Monday, February 14, 2011

Pelajar tekad berubah selepas ikuti seminar


ABDUL Aziz Jamaluddin Mohd. Tahir (bersongkok, barisan kedua dari depan) bersama para peserta dan wakil-wakil penganjur Seminar Psikologi Remaja Muslim 2010 di Pusat Latihan Yadim, Sungai Semangkis, Hulu Langat, semalam.


HULU LANGAT 12 Feb. - Lebih 200 pelajar dari 10 sekolah menengah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur bertekad untuk membaiki akhlak masing-masing selepas menyertai Seminar Psikologi Remaja Muslim 2011 anjuran akhbar ini dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), di sini hari ini.

Terdapat juga di antara mereka yang menitiskan air mata kerana sedar bahawa mereka perlu berusaha untuk menjadi individu yang lebih baik dengan meningkatkan prestasi pelajaran serta mengelak daripada melakukan maksiat.

Pelajar berkenaan adalah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cyberjaya, SMK Victoria, SMK Pandan Indah, SMK Cheras Perdana, SMK Abdul Jalil, SMK Bukit Gading, SMK Saujana Utama, Sekolah Menengah Teknik (SMT) Klang, Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Sungai Buloh dan SMV Setapak.

Program selama 10 jam dari pukul 8.30 pagi hingga 6 petang itu diisi dengan pembentangan kertas kerja oleh pakar akademik dan mini forum oleh ahli panel dari Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selain ceramah motivasi untuk memantapkan sahsiah dan penampilan diri peserta.

Upacara penutup seminar itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Yadim, Datuk Abdul Aziz Jamaluddin Mohd. Tahir. Hadir sama Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak.

Bagi Nur Amalina Mohd. Musar, 17, dia bertekad untuk menjadi seorang pelajar yang berjaya dalam pelajaran dan akan mengajak rakan-rakannya untuk mengikuti program berfaedah seperti seminar itu pada masa akan datang.

"Program ini menyedarkan saya bahawa amat penting untuk menjaga akhlak agar tidak terjebak dalam perbuatan mungkar. Saya mahu berusaha meningkatkan prestasi pelajaran untuk membuktikan kepada semua bahawa saya boleh menjadi seorang anak yang solehah dan berjaya di dunia dan akhirat," ujarnya.

Rakannya, Tasya Nursyazwani Mohamed, 16, pula berkata, nasihat yang disampaikan dalam program itu mendorongnya untuk memperbanyakkan sumbangannya di dalam memerangi maksiat.

"Maksiat banyak berlaku di sekeliling kita sekarang. Kita perlu mengubah keadaan ini agar masyarakat dapat hidup dengan harmoni dan beriman," katanya.

Nurfitrah Thulan, 16, pula bersyukur kerana terpilih mengikuti program itu yang berjaya mengubah sikapnya untuk menjadi anak yang dibanggakan ibu bapa.

"Saya akan memulakan persekolahan selepas ini dengan semangat baru untuk mengembangkan potensi diri agar berjaya di dunia dan akhirat," katanya.

Rafeeqen Syed, 16, pula akan cuba menasihati rakan-rakannya untuk mencorakkan masa depan mereka dengan ilmu keagamaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: