Saturday, February 12, 2011

Mangsa fitnah

pix_gal0
Kekasih kemalangan, Avril disangka meninggal dunia

PENYEBARAN fitnah bukanlah perkara baru dalam dunia hiburan. Sejak dulu, pada ketika media cetak dan elektronik yang menjadi tumpuan peminat, hinggalah ke zaman kemajuan internet, khabar angin atau cerita rekaan terus berleluasa. Cuma, cara sebaran saja yang mungkin berbeza.

Sudah ramai artis, tempatan mahupun antarabangsa, yang menjadi mangsa khabar tidak benar seperti itu. Antaranya ialah penyanyi Kanada yang cukup popular dengan lagu When You’re Gone, Avril Lavigne.Awal tahun ini, kecoh di internet apabila penyanyi berusia 26 tahun dari Ontario itu dikatakan meninggal dunia selepas mengalami kemalangan sewaktu meluncur di pusat luncur salji terkenal, Resort Whistler Blackcomb, 125 kilometer di utara Vancouver.
Avril yang bercuti bersama teman dan juga keluarganya ketika itu dilaporkan hilang kawalan sewaktu meluncur dan melanggar pokok dengan kadar kelajuan amat tinggi, menyebabkan kematian serta-merta. Ketika kemalangan itu berlaku, Avril memakai topi keledar dan tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.

Bagaimanapun, berita yang di petik di laman sesawang Global Associated News itu ternyata palsu. Bukan Avril yang ditimpa kemalangan tetapi teman lelakinya, Brody Jenner, yang tercedera sewaktu bermain sukan luncur air di Kepulauan Hawaii. Secara kebetulan, sewaktu berita kematian Avril itu tersebar, Brody pada masa yang sama mendedahkan kemalangan yang menimpa dirinya di laman twitter miliknya, menyebabkan banyak pihak menyangka laporan kemalangan membabitkan penyanyi yang turut bergelar pelakon dan komposer itu benar.

Brody dalam laman twitter itu turut memaparkan foto lengannya yang menerima jahitan akibat kecuaiannya. Ternyata Avril menjadi mangsa laporan berita palsu yang sebelum ini pernah melanda beberapa selebriti, antaranya Adam Sandler, Owen Wilson dan Charlie Sheen.

Sewaktu kejadian, Avril sebenarnya sibuk mengadakan persembahan sempena acara New Year’s Rockin’ Eve untuk saluran ABC.
Global Associated News ialah sebuah laman web yang membolehkan pengunjungnya merekacipta sebarang berita dan menjadikannya seperti cerita benar, dengan hanya menaip nama sesiapa di atas skrin yang tertulis “Fake A Wish”.

Tak suka disamakan dengan Madonna

KETIKA ini, Avril rancak mempromosikan album terbaru berjudul Goodbye Lullaby yang bakal berada di pasaran Mac depan. Antara negara yang dikunjunginya ialah Paris.

Di sana, Avril sempat ditemubual dalam sebuah program bual bicara iaitu Kyle and Jackie O Show. Menerusi program itu, penyanyi yang terkenal dengan imej punk rock ini meluahkan rasa kurang selesa apabila sering dibandingkan dengan ramai selebriti termasuk ikon pop, Madonna.

“Saya sememangnya tak suka apabila sering dibandingkan dengan Madonna. Saya ialah saya dan dia ialah dia. Kami orang yang berbeza,” katanya saat mengulas artikel sebuah majalah yang menyamakannya dengan penyanyi sensasi itu.

Bagaimanapun tegas penyanyi ini, pendiriannya itu bukanlah bermakna dia tidak menyukai atau tidak mempunyai rasa hormat terhadap Madonna.

“Saya menghormati Madonna kerana selain mempunyai karier nyanyian yang hebat serta semangat kerja keras yang tinggi, dia juga mempunyai kehidupan peribadi yang seimbang iaitu sebagai artis dan juga ibu,” ujarnya yang mahu menjadikan perkara itu sebagai contoh.

Kongsi pengalaman menerusi lagu

DUA tahun dalam pembikinan, kini album studio keempat Avril menanti masa sesuai untuk dipasarkan. Walaupun tinggal sebulan saja lagi untuk berada di rak kedai muzik, namun single pertama Avril berjudul What The Hell sudah pun kedengaran di corong radio.

Untuk album ini, Avril masih meneruskan kerjasama dengan komposer terkenal seperti Deryck Whibley (anggota kumpulan Sum 41 yang juga bekas suaminya), Evan Taubenfeld, Butch Walker serta Max Martin.

Selama dua tahun tanpa sebarang buah tangan terbaru, kali ini Avril akan berkongsi pengalaman peribadinya menerusi lagu yang ditulis sendiri, selain menyuntik elemen kelainan dari segi bunyian muzik. Selain irama rancak yang menjadi tanda dagangnya, nuansa muzik awal 50-an yang dinyanyikan penyanyi wanita berkumpulan ialah antara elemen diselitkan dalam lagunya yang berjudul Stop Standing There. Lagu lain yang turut dimuatkan ialah Smile, Push, Wish You Were Here dan Goodbye.

Selain berkecimpung dalam bidang muzik, Avril juga mempunyai jenama pakaiannya sendiri di bawah jenama Abbey Dawn, yang semakin melebarkan sayapnya hingga ke 50 negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: