Sunday, February 6, 2011

Kerancakan era seni halus


Pemenang Anugerah Juri, Mohd. Ashriq Sudin bersama Interpretasi CFC.


PAMERAN Terbuka Pelita Hati 2010 yang berakhir baru-baru ini memberi seribu satu kenangan buat 33 peserta yang terlibat. Tanpa mengira usia dan tahun pengalaman penglibatan peserta dalam bidang seni, mereka bergabung tenaga untuk mencari identiti dengan menampilkan keunikan masing-masing.

Misi penganjur, Gallery Of Arts menerusi Pengarah Urusannya, Raja Annuar Siffudin dilihat berjaya dalam mengetengahkan bakat baru terutama golongan muda. Satu bentuk insentif juga diwujudkan buat peserta terpilih sebagai ganjaran pada masa depan.

Pemenang anugerah juri, Mohd. Ashriq Sudin, 23, menyifatkan pertandingan sihat sebegitu mampu mencungkil lebih banyak idea tulen baru, setaraf dengan apa yang dilihat di peringkat antarabangsa.

Mempertaruhkan seni halus berjudul Interpretasi CFC yang memberi peringatan kepada manusia tentang kesan mencemarkan alam disimpulkan menjadi satu naskah penuh makna.

''Segala imej saya masukkan menggunakan teknik conteng. Semakin banyak elemen spontan, semakin banyak pengertian dan tafsiran diselitkan di dalamnya.

''Penceritaan ini mungkin bersifat abstrak buat pandangan mata manusia biasa, tetapi orang seni seperti kami, sudah pasti berbeza. Sebab itu, saya mengambil masa empat hari untuk menyiapkan karya ini agar dapat menyampaikan mesej sebenar,'' katanya.

Anak kelahiran Kluang, Johor ini juga masih ingat amanat pensyarahnya di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Machang Kelantan yang mengatakan bahawa minat orang muda sekarang lebih menjurus kepada kepada seni halus.

Maka tidak hairanlah andai pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Halus, UiTM Shah Alam, Selangor ini memilih cabang berkenaan sebagai panduan kariernya.

Pendapat itu turut disokong oleh seorang pereka bentuk, Nor Rasidah Dijai, 49, menyifatkan bahawa penganjuran sebegitu mampu membuka lebih banyak mata masyarakat agar terus menghargai seni.

Wanita yang mesra disapa Nora ini juga tidak kisah untuk bersaing dengan golongan muda dalam sebuah pertandingan kerana pertembungan idea tersebut amat berguna buat golongan pelukis.

Lantaran itu, dia meluahkan pandangannya menerusi lukisan berjudul Kembara Kehidupan yang menjadi sebahagian paparan pengunjung dalam pameran pada 22 Disember 2010 itu.

''Ini yang dinamakan campuran hidup. Boleh dilihat menerusi simbolik twister dan putaran warna yang pelbagai.

''Pengertian warna boleh diklasifikasikan. Contohnya, andai menggunakan warna terang, bermakna emosi pelukis ketika itu dalam keadaan tegang dan begitu juga sebaliknya kalau menggunakan warna lembut,'' ceritanya.

Apa pun, apa yang ingin ditonjolkan adalah keaslian sering menjadi fokus utama dan pameran sebegitu menjadi medan perkenalan serta ikatan yang kuat sesama artis.

Pameran Terbuka Pelita Hati 2010 turut 'menghidangkan' seni fotografi, arca dan video pegun bergerak kepada pengunjung.

Sebarang maklumat tentang Pelita Hati Gallery Of Art boleh didapati menerusi laman web www.pelitahati.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: