![]() |
| Mohd. Rashdan Ramlee (kiri) dan Muhammad Iskandar Daniel Yahya bersama-sama meneraju Netcarbon. |
BERKISAR tentang kehidupan lima orang kanak-kanak berasal dari kampung yang memperoleh kuasa luar biasa selepas terjumpa sebuah kotak ajaib. Berbekalkan kuasa itu, Danny, Elly, Alan, Shasha dan Blinq kemudiannya telah memasuki dunia penjelajahan masa hadapan di ruang angkasa lepas.
Sepanjang eksplorasi dalam 'dunia baru' itu, mereka yang bergelar pasukan Supertots berhadapan pelbagai cabaran menangkis serangan watak antagonis, Zeeboz selain memberi bantuan kepada makhluk asing baik.
Itu merupakan antara plot penceritaan bagi siri animasi tiga dimensi (3D) Supertots yang dihasilkan oleh syarikat teknologi kreatif tempatan, Netcarbon.
Produk kandungan multimedia itu merupakan antara yang tercalon dalam acara Anugerah ICT NEF-AWANI 2010 bagi kategori Animasi Kreatif/Permainan Bumiputera Terbaik.
Acara tersebut dianjurkan oleh Persatuan Industri dan Usahawan ICT Bumiputera Malaysia (NEF) bersama saluran berita televisyen, Astro Awani.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Netcarbon, Mohd. Rashdan Ramlee, siri animasi berbahasa Inggeris untuk kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun itu mengetengahkan pendekatan penerokaan dan imaginasi.
"Penciptaan karakter animasi Supertots bermula sejak tahun 2008 sebelum syarikat kami menerima geran bantuan daripada kerajaan menerusi Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) pada Mei 2010.
"Lanjutan itu, penghasilan treler selain sesi pra pelancaran dan pra tonton siri ini juga telah diadakan pada Oktober tahun lalu.
"Sepanjang sesi tersebut, ia telah berjaya menarik perhatian lebih daripada 20 syarikat penyiaran antarabangsa,'' katanya ketika ditemui di pejabat Netcarbon di Bangi, Selangor baru-baru ini.
Sebanyak 26 episod dengan durasi selama 11 minit setiap satu, animasi Supertots kini berada dalam peringkat akhir pembikinan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2010 sebelum disiarkan di Sepanyol dan Sweden.
Pembangunannya melibatkan lebih 40 orang tenaga kerja untuk operasi pengimejan, muzik dan suara.
Sementara penciptaan karakternya pula mengaplikasi beberapa perisian seperti Autodesk Softimage, Apple Final Cut Studio dan Particle Illusion.
"Operasi pengimejan karakter Supertots mengaplikasikan konsep hibrid iaitu menggabungkan teknologi motion capture dan key frame,'' jelasnya.
Untuk tujuan penyiaran di Malaysia, Netcarbon ketika ini sedang dalam proses mencari penaja yang sesuai sebelum memulakan proses alih suara.
Bagi tujuan mengukuhkan penjenamaan animasi itu, syarikat berkenaan merancang menampilkan Supertots di layar filem pada tahun 2013 selain mencipta produk-produk sokongan seperti aplikasi iPad, laman web interaktif dan menerbitkan buku kanak-kanak.
Bercerita mengenai program Anugerah ICT NEF-AWANI 2010, Muhammad Iskandar Daniel Yahya yang juga merupakan Ketua Pegawai Operasi Netcarbon, memberitahu, ia merupakan platform terbaik membantu usahawan ICT bumiputera memperluaskan pengetahuan dalam industri tersebut.
"Anugerah ini memberi peluang syarikat-syarikat terlibat mengetengahkan produk dan perkhidmatan mereka kepada umum sekali gus mencari ruang pasaran antarabangsa.
"NEF memang banyak membantu menyatukan semua syarikat ICT bumiputera dari segi hubungan perniagaan dan penyelesaian kepada pelbagai cabaran serta masalah.
"Persatuan ini turut memberi fokus kepada aktiviti penyediaan kandungan lebih baik dan strategi pemasaran,'' katanya.
Daniel memberitahu, kebanyakan syarikat ICT tempatan memilih untuk bergerak sendiri tanpa menjalankan kerjasama dengan organisasi lain.
Dengan adanya NEF, ia bertindak sebagai penghubung menyatukan syarikat-syarikat tersebut bagi memastikan mereka bersedia menghadapi cabaran dengan lebih yakin dan tenang.
"Justeru, Netcarbon yang menyertai NEF sejak 2007 mempunyai bermatlamat berganding bahu dengan syarikat-syarikat lain memacu pertumbuhan industri kreatif dan ICT negara ke peringkat lebih baik.
"Sesuai dengan moto Netcarbon iaitu Bringing Content to Life, kita mahu membawa kandungan yang berkualiti menerusi medium hiburan dan pendidikan,'' jelasnya.
Selain Supertots, siri animasi televisyen Atan & Nyet yang dihasilkan syarikat Funcel Sdn. Bhd dan Boboiboy oleh Animosta Studios Sdn. Bhd. turut tercalon bagi kategori Animasi Kreatif/Permainan Bumiputera Terbaik.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: