Sunday, February 20, 2011

Manfaat 'obsesi' Zaharah

Zaharah Taib
Zaharah Taib

SABAN hari selama setahun, dia mengkaji industri biomass. Walaupun tidak berpengetahuan mengenai teknologi berkenaan apatah lagi ketiadaan pengalaman, namun pendedahan media selain saranan kerajaan untuk meneroka sumber baru membabitkan industri biomass menambat minatnya.

Malah, siapa sangka, hanya berdasarkan kajian menerusi Internet serta buku, akhirnya dia melakukan 'kerja gila' apabila melepaskan jawatan sebagai pengarah urusan sebuah syarikat pembekalan barangan makmal yang membekalkan peralatan bagi kegunaan sekolah di negara ini semata-mata untuk mencuba bidang berkenaan dengan menubuhkan Zara Development Resources (ZDR) Sdn Bhd.


Pada anggapan ramai, tindakan itu mungkin 'tidak masuk akal' namun bagi Zaharah Taib, 52, 'obsesi' terhadap industri biomass adalah satu cabaran, terutama tidak ada pembabitan anak Melayu dalam industri itu yang dianggap baru, selain perasaan ingin mencuba yang meluap di dalam diri.

  • Foto

    CANGGIH...industri biomass yang menggunakan teknologi terkini dalam menukarkan sisa kelapa sawit kepada tenaga elektrik.

  • Foto

    JANA PENDAPATAN...penggunaan sistem biomass mampu menukarkan sisa buangan sawit kepada minyak mentah.

  • Foto

    MESRA ALAM...sisa buangan daripada sistem penggunaan teknologi biomass tidak mencemarkan alam sekitar.

Itu cerita lima tahun lalu, dan kini dia boleh berbangga cubaannya 'meneroka' potensi industri biomass berjaya dengan membina dua loji jana kuasa elektrik biomass kelapa sawit yang kini mampu membekalkan kira-kira 12 Megawatt tenaga setiap satunya di Sandakan, Sabah.


Dikenali sebagai Kina Biopower Sdn Bhd dan Seguntor Bioenergy Sdn Bhd, kedua-dua loji jana kuasa elektrik itu menukar bahan buangan kelapa sawit iaitu tandan kelapa sawit tanpa biji (EFB), pelepah dan tempurung kelapa sawit kepada sumber elektrik bagi kegunaan harian.


Kedua-dua loji berkenaan kini membekal 10 Megawatt tenaga elektrik kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk tempoh 21 tahun menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga Elektrik Yang Boleh Diperbaharui (REPPA) sebagai bahan api utama selain memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, sekali gus meningkatkan pembangunan tempatan.

Lebih menarik lagi, penukaran bahan buangan itu kepada sumber tenaga elektrik mampu memulihara alam sekitar daripada pencemaran yang lazimnya dikeluarkan oleh bahan buangan kelapa sawit yang tidak digunakan.


Zaharah yang kini memegang jawatan Pengarah Urusan Kumpulan Zara Development Resources Sdn Bhd (ZDR) mengakui puas dengan pencapaiannya, apatah lagi industri biomass sememangnya lebih dikenali sebagai industri baru di negara ini."Terus-terang saya katakan, saya puas hati dengan pencapaian saya ketika ini kerana cubaan nekad saya yang mungkin dianggap gila segelintir pihak akhirnya memberi hasil membanggakan.


"Paling tidak, ini membuktikan Bumiputera juga mampu berjaya dalam apa yang ingin dilaksanakan dan berdiri setanding dengan bangsa lain dalam bidang teknologi," katanya.


Walaupun kini dia mampu tersenyum bangga, Zaharah tetap tidak dapat melupakan pengalaman apabila tidak ada satu pun bank tempatan sanggup memberi pinjaman kepada syarikatnya untuk membina loji berkenaan.


"Saya masih ingat, sebaik melepaskan jawatan dan menyiapkan kertas kerja untuk membina loji jana kuasa elektrik biomass, tidak ada satu pun bank mahu memberi pinjaman kepada syarikat yang baru ditubuhkan.


"Satu daripada alasan diberi, industri ini masih baru dan belum menampakkan hasil selain membabitkan kos besar," katanya.


Selama setahun, tanpa jemu dia mengangkut semua kertas kerja untuk membina loji jana kuasa elektrik biomass kelapa sawit turun naik institusi perbankan tempatan dan ternyata kesabarannya berbalas apabila beberapa syarikat Jepun yang turut terbabit dalam industri biomass menawarkan diri untuk bekerjasama membina loji berkenaan di Sandakan.


Bak pepatah, 'tak cukup tapak tangan, nyiru ditadahkan', Zaharah menerima tawaran syarikat berkenaan yang menyuntik modal untuk membina kedua-dua loji jana kuasa elektrik biomass kelapa sawit.


"Alhamdulillah, walaupun dengan bantuan syarikat lain, projek Loji Jana kuasa Biomass 12 Megawatt untuk Kina Biopower Sdn Bhd dan Seguntor Bioenergy Sdn Bhd akhirnya berjaya disiapkan pada 2009.


"Jika diikutkan, saya sedikit kecewa kerana kejayaan pembinaan kedua-dua loji ini bukan atas bantuan bank tempatan, sebaliknya hasil bantuan luar yang membuktikan kurangnya kepercayaan terhadap keupayaan anak tempatan dalam industri teknologi," katanya.


Tiba waktu bagi menjalankan operasi loji berkenaan, akui wanita ini, dia sekali lagi diuji apabila pihak pekilang yang sebelum ini hanya membiarkan sisa sawit sebagai sampah kemudian mula meletakkan harga terhadap sisa buangan sawit.


"Bagaimanapun, saya puas hati kerana hasilnya saya dapat ubah sesuatu benda yang dulunya dianggap sampah menjadi kepada benda yang mempunyai harganya dan memberi manfaat kepada manusia.


"Jika dulu, sisa sawit hanya terbiar mencemar alam dengan pelepasan gas metana, tetapi kini pelepasan gas itu dimanfaatkan menjadi sumber tenaga yang membantu rakyat," katanya.


Bukan itu saja, menerusi sistem digunakan, setiap sisa kelapa sawit yang dibakar menghasilkan baja lebih berkualiti dan mesra alam, selain beberapa peratus daripadanya berjaya ditukarkan menjadi minyak mentah.


Malah, sistem biomass juga terbukti lebih baik berbanding sistem jana kuasa elektrik sedia ada seperti empangan hidro yang memerlukan kawasan lebih besar, solar yang tidak sesuai berikutan keadaan iklim di negara ini yang kerap hujan dan mendung selain kadar angin yang sedikit menyukarkan penggunaan sistem kincir angin.



>PROFIL
NAMA: Zaharah Taib
LAHIR: 20 Februari 1959
ASAL: Singapura
JAWATAN: Pengarah Urusan Kumpulan Zara Development Resources Sdn Bhd (ZDR)
PENDIDIKAN: Ijazah Sains Sosial, Universiti Singapore, Singapura
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Mohamed Saini Abdul Hamid
ANAK: Shahreena (30), Mohamed Haikal (26) dan Mohamed Danial (22)

1 comment:

  1. Hebat.... kene jadi Menteri UMNO dulu baru ada peluang untuk berjaya

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: