Friday, February 4, 2011

Nasi Lemak Kopi O, Lebih Pedas Lebih Kaw!



Sempena tahun baru, Nasi Lemak Kopi O juga tidak ketinggalan untuk meningkatkan mutunya dari segala segi untuk kepuasan penonton TV9.

Selain memperkenalkan dua pengacara baru iaitu Fatin (Gadis Melayu 3) dan AG Hotfm, NLKO yang bersiaran pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad selama dua jam mulai 8 pagi ini akan menampilkan segmen-segmen baru yang lebih segar dan informatif.

Mulai 28 Januari 2011, setiap hari siaran mempunyai kekuatan segmennya tersendiri iaitu kesihatan fizikal dan spiritual pada Jumaat menerusi ‘Penyakit Orang Kampung’ dan Syifa’; ‘Cuba Je’ dan ‘Nostalgia Nostalgia’ pada Sabtu dan keprihatinan serta kasih sayang pada Ahad menerusi ‘Hentikan Tangisan’.

Setiap Jumaat, tiga selebriti terkenal, Aziz Desa, Farah Anuar dan Fatin (GM3) akan menyingkap kembali Berita Seminggu serta memaparkan cadangan tempat percutian kos murah untuk sekeluarga dalam Jom Cuti/Diari Pelancongan.

Segmen Lensa 9 memberikan laporan berita terkini untuk informasi semua manakala Diari NLKO pula mengetengahkan perbincangan isu semasa dan pengumuman kepentingan awam (PSA) di negara ini.

NLKO juga mendekati penonton dengan program Penyakit Orang Kampung dan berkongsi pengalaman hidup mereka yang mengalami penyakit pelik yang lazimnya hanya berlaku di kampung.

Lebih menarik, penonton juga boleh menyaksikan pelakon terkenal tanah air, Ashraf Muslim, dalam Syifa’ Bersama Ashraf Muslim di mana dia akan berikthiar untuk mengenal pasti dan merawat penyakit menerusi doa dan penawar Al-Quran.

Pada Sabtu, NLKO yang dihoskan Sharifah Nur, Abu Talib Husin dan Fatin (GM3) ini pula akan memberi penekanan terhadap dunia seni tanah air dalam Filem & Teater.

Menerusi segmen Cuba Je! pula, Wan Sakinah dan Kamaruza’ain akan menjelajah ke kampung untuk mencari makanan yang pelik dan jarang didapati.

Satu segmen baru iaitu Nostalgia... Nostalgia turut dihidangkan untuk mengimbau kembali zaman kegemilangan lagu, filem dan ikon dulu. Selain itu, terdapat juga segmen gajet terkini dalam pasaran.

Sementara itu, pada Ahad, NKLO akan dimulkan dengan Sisipan Akhbar bersama hos Sharifah Shahirah, Farah Adeeba dan AG yang akan memberi fokus kepada berita terkini yang berlaku pada hari terbabit.

Tidak lengkap pada hari minggu tanpa menu dan masakan dalam segmen Dapur Berasap, yang akan membawakan seorang chef untuk memasak dan juga memberikan tips pada penonton.

Hentikan Tangisan adalah satu lagi segmen terbaru NLKO mengenai pelbagai kisah tragis yang melanda kanak-kanak. Segmen ini turut mendapat kerjasama dari pada pihak Polis Diraja Malaysia.

Bagi mereka yang minat membeli-belah pula, E-Shop adalah satu segmen yang menonjolkan keistimewaan dan kelebihan membeli-belah secara online. Selain itu, terdapat juga segmen Sihat @ NLKO bersama doktor daripada pelbagai bidang yang akan mengupas mengenai pelbagai penyakit dan tips mengenai penjagaan kesihatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: