Friday, February 11, 2011

Layang-layang pari-pari merah jambu


DARI KIRI: Kenny, Lothar, Cerene dan Ranjit ketika majlis penyampaian sumbangan.


LANGIT di Taman Metropolitan, Kepong, Selangor petang 15 Januari lalu tidak lagi berwarna biru seperti biasa. Dada langit petang itu diselangi dengan warna merah jambu kerana dipenuhi layang-layang pari-pari.

Rona merah jambu layang-layang di langit itu membuktikan bahawa rakyat Malaysia merupakan masyarakat penyayang yang memberikan harapan dan dorongan kepada pesakit-pesakit barah payu dara memerangi penyakit itu.

Menerbangkan layang-layang yang mempunyai gambar pari-pari di atasnya, menandakan penutup bagi kempen Pink Purse yang merupakan kerjasama di antara Persatuan Kebajikan Barah Payudara (BCWA) yang disokong oleh GlaxoSmithKline Pharmaceutical (GSK), J.CO Donuts & Coffee dan G2 Kuala Lumpur untuk mengutip derma dan memberikan akses serta sokongan kepada pesakit-pesakit barah payu dara.

Dalam tempoh enam minggu, Pink Purse berjaya mengumpul RM40,000 yang disalurkan kepada Pink Ribbon Mobile Life Saver (MURNI) BCWA dalam dua peringkat.

Sebanyak RM20,000 telah diberikan pada bulan November 2010 di Majlis Makan Malam Amal A Journey of Metamorphosis untuk BCWA bersempena dengan Festival Fesyen Islam XI.

Jumlah tersebut adalah hasil kutipan menerusi jualan layang-layang Be A Pink Angel yang dijual pada harga RM10 setiap satu serta sumbangan RM2 dari setiap Pink Angel Combo yang dijual oleh J.CO Donuts & Coffee.




MURNI berhasrat untuk membantu, menasihat dan menyokong wanita dalam kalangan masyarakat luar bandar di Malaysia untuk mendapatkan maklumat yang lebih baik mengenai barah payu dara, menghulurkan bantuan dan rawatan perubatan segera.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada GSK, J.CO Donuts & Coffee dan G2 Kuala Lumpur terhadap sokongan dan usaha mereka dalam kempen Pink Purse, yang mendorong wanita supaya menjadi lebih peka terhadap payu dara serta memberikan mereka lebih banyak akses kepada maklumat yang diperlukan.

"Projek-projek kutipan derma seperti ini juga memberikan kami lebih banyak peluang dan ruang untuk memperkasa dan memenuhi keperluan perubatan, pendidikan, emosi dan kehidupan kepada mereka yang menderita akibat barah payudara," kata Presiden BCWA, Ranjit Kaur.

Menurutnya lagi, projek tersebut tidak dapat dijayakan tanpa kemurahan hati dan sokongan daripada penyokong pesakit kanser payu dara dan orang ramai.

Barah payu dara merupakan barah yang paling kerap dalam kalangan wanita, menyebabkan lebih satu juta kes baru setiap tahun. Ia sekali gus menjadi punca utama kematian wanita yang berkaitan dengan barah.

Facebook merah jambu

Nisbah risiko menghidap kanser payu dara dalam kalangan wanita Malaysia ialah 1 daripada 20.

Penyakit itu adalah yang paling lazim dalam keseluruhan penyakit barah.

Selain inisiatif kutipan dana itu, usaha-usaha mendidik, meningkatkan kesedaran dan strategi akses maklumat juga dilaksanakan untuk memberitahu orang ramai mengenai Pink Purse bagi mempertingkatkan lagi pencapaian kepada pesakit-pesakit barah payudara.


PENYANYI terkenal, Jaclyn Victor menurunkan tandatangan sebagai sokongan.


Selain memaparkan maklumat mengenai kempen itu, laman Facebook Be A Pink Angel juga menjemput orang ramai untuk mengambil bahagian dalam kempen foto digital Show Yourself Pink Angel dengan memuat naik foto merah jambu mereka, orang lain atau barangan.

Sehingga hari ini, laman Facebook Be A Pink Angel telah mencapai kira-kira 800 penyokong dan lebih daripada 3,000 foto telah dimuat naik.

"Usaha-usaha ini sejajar dengan komitmen GSK dalam memberikan penyelesaian kepada pesakit-pesakit yang menghidap penyakit ini.

"Kami berusaha keras untuk memberikan rawatan berkualiti dan akses ubat-ubatan kepada pesakit-pesakit barah payu dara bagi membantu mereka melakukan lebih banyak perkara, rasa lebih baik dan hidup lebih lama," ujar Pengarah Komersial Onkologi Asia Pasifik GSK, Lothar Kunze.

Sementara itu, Pengurus jenama J.Co Donuts & Coffee, Cerene Chen dan Pengurus Besar G2 Kuala Lumpur, Kenny Loh berkata, kempen Pink Purse memberikan mereka peluang untuk turut serta memperlengkap dan menggalakkan wanita yang mengidap barah payu dara untuk mendapatkan rawatan yang diperlukan.

"Kami berbesar hati kerana dapat menjadi Pink Angel dan memberikan hadiah untuk hidup kepada mereka yang menghidapi barah payu dara peringkat akhir," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: