AKIM dan Stacy.
SEJAK akhir-akhir ini ramai peminat berbicara mengenai hubungan intim yang kononnya wujud antara dua bintang Akademi Fantasia (AF), Stacy dan Akim.
Kali ini, dalam suasana yang lebih mesra serta dipenuhi babak gelak-ketawa, masing-masing sekali lagi memaklumkan bahawa antara mereka sememangnya persahabatan yang terjalin. Cinta atau kekasih? Mungkin ia begitu keramat untuk diakui, membuatkan dua anak muda ini selesa menggunakan perkataan "kawan karib" sebagai ganti.
Meskipun begitu, tatkala diusik pertanyaan apakah tidak timbul rasa cemburu sekiranya tiba-tiba si jejaka mempunyai rakan wanita lain, Calon akhir Penyanyi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2020), Stacy tanpa berselindung mengaku pastinya dia akan berasa begitu.
"Saya tentu akan berasa cemburu jika ada kawan wanita yang ingin merapati Akim, kerana kami memang berkawan rapat ketika ini," kata pemilik nama sebenar Stracie Angie Anam ini sambil tertawa kecil.
Walaupun mereka ada keluar bersama, namun ia tidak bermakna dia dan Akim menjalinkan hubungan cinta.
"Agaknya, perhubungan kami belum sampai ke tahap bercinta. Buat ketika ini, kami lebih selesa berkawan saja. Bercinta itu mungkin hanya selepas saya berkahwin. Saya sendiri pun masih muda, belum bersedia untuk memberikan tumpuan kepada cinta kerana bimbang rentak kehidupan saya berubah jika berbuat begitu. Maklumlah, saya pernah mengalaminya ketika bersekolah dulu.
"Bersama Akim, saya boleh berkongsi pelbagai cerita. Kami memang serasi dan ‘satu kepala’. Akim ialah kawan yang cukup baik dan juga kawan saya yang baru.
Saya pula memang tidak mempunyai ramai kawan. Semua kawan baik di Sabah juga sudah berkahwin, jadi perhubungan kami agak terbatas sedikit, tidak seperti dulu," ujar penyanyi Jahat ini.
Sekali lagi diusik pertanyaan berhubung kualiti yang dimiliki Akim membuatkannya senang bertemankan jejaka itu, Stacy dengan pantas memberitahu, anak muda berkenaan bukan saja bersikap gila-gila sepertinya, malah dia juga tidak kedekut.
"Saya tidak suka lelaki yang control macho atau terlalu menjaga perlakuan mereka sehingga kelihatan tidak menjadi diri sendiri," katanya yang berduet dengan penyanyi terbabit menerusi lagu Jahatnya Cinta, gabungan lagu Jahat nyanyian asal dirinya dan Inilah Cinta oleh Akim, yang menjadi lagu kempen ‘Lafazkannya dengan stail Conetto’.
Menurut Stacy, bukan dia takut untuk mengaku mereka ialah pasangan kekasih kerana pada hakikatnya, kedua-duanya hanya sahabat baik.
Menjawab pertanyaan mengenai reaksi keluarga terhadap gosip yang mengaitkan mereka berdua, penyanyi berusia 21 tahun itu berkata, orang tuanya tidak kisah, cuma ada kalanya si ibu rimas mendengar cerita sebegitu.
Seandainya dirinya benar-benar bertemu jodoh dengan jejaka beragama Islam, apakah Stacy juga bersedia untuk menukar kepercayaannya nanti?
"Ibu juga selalu berpesan, fikirlah betul-betul kalau memang ketentuan seperti itu berlaku. Dia tidak mahu saya menukar agama hanya kerana suka-suka. Maklum saja, saya masih begitu muda. Namun begitu, saya sendiri belum terfikir sampai ke tahap itu. Saya tetap takut sekiranya saya membuat keputusan yang tidak betul, pada usia sebegini," ujarnya.
Mengenai perkembangan terbaru karier seninya pula, Stacy yang berharap dapat kembali menyambung pengajian peringkat diplomanya dalam bidang muzik di Universiti LimKokWing berkata, dia bakal muncul bersama single seterusnya, kali ini berentak balada berjudul Kisah Dongeng. Lagu itu antara judul yang bakal dimuatkan dalam album kedua, yang dijangka menemui peminat sekitar Jun tahun ini.
Masih bekerjasama dengan Edry Abdul Halim, kata Stacy, album terbabit berkemungkinan besar turut memuatkan ilham cipta komposer lain. Selain Kisah Dongeng, dia juga sudah pun merakamkan lagi berjudul Di Penghujung, juga karya Edry.
Bukan untuk perempuan saja
SEPERTI mana Stacy, Akim yang juga pemenang tempat ketiga AF7 ini mengaku tiada jalinan cinta antara dirinya dengan gadis kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu. Sebaliknya mereka lebih senang berkawan baik.
"Kami bersikap profesional dalam kerjaya masing-masing. Apabila ditawarkan sebagai duta ais krim ini, kami cuba melaksanakan tugas itu sebaik mungkin.
Gosip mengaitkan kami mungkin turut menyumbang kepada pemilihan saya dan Stacy.
“Begitupun, bukanlah saya yang mencadangkan namanya kepada pihak terbabit. Saya pun tidak tahu khidmat saya akan disambung setahun lagi. Syukurlah mereka masih ingin bekerjasama dengan saya buat tahun kedua," kata Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 20.
Akim juga teruja apabila diminta berduet dengan Stacy menyanyikan lagu tema kempen terbaru jenama terbabit. Malah dia tidak mempunyai masalah untuk terus berduet dengan penyanyi wanita itu seandainya peminat menyukai kerjasama itu.
"Begitupun, rakan duet saya seterusnya bukan dengan Stacy, tetapi Fiq Mentor. Kami berduet menerusi lagu Mesti Ada Cinta. Mesti ada yang pelik apabila dua penyanyi lelaki menyanyikan lagu cinta seperti ini. Namun, cinta bukanlah kepada perempuan semata-mata, sebaliknya ia juga boleh merujuk kepada cinta kita kepada Tuhan dan keluarga," kata Akim yang turut berbakat sebagai pencipta lagu, dengan penyanyi pertama bakal merakamkan ciptaannya ialah Emma AF8.
Penyanyi lagu Bengang ini menganggap lagu Jahatnya Cinta cukup pelik tetapi menarik, apabila ia menyaksikan gabungan dua rentak berbeza yang akhirnya begitu menjadi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: