![]() |
| Azizan Abdul Razak menyambut ketibaan sebahagian daripada pelajar-pelajar Kedah yang baru pulang dari Mesir di Alor Setar, kelmarin. |
ALOR SETAR 11 Feb. - Kerajaan Pas Kedah sedia bekerjasama dengan Kerajaan Pusat iaitu membenarkan penuntut jurusan Pengajian Islam Universiti Al-Azhar, Mesir menduduki peperiksaan di pusat pengajian tinggi miliknya iaitu Kolej Universiti Insaniah (Kuin).
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang juga Pengerusi Kuin berkata, kolej tersebut memiliki kemudahan yang lengkap termasuk 16 pensyarah yang dipinjamkan dari Universiti Al-Azhar.
"Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi membuat pengumuman sedang berusaha untuk membuat penyelarasan dengan Universiti Al-Azhar untuk membolehkan penuntut menduduki peperiksaan di mana-mana pusat pengajian tinggi dalam negara.
"Kuin ada hubungan dengan Universiti Al-Azhar, malah kita ada 16 pensyarah yang dipinjamkan dari universiti itu. Jadi, kalau pihak Al-Azhar bersetuju kita akan bekerjasama," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menyambut kepulangan kumpulan pertama 30 penuntut Kedah dari Mesir di Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) di sini, semalam.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul dan Pengurus Besar YINK, Abdul Rahman Ismail.
Azizan menambah, kemudahan tersebut bagaimanapun hanya untuk jurusan Pengajian Islam meliputi Bahasa Arab, Syariah dan Usuluddin.
"Bagi kursus lain seperti perubatan dan kejuruteraan tidak dapat disediakan kerana Kuin tidak mempunyai kemudahan dan kelengkapan untuk tujuan itu," katanya lagi.
Menyentuh tentang perkembangan penuntut Kedah di Mesir kata beliau, setakat ini hanya tinggal lebih 300 penuntut terbabit masih berada di Jeddah, Arab Saudi untuk dibawa pulang ke tanah air.
"Kita menjangkakan selewat-lewatnya hujung minggu ini kesemua penuntut terbabit akan pulang ke tanah air," tambah beliau.
Sehingga kini kira-kira 800 penuntut Kedah di Mesir membuat keputusan pulang ke tanah air, sementara 30 orang memilih untuk terus tinggal di negara bergolak itu.
Dalam pada itu salah seorang penuntut perubatan dari Universiti Ainshams, Ain Syuhada Saadon, 18, berkata, pengalaman berada di negara bergolak itu sangat menakutkan walaupun asrama Rumah Darul Aman yang didiaminya terletak jauh dari lokasi rusuhan di Dataran Tahrir, Kaherah.
"Baru empat bulan di Mesir jadi begini pula. Walaupun tempat yang didiami selamat, namun kita tidak tahu apa yang bakal berlaku. Lagipun saya bersetuju untuk pulang kerana tidak mahu merisaukan hati keluarga," katanya yang berasal dari Mergong di sini.
Penuntut tahun satu kursus Bahasa Arab Universiti Al-Azhar, Noor Haslina Md. Saad, 24, berkata, demonstrasi di depan asrama kediamannya di Rumah Darul Aman 3 beberapa hari selepas rusuhan berlaku, sedikit sebanyak menimbulkan rasa tidak selamat.
"Oleh itu kami mengambil keputusan untuk pulang walaupun susah hati memikirkan peperiksaan tidak lama lagi," katanya yang berasal dari Kota Kuala Muda.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: