![]() |
| Menutup mulut serapatnya andai ada pihak yang mahu mengulas kembali kisah silamnya. |
PELAKON Nora Danish mahu segala kemelut antara dirinya dengan bekas suami, Rizal Ashram atau Jejai bersama Fasha Sandha berakhir segera. Baginya, krisis tersebut umpama mimpi buruk yang banyak memberi kesan kepada dirinya apabila ia terus berlarutan dipersoalkan oleh pihak media.
Tambahan pula dengan pelbagai versi pendapat daripada banyak pihak memberatkan situasi sehingga menjadi kompleks dan semakin panas. Ruangan gosip juga tidak ketinggalan membuat spekulasi menyebabkan pelakon drama Puteri ini semakin tersepit. Menjadi mangsa keadaan dan bahan umpatan masyarakat sekeliling.
''Saya ingin jelaskan bahawa kebanyakan cerita melibatkan kisah percintaan Jejai dengan pelakon itu saya ikuti menerusi pembacaan sendiri dalam ruangan gosip. Saya tak pernah cakap saya punca perpisahan mereka dalam akhbar. Fasha dan Jejai sendiri tak pernah menuduh saya punca perpisahan mereka. Kenapa berita saya sebagai punca perpisahan mereka boleh tersebar.
''Mulai hari ini, saya tidak akan memberi komen tentang hubungan mereka kerana itu hak mereka. Jelas sudah perkara tersebut juga bukan bidang kuasa kerana saya bukan sesiapa kepada mereka berdua,'' reaksi Nora apabila dirinya dikatakan punca retak percintaan antara Jejai dan Fasha.
Heroin filem Cuti-Cuti Cinta ini juga mahu menekankan bahawa selama ini dia hanya mengeluarkan kenyataan untuk menjernihkan nama baiknya apabila dikaitkan dengan trilogi cinta mereka.
Dalam nada tegas, pelakon sitkom Tiga Serumah berkata: ''Apabila wartawan bertanya, saya memberi penjelasan sebaik-baiknya. Niat saya cuma satu, mahu maruah saya tidak dipijak sebab saya tak mahu dikaitkan punca retak hubungan cinta mereka. Apabila ia sudah diputar belit, saya pula menjadi mangsa.''
''Saya nak tanya, apa perasaan anda apabila masyarakat masih menjaja cerita kisah rumah tangga yang lepas. Kemudian mengaitkan diri dengan cerita lama. Sampai bila kita mahu maju, kalau kisah lampau sentiasa diungkit-ungkit,'' gerutu anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu ini.
Wanita berusia 29 tahun ini lagi juga berulang kali mengatakan dia tidak kisah dengan pilihan bekas suaminya termasuk bersama pelakon drama Dia Atilia itu.
''Saya sentiasa doakan yang terbaik buat Fasha dan Jejai dalam kehidupan mereka,'' katanya ringkas, mahu pertikaian itu segera ditamatkan.
Itu bukan FB saya!Pemilik nama sebenar Nora Danish Mohd. Hanif ini juga sesal tatkala ada pihak yang mencipta akaun laman sosial, Facebook menggunakan namanya sendiri tanpa pengetahuannya.
Hairannya, semua status yang dikemas kini menerusi akaun Twitter miliknya, turut tercatat di Facebook.
''Hairan bukan, kalau setiap perkara yang ditulis di Twitter turut ada di Facebook. Malah semua gambar-gambar fotografi lama turut ada di situ. Sehingga ke hari ini, saya tak tahu siapa pemilik sebenar akaun Nora Danish di Facebook.
''Pada masa yang sama, saya turut bersyukur kerana ada pihak yang ambil berat tentang kehidupan peribadi saya. Terima kasih banyak-banyak,'' katanya.
Mengulas tentang gambar percutian kiriman Nora khusus buat pembaca Pancaindera ini, nada suara ibu kepada Putera Rayqal Ramli bertukar kegembiraan.
Duta produk berasaskan pati halia, Dunia Herbs ini berkata, kesemua gambar tersebut diambil ketika percutian bersama dengan pemenang pencarian gadis remaja jenama berkenaan di Singapura baru-baru ini.
Perjalanan menaiki bas dari Kuala Lumpur berjam-jam lamanya itu terubat tatkala menjejakkan kaki di Universal Studios Singapore (USS) yang terletak di Pulau Sentosa Singapura.
''Saya ambil kesempatan untuk membawa Rayqal sekali. Kami berdua cukup seronok. Sebelum ini, saya pernah ke Disneyland Paris dan yang terbaru Tokyo. Apa pun, saya suka dengan USS sebab tempat itu tidak mengecewakan saya.
''Insya Allah, saya berhajat ke situ sekali lagi sebab belum puas bermain dan bersiar-siar di situ,'' katanya mengakhiri perbualan malam Khamis lalu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: