![]() |
| ABDUL Rahman Palil (dua dari kiri) merasmikan Malam Kebudayaan Perkampungan 1Malysia Mahasiswa UM di Kampung Rantau Panjang, Klang baru-baru ini. |
KLANG 13 Feb. - Sebanyak 41 pelajar Universiti Malaya (UM) menyertai Program Perkampungan 1Malaysia yang diadakan di Kampung Rantau Panjang di sini, baru-baru ini.
Program anjuran Kolej Kediaman Kelima UM itu bertujuan menerapkan semangat 1Malaysia yang menjadi simbol perpaduan rakyat Malaysia.
Pengarah Projek Perkampungan 1Malaysia, Muhammad Nasrul Alam Ash'ari berkata, program itu disertai pelajar berbilang kaum antaranya Iban, Melayu, Cina dan India dari pelbagai fakulti di UM.
"Tujuan utama adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan gagasan 1Malaysia di samping memberi peluang kepada mereka bergaul mesra dengan penduduk setempat di kampung ini.
"Selain itu, pelajar berpeluang berkenalan serta mengenali masyarakat luar terutamanya masyarakat Jawa di samping merasai pengalaman baru bersama keluarga angkat serta mencuba makanan tradisional masyarakat Jawa, nasi ambang," katanya.
Beliau berkata, kebanyakan pelajar agak teruja kerana sebelum ini, mereka tidak pernah merasai pengalaman mempunyai keluarga angkat.
"Program ini akan diteruskan dan hubungan yang terjalin antara keluarga angkat dan pelajar akan berterusan," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, program itu adalah yang pertama membabitkan gagasan 1Malaysia.
"Sebelum ini, ada juga pelajar yang menjalankan program di kampung ini tetapi ini adalah kali pertama program berkonsep semangat 1Malaysia dijalankan.
"Secara tidak langsung, gagasan 1Malaysia yang menjadi simbol perpaduan itu dilihat berkesan kerana program ini disertai pelajar berbilang kaum dan bangsa," katanya.
Program yang berlangsung selama tiga hari itu membabitkan aktiviti seperti program motivasi, gotong-royong dan lawatan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: