Tuesday, February 22, 2011

Pelajar China kagum UTeM


PESERTA program pertukaran pelajar dari Wilayah Jiangsu, China bergambar bersama penari-penari kebudayaan UTeM.


MESKIPUN usia penubuhan Universiti Teknikal Melaka (UTeM) tidak pun sampai 10 tahun, kampus itu semakin dikenali di peringkat antarabangsa. Merupakan universiti teknikal pertama yang diiktiraf di Malaysia pada 1 Februari 2007, banyak kampus antarabangsa ingin mengintai sejauh mana kredibiliti UTeM dalam mengendalikan kursus-kursus kemahirannya.

Terbaru, 19 orang pelajar dari pelbagai universiti di Wilayah Jiangsu yang terletak di bahagian timur China berkunjung ke UTeM baru-baru ini.

Kehadiran mereka sangat dialu-alukan oleh warga kampus termasuk Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Komuniti (ICNet), Prof. Madya Dr. Chong Kuan Eng.

Kumpulan itu diberi tepukan gemuruh. Lagu kebangsaan kedua-dua negara turut berkumandang di Bangunan Canselori di UTeM.

Menurut Kuan Eng, kehadiran pelajar dari China itu merupakan salah satu rangka program pertukaran pelajar yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Melaka dengan wilayah itu.

Ketika pertemuan berlangsung, UTeM menjelaskan secara terperinci konsep pengajaran dan pembelajaran di UTeM kepada semua pelajar China itu.

“Pelajar-pelajar di sini bukan hanya sekadar belajar teori tetapi pada masa yang sama, merasai sendiri pengalaman mengendalikan peralatan berteknologi tinggi seperti yang digunakan dalam industri.”

“Konsep itulah yang merupakan satu keistimewaan bagi UTeM selaku universiti teknikal pertama di Malaysia,” kata Kuang Eng.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Antarabangsa UTeM, Prof. Dr. Nanna Suryana berkata, kunjungan itu merupakan satu platform terbaik untuk Melaka menjalinkan hubungan baik dengan universiti-universiti di sana yang memiliki kepakaran dalam bidang yang sama.

“Pelajar-pelajar antara kedua buah negara juga mendapat banyak manfaat terutama dalam meluaskan ilmu pengetahuan tentang kebudayaan asing dengan lebih dekat lagi”, katanya.

Selain taklimat universiti, peserta program pertukaran pelajar dari Wilayah Jiangsu itu juga dibawa melawat beberapa kemudahan makmal berteknologi tinggi di fakulti-fakulti di kampus induk. Lawatan juga bertumpu di Kampus Bandar UTeM di Jalan Hang Tuah.

Cerita mengenai kepelbagaian budaya di Malaysia turut diketengahkan menerusi satu majlis khas yang diadakan pada sebelah malam.

Bertuah jejak ke UTeM

Seorang peserta program yang ditemui, Qian Qiaoran, 22, dari Universiti Perubatan Cina, Nanjing, beliau teruja dengan keindahan kampus itu yang sangat luas.

Dia juga mengakui, keunikan serta pengkhususan dalam pengajian kejuruteraan berteraskan teknikal merupakan satu kelebihan bagi UTeM.

Qiaoran yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke negeri bersejarah itu juga amat tertarik dengan keindahan tempat-tempat bersejarah termasuk makanan yang disajikan.

Bagi Wu Jun Wei, 24, dari Universiti Yangzhou pula, dia berasa bertuah terpilih mengikuti program ini.

“Tidak dinafikan kampus ini mempunyai landskap yang menarik serta pemandangan yang sangat indah. Sambutan yang diberikan amat mesra dan kami berasa sungguh gembira mengikuti program ini,” katanya yang mengikuti pengajian dalam bidang politik.

Jun Wei berhasrat untuk mempromosikan keunikan UTeM kepada rakan-rakannya di tanah air sekali gus mengajak mereka untuk melanjutkan pelajaran ke universiti teknikal yang berprestij itu.

Untuk rekod, UTeM kini mempunyai 21 orang pelajar antarabangsa dalam pelbagai bidang pengajian.

Lapan daripadanya sedang mengikuti program sarjana muda dalam bidang ICT manakala 13 orang terlibat dalam program pascasiswazah. Kebanyakan mereka adalah dari Indonesia, India, Iran dan Pakistan.

Universiti itu juga banyak menjalin serta menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan beberapa universiti dunia terkenal seperti Universiti Coventry, Universiti Sheffield, Universiti Teknikal Berlin, Universiti Kyoto, Institut Teknologi Bandung dan banyak lagi.

Usaha mengantarabangsakan UTeM boleh dipuji. Misalnya, laman web universiti itu boleh dilayari dengan enam bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Perancis, Arab, Cina dan Jepun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: