Monday, February 14, 2011

Kemodenan hilangkan identiti komuniti

Bercucuk tanam menjadi rutin yang diamalkan masyarakat Orang Asli.

KEPESATAN pembangunan seiring dengan kemodenan bukan isu atau masalah kepada Orang Asli.

Sebaliknya yang semakin terhakis ialah nilai dan identiti komuniti itu gara-gara arus kemodenan yang sukar dibendung.

Begitulah nasib yang dialami oleh Orang Asli suku Temuan yang sebelum ini menetap bertahun-tahun di Bukit Lanjan namun ditempatkan semula di Desa Temuan, Bandar Damansar Perdana bagi memberi ‘ruang’ kepada projek hartanah dan komersial.

Kordinator Pusat Prihatinan Orang Asli (COAC), Colin Nicholas berkata, golongan terbabit tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran moden tetapi apa yang menjadi masalah ialah jaminan masa depan mereka.

“Penempatan semula mereka di bandar dengan infrastruktur moden dan lengkap adalah wajar demi perubahan kehidupan lebih baik.

“Namun apa yang membimbangkan mereka sama ada usaha untuk mengekalkan identiti dan nilai komuniti mereka diteruskan atau dibiarkan pupus begitu saja,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.

Terdapat dua kategori Orang Asli di Bukit Lanjan iaitu mereka yang berasal di kawasan berkenaan tetapi bekerja di luar dan mereka berasal dari luar tetapi menetap situ.

Mungkin bukan masalah bagi Orang Asli yang sudah biasa kerja di luar tetapi bagaimana dengan mereka yang sebelum ini hanya bergantung kepada hasil hutan?

Maka tidak hairanlah sehingga kini masih ada antara mereka kembali ke hutan untuk mendapatkan sumber makanan atau pendapatan.

Colin berkata, segelintirnya sudah berpindah keluar dari Desa Temuan atau sekurang-kurangnya menjalani ‘aktiviti atau kehidupan lama’ ke kawasan lain.

“Antaranya adalah Sungai Buloh, Gombak, Sungai Batu dan Bukit Lenggong yang masih mempunyai penempatan Orang Asli,” katanya.

Menurut beliau, pada awalnya penempatan semula dari Bukit Lanjan ke Desa Temuan, Bandar Damansara Perdana dilihat sebagai model kepada pembangunan Orang Asli.

Namun selepas lebih sedekad, jelasnya, apa yang dilihat adalah pembangunan lebih memfokuskan kawasan sekeliling bagi projek hartanah dan komersial.

Segelintir Orang Asli di Desa Temuan 'kembali' mandi menggunakan air bukit ekoran bekalan air di rumah terputus kerana tidak menjelaskan bil tertunggak. Mereka tidak biasa membayar bil.

“Benar, Orang Asli Temuan diberikan pampasan dan rumah tetapi usaha membantu mereka menyesuaikan diri daripada kehidupan lama tidak berterusan.

“Ini melibatkan peranan Lembaga Adat serta ketetapan sebenar dari segi tanggungjawab Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),” katanya.

Colin berpendapat, demi keprihatinan dan membela nasib Orang Asli Temuan yang hidup di bandar kuasa JKKK seharusnya diberikan sepenuhnya kepada komuniti itu.

Ini katanya, sebarang perubahan atau peralihan kehidupan sudah tentu tidak akan kembali seperti dahulu di mana mereka semua tinggal di dalam hutan di Bukit Lanjan.

“Bagaimanapun, nilai dan identiti mereka sebagai Orang Asli seharusnya diberikan jaminan dan usaha membangunkannya perlu dilakukan secara berterusan.

“Kuasa di sini bukan menidakkan kehidupan mereka tetapi perlu disesuaikan dengan kemodenan dan kepesatan pembangunan bandar serta pengukuhan komuniti,” ujarnya.

Tambahnya lagi, ini melibatkan perhubungan sosial bagi Orang Asli supaya tiada pengaruh tidak baik sehingga menjejaskan atau memburukkan keadaan sama ada kepada individu atau komuniti itu secara menyeluruh.

Justeru Colin berkata, luahan rasa tidak puas hati atau kemarahan Orang Asli Temuan bukan disebabkan pembangunan persekitaran tetapi jaminan nasib mereka.

“Sama ada kerajaan atau pemaju, jika benar-benar mahu menjadikan Orang Asli di Desa Temuan sebagai model kepada pembangunan komuniti, maka seharusnya usaha itu perlu dilaksanakan secara luar dan dalam bukan sekadar infrastruktur semata-mata,” katanya.

Menurut beliau, Orang Asli juga seperti orang lain yang mempunyai hak. Identiti dan nilai komuniti mereka itu adalah hak yang perlu dipertahankan.

“Berikanlah mereka ‘kuasa’ untuk membentuk pengurusan sosial lebih baik dalam komuniti itu termasuk membantu menyesuaikan diri dengan persekitaran semasa.

“Bantuan itu perlu digerakkan kepada mereka yang benar-benar telus dan menjalankannya agar usaha tidak separuh jalan,” katanya yang mewakili NGO membela nasib Orang Asli di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: