![]() |
| WAU mini daripada perak antara rekaan menarik. |
SENI pertukangan perak yang terkenal di Kelantan terus dipelihara sebagai seni warisan turun temurun dan menjadi legasi kebanggaan negara.
Sokongan dan galakan daripada Kraftangan Malaysia mendorong kumpulan tukang yang memiliki kemahiran itu giat mengeluarkan produk perak berkualiti.
Mewarisi seni pertukangan perak daripada datuk sebelah ibu, Razali Abas, 56 dari Kampung Sireh, Kota Bharu memberitahu, penglibatannya dalam bidang tersebut terbentuk menerusi acuan yang diturunkan sejak empat generasi lalu.
Tempat kelahiran beliau merupakan daerah terkenal yang melahirkan banyak pengukir perak di negeri Cik Siti Wan Kembang sekitar tahun 40-an.
Perak memerlukan pencanai dan pengukir berkemahiran tinggi, justeru Razali dilihat antara tukang yang mahir mencanai logam bersifat mentah kepada peralatan hiasan bernilai ribuan ringgit.
Lebih 35 tahun berpengalaman dalam seni tukang perak, Razali meneruskan legasi keluarga Abdul Manan Yaakub iaitu bapa saudara yang juga pemilik KB Permai di Kota Bharu yang meninggal dunia awal tahun ini.
Peredaran zaman menyaksikan hadiah korporat berasaskan perak seperti tepak sirih, bekas bunga, piala, pending, keris, bekas tisu, pemegang pen dan terkini aksesori lelaki dan wanita pelbagai rekaan semakin mencuri tumpuan.
Hiasan
Sementara itu, Mohd. Daud Yusof, 65, dari DY Silver Crafts mengakui corak dan motif yang tertera pada ciptaan barangan perak jiwa imaginasi si pengukir sama ada memilih corak awan larat bermotifkan alam atau geometri.
‘‘Sifatnya yang tahan sehingga ratusan tahun, cantik dan penjagaan yang mudah tetapi kekal dengan rekaan seni halus buatan tangan menjadikan perak tergolong dalam kelas tersendiri bahkan memiliki nilai estetika yang diangkat oleh peminatnya.
‘‘Selain bilah keris berulu ukiran bentuk anak ayam tidur atau anak ayam sejuk yang ditampilkan dalam bentuk simbol, tukang perak Melayu memilih tumbuhan daripada kumpulan yang hidup menjalar seperti sayur atau ulam-ulaman yang biasa di lihat,” katanya.
Antaranya corak flora daun kacang panjang, pucuk kangkung, pucuk paku, daun sekati lima sulur, labu sulur, pucuk petola juga bunga-bungaan seperti anggerik, raya, senduduk, teratai, kiambang, padi dan matahari.
Seorang lagi usahawan perak yang ditemui di Jalan Pasir Mas, Pasir Pekan, Tumpat, Megat Ibrahim Saat, 65, memilih seni pertukangan perak menggunakan pintalan dawai sebagai asas menghasilkan produk hiasan seperti replika wau.
Walaupun kini lebih tertumpu menghasilkan barangan hiasan perak yang menuntut kemahiran kerana memerlukan cantuman dawai-dawai pintalan halus seperti menghasilkan wau bersaiz tujuh sentimeter, namun secara keseluruhan proses melebur perak adalah sama.
‘‘Misalnya wau mini, walaupun tampak mudah tetapi dengan tenaga pekerja lima orang, dalam tempoh dua minggu hanya 30 biji boleh dihasilkan kerana buatannya halus dan memerlukan kemahiran membentuk dan mencantum,’’ katanya.
Berbeza dengan seorang lagi usahawan berasaskan kemahiran dan kreativiti, Ariffin Ibrahim, 48, di Kampung Kubang Pas, Pasir Mas YANG memilih besi sebagai bahan asas produk yang dikeluarkan.
Beliau dikenali tukang buat kacip pinang, pelbagai jenis parang puting dan pisau, golok, kelewang iaitu senjata tajam seperti parang tetapi mempunyai ukiran di bahagian atasnya.
Menjadikan bangsal daripada dana Kraftangan Malaysia berhampiran rumah, Ariffin memulakan kerja seawal pagi mengikut tempahan atau menjualkan di pasar-pasar sari sekitar Pasir Mas.
Kraf perak adalah antara produk yang akan dipromosikan sempena Hari Kraf Kebangsaan 2011. Seramai 500 usahawan mengambil bahagian sempena penganjuran kali kesembilan ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: