![]() |
| SALAH satu aktiviti berakit yang disertai oleh peserta-peserta Program Pintar anjuran UTeM, baru-baru ini. |
MELAKA 8 Feb. - Walaupun terkenal dengan mutu kualiti pendidikan yang bertaraf antarabangsa, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) tidak mengabaikan aspek latihan dan pembangunan sumber manusia.
Keadaan itu bagi memastikan warga UTeM sentiasa efektif, efisien dan produktif dalam melaksanakan operasi harian UTeM ke arah kecemerlangan yang berterusan.
Sehubungan itu, Unit Latihan UTeM telah menganjurkan Program Integrasi Insan Terbilang (Pintar) Siri 1 Tahun 2011 baru-baru ini.
Seramai 67 kakitangan Perpustakaan UTeM menyertai Program Pintar yang dianjurkan di salah sebuah resort di Negeri Sembilan.
Menurut Naib Canselor UTeM, Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan, antara objektif diadakan program Pintar adalah untuk memantapkan lagi pemahaman warga UTeM terhadap pencapaian visi dan misinya dengan menggunakan pendekatan berasaskan kaedah pembelajaran melalui pengalaman.
Katanya, terdapat tiga teras utama diterapkan kepada setiap peserta yang menjalani program ini.
"Teras pertama meliputi aspek pembangunan rohani melalui aktiviti agama seperti kuliah subuh dan kuliah maghrib. Teras kedua pula menyentuh aspek pembangunan mental melalui aktiviti-aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) di dalam dan di luar dewan bagi menguji ketahanan mental para peserta serta kerjasama gerak kerja berkumpulan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, teras yang ketiga pula menekankan aspek pembangunan jasmani melalui aktiviti sihat cergas dan aktiviti luar dewan seperti aktiviti berakit.
"Aktiviti ini akan memberi cabaran kepada peserta yang perlu menggunakan keupayaan fizikal dalam mengharungi cabaran ini dari peringkat permulaan hingga ke garisan penamat," katanya.
Sementara itu, beliau turut memberitahu, Program Pintar akan diteruskan selaras dengan usaha meningkatkan kesedaran dan pemahaman warga UTeM bagi mencipta keunggulan pusat pengajian tersebut melalui transformasi yang bertaraf antarabangsa.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: