Tuesday, February 15, 2011

Merakyatkan Orkestra RTM


SEBAHAGIAN daripada hadirin yang hadir menyaksikan persembahan Orkestra RTM sempena pelancaran album Gemilang 50.


SESUAI dengan ulang tahun ke-50 penubuhan Orkestra RTM pada tahun ini, pelbagai usaha telah dilakukan agar alunan muzik-muzik orkestra para pemuzik terbabit dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya berkata, pihaknya juga telah menjalankan kempen merakyatkan Orkestra RTM sejak tahun 2009 supaya konsep muzik yang berkualiti tinggi itu sama popular dengan muzik-muzik lain.

"Muzik orkestra sebenarnya untuk semua bangsa Malaysia. Malah, dalam orkestra ini para pemuziknya juga terdiri daripada orang Melayu, Cina, India dan etnik-etnik lain. Mereka bersatu dalam alunan muzik orkestra.

"Sebab itu, kalau boleh kita mahu supaya muzik orkestra turut dihayati oleh semua kaum di negara ini. Untuk mencapai matlamat ini, kami sanggup lakukan pelbagai cara termasuklah membawa Orkestra RTM turun padang.

"Kalau sampai tahap minta Orkestra RTM bermain di bawah khemah orang kahwin pun kita sanggup asalkan muzik ini popular," katanya pada majlis pelancaran album Gemilang 50 di Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Album Gemilang 50 yang diterbitkan RTM sempena ulang tahun ke-50 orkestra itu dilancarkan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz.

Sejak diedarkan awal tahun ini oleh E-rama Records dalam bentuk cakera padat album yang mengandungi 16 lagu instrumental itu sudahpun mendapat tempahan sebanyak 5,000 unit dan ia dijual dengan harga RM25 seunit.

Menurut Ibrahim, selain sanggup turun padang, Orkestra RTM juga akan menjalin kerjasama dengan institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan sekolah-sekolah bagi memperkembangkan lagi genre muzik tersebut.

"Usaha untuk mempopularkan Orkestra RTM harus dimulakan di peringkat sekolah agar konsep muzik ini dapat diterapkan di kalangan generasi muda. Kita mahu muzik orkestra dekat di hati rakyat negara ini," ujarnya.

Jelasnya juga, setakat ini Orkestra RTM telah menjalin kerjasama antaranya dengan beberapa IPTA seperti Universiti Perguruan Sultan Idris dan Universiti Teknologi Mara dalam banyak aktiviti berkaitan yang mereka jalankan.

Orkestra RTM yang merupakan generasi kelima dan dipimpin oleh Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail itu boleh dibanggakan kerana kesemua lebih 20 pemuziknya merupakan anak-anak tempatan.

Selain dipersembahkan oleh para pemuzik tempatan, Orkestra RTM juga kini semakin giat menggalakkan pihak-pihak tertentu agar menyiarkan lagu-lagu daripada album Gemilang 50 di tempat-tempat awam.

Kata Mokhzani, pihaknya juga berharap ada pihak-pihak tertentu yang tampil ke depan dan sanggup menaja Orkestra RTM melebarkan lagi sayapnya di peringkat antarabangsa demi mempromosikan album Gemilang 50.

"Ini kerana lagu-lagu yang dipersembahkan dalam Gemilang 50 merupakan lagu-lagu yang mewakili aspirasi dan budaya masyarakat negara ini. Misalnya lagu-lagu rakyat berjudul Ikan Kekek dan Tanah Pusaka yang popular sejak dulu.

"Apatah lagi, dengan barisan para pemuzik Orkestra RTM yang terdiri daripada graduan dalam bidang muzik, ia mampu mengangkat kualiti muzik orkestra tempatan sama tarafnya seperti kumpulan orkestra dari luar negara.

"Nama orkestra ini telah dimasukkan dalam buku Malaysia Book of Records sebagai kumpulan pemuzik orkestra paling lama bertahan di negara ini pada 11 Januari lalu. Saya yakin Orkestra RTM mampu bertahan 50 tahun atau lebih lagi," katanya.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album Gemilang 50 berjudul Airmata Berderai, Jauh-Jauh, Getaran Jiwa, Penawar Rindu, Pantai Gurauan, Apabila Kau Tersenyum, Sungai Pahang, Rancak Bertemu dan Makan Sirih.

Pada majlis pelancaran Gemilang 50, RTM turut menjemput bekas pemimpin orkestra itu seperti Tan Sri Ahmad Merican dan Datuk Johari Salleh yang telah banyak menyumbangkan bakat mereka kepada badan penyiaran tersebut.

Sempena ulang tahun ke-50 Orkestra RTM, kumpulan itu kini rancak dengan pelbagai aktiviti berskala besar termasuklah menjayakan Konsert Gemilang 50 Tahun di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 1 April ini.

"Selain konsert itu, pada malam itu Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim juga akan melancarkan buku khas mengenai sejarah Orkestra RTM yang julung kalinya diterbitkan sempena sambutan ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: