gagal memenangi Screen Actors Guild.
Lalu, kejutan yang sama juga tidak mustahil berulang kembali tahun ini. Mungkin tidak kepada Rush tetapi kepada tiga aktor lain yang barangkali menjadi pilihan juri akademi.
Jika hendak dibandingkan antara Renner dan Ruffalo, nama Hawkes merupakan antara kejutan sewaktu pengumuman senarai pencalonan Oscar diumumkan baru-baru ini.
Bukan seorang calon pilihan, malah Hawkes tidak tercalon langsung dalam Golden Globe dan tewas kepada Bale untuk dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam Screen Actors Guild.
Tetapi, jangan dipandang sebelah mata kepada kemampuan Hawkes untuk memenangi Oscar nanti. Lakonannya dalam Winter's Bone juga tidak kurang hebatnya.
Atau siapa tahu, tuah akan berpihak kepada Renner dan Ruffalo yang barangkali menjadi pilihan pihak juri untuk menjulang Oscar tahun ini.
Siapa pun yang akan menang kelak, ia adalah sebagai satu bonus kepada hasil kerja keras mereka yang telah memberikan persembahan terbaik.
Kemenangan mereka juga akan meletakkan prestij mereka setanding dengan nama-nama hebat yang pernah memenangi kategori ini antaranya Walter Brennan, Frank Sinatra, Jack Lemmon, Jack Nicholson, Robert De Niro, Jason Robards, Timothy Hutton, Tommy Lee Jones, Cuba Gooding Jr., dan Christoph Waltz.
Bagi mereka yang tewas, ia bukanlah pengakhiran kepada segala-galanya kerana tercalon untuk Oscar juga merupakan satu kenaikan pangkat buat kepada lima calon yang membuktikan mereka bukan sembarangan pelakon.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: