Sunday, February 13, 2011

Mistik Angkor Wat

ANGKOR...monumen bersejarah yang menjadi tumpuan pelancong.
ANGKOR...monumen bersejarah yang menjadi tumpuan pelancong.

SEBAIK menjejakkan kaki di Siem Reap, Kemboja selepas mengharungi perjalanan pesawat AirAsia selama dua jam lima minit dari Kuala Lumpur, hati penulis sudah tidak sabar-sabar untuk melihat keindahan Angkor Wat yang diketahui umum sebagai satu daripada tujuh keajaiban dunia.

Pengembaraan penulis bersama lima teman media lain ke negara penuh mistik ini diwarnai dengan pelbagai pengalaman baru terutama bagi kami yang baru, pertama kali melawat wilayah pernah bergolak ini.

  • Foto

    KENANGAN...penulis bersama penari kebudayaan di Angkor Wat.

  • Foto

    EKSOTIK...lipas, cengkerik dan ular antara makanan kegemaran masyarakat Kemboja.

  • Foto

    BERSEJARAH...Angkor yang menjadi tumpuan pelancong.

  • Foto

    TENANG...pemandangan di sekitar perkampungan di Siem Reap.

  • Foto

    TONLE SAP...tasik luas tempat penduduk sekitar mencari rezeki.

  • Foto

    IBADAT...satu-satunya masjid di Siem Reap.

Selepas selesai urusan penginapan di sebuah hotel lima bertaraf lima bintang, penulis dibawa ke sebuah kuil di atas bukit Phnom Bakheng pada ketinggian hampir 300 meter untuk menyaksikan panorama matahari terbenam.

Dalam perjalanan menaiki van ke kuil itu, kami disajikan dengan pemandangan Kota Angkor yang masih seperti berada pada 1970-an di mana jalannya bukan saja sempit dan berlubang malah berdebu.Ternyata negara berpenduduk seramai tujuh juta orang itu masih dibelenggu kemiskinan apabila kebanyakan rakyatnya masih lagi bergelut dengan kedaifan yang dapat dilihat dengan jelas melalui cara hidup mereka seperti penggunaan basikal dan motosikal sebagai pengangkutan utama.Uniknya Siem Reap, bangunan yang berada di sini tidak dibenarkan melebihi ketinggian 65 meter iaitu tidak lebih daripada ketinggian Angkor.

Menurut pemandu pelancong kami, Prom, bangunan di Siem Reap dibina tidak lebih daripada tiga tingkat sebagai tanda menghormati Angkor yang juga tempat suci bagi masyarakat di sini.

Hari berikutnya, perasaan teruja penulis kembali membuak-buak apabila rombongan kami dijadualkan mengunjungi Angkor Wat seawal 4.30 pagi untuk melihat matahari terbit kerana ia antara tarikan yang perlu dirakam lensa kamera.
Selepas membayar tiket sebanyak AS$20 (RM60) seorang, kami dibawa masuk ke Angkor Wat yang dibina pada abad ke-12 oleh Raja Suryayavanan 11.

Bagaikan dalam lukisan, Angkor Wat kelihatan megah berdiri apabila matahari terbit betul-betul di belakang monumen bersejarah itu pada jam 5.40 pagi.
Sinaran cahaya yang melimpahi Angkor Wat menjadikannya ‘hidup’ dan lensa kamera penulis serta pelancong lain tidak henti-henti merakamkan detik indah itu.

Tidak hairanlah ia menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia sehingga diiktiraf sebagai Taman Arkeologi Angkor oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

Antara lain kunjungan terawal penulis di Taman Arkeologi Angkor ialah Angkor Thom iaitu ratusan kuil di dalam kawasan sebesar 10 kilometer persegi yang dibina pada 1181.

Selepas melawat runtuhan kuil Angkor Thom seperti Bayon, Baphoun, Phimeanakas, Terrace of Leper King dan Terrace of the Elephants, penulis tidak ragu-ragu lagi mengiyakan ia adalah sebuah bandar diraja.

Penulis meneruskan perjalanan ke Angkor Ta Phrom iaitu sebuah kuil yang sering menghiasi majalah dan buku pengembaraan. Angkor Ta Prohm adalah lokasi yang wajib dilawati apatah lagi di situlah pelakon popular Hollywood, Angelina Jolie pernah berlakon dalam filem Tomb Rider sekitar 2000.

Kunjungan ke Siem Reap bagaikan tidak sempurna jika tidak melawat Tonle Sap iaitu tasik berkeluasan 2,700 kilometer persegi yang menjadi tempat tinggal sebilangan kecil keluarga miskin di situ.

Sayu hati melihat wanita mengendong anak kecil sambil meminta sedekah dengan menaiki sampan. Sudah menjadi kebiasaan penduduk di tasik ini berlumba-lumba meminta sedekah sambil memegang ular sawa dengan harapan pelancong akan memberi wang.

Selepas puas menjelajahi segenap kuil Angkor yang penuh mistik dan tarikan tersendiri, penulis berkesempatan mengunjungi pasar malam atau ‘Siem Reap Night Market’ di tengah-tengah Pub Street iaitu tempat kegemaran pelancong untuk melepak hingga awal pagi.

Urus niaga di sini meng�gunakan Dolar Amerika menyebab�kan hampir semua barang-barang yang dijual termasuk kraftangan, pakaian dan beg mahal belaka. Waktu beginilah skil tawar-menawar diperlukan.

Mengenai makanan pula, agak sukar untuk mendapatkan makanan halal di sini kerana penduduk Islam di Siem Reap hanya satu pertiga daripada populasi penduduknya.

Namun, ada sebuah perkampungan didiami rata-rata penduduk Muslim di Steung Tmei yang mempunyai dua kedai makan menyajikan makanan halal.

Di sini juga ditemui satu-satunya masjid yang diberi nama Masjid Am Naemah iaitu tempat beribadat bagi 275 keluarga Islam di situ.

Lima hari berlalu, penulis terpaksa pulang ke tanah air, namun pengalaman di Siem Reap ditemani Pegawai Pemasaran Air Asia, Low Ka Kit dan wakil Air Asia Go, Anoo Manoharan mencipta kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: