Saturday, February 12, 2011

Karnival Kenali Malaysia


Mengukur kelapa turut dijadikan salah satu aktiviti karnival.


SEKOLAH adalah tempat untuk kita menimba ilmu. Tidak kiralah sama ada ia diperoleh dari dalam atau luar bilik darjah, kedua-duanya sama penting dan berkait rapat antara satu sama lain.

Ilmu itu membina dan memupuk semangat perpaduan di kalangan pelajar. Ia bukan hanya diajar dalam kelas melalui mata pelajaran Sivik dan Sejarah tetapi juga melalui aktiviti sukan dan rekreasi di luar bilik darjah.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Damai Perdana, Cheras, Selangor, telah mengambil inisiatif menganjurkan karnival Kenali Malaysia sebagai satu aktiviti luar bilik darjah.

Pengetuanya, Norlia Asha‘ari berkata, karnival ini diharapkan dapat membentuk sikap faham-memahami dan bertolak-ansur dalam memupuk perpaduan di kalangan pelajar yang berbilang bangsa dan kaum.

Beliau percaya sikap sedemikian mampu membentuk modal insan yang selaras dengan gagasan Satu Malaysia di masa depan.

“Memberi pendedahan kepada murid-murid mengenai kepelbagaian budaya yang ada di Malaysia dari segi pakaian, masakan, amalan, agama dan adat istiadat.

‘‘Selain itu, memberi kesedaran kepada pelajar bahawa perpaduan adalah tonggak utama pembentukan negara bangsa Malaysia,” katanya ketika diitemui di tapak karnival Kenali Malaysia di SMK Bandar Damai Perdana, baru-baru ini.

Menariknya aktiviti kokurikulum selama setengah sehari dan bermula pukul 7.30 pagi itu mewajibkan setiap pelajar menyumbang bahan masakan seperti bawang besar, serai, halia, bawang merah, bawang putih dan telur.

Para pelajar juga diwajibkan memakai pakaian tradisional mengikut kaum masing-masing.

Memeriahkan aktiviti itu lagi, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut menyumbang tenaga dan wang menyediakan bahan masakan lain di samping membantu memasak makanan tradisional setiap kaum.

Kata Pengerusi Karnival Kenali Malaysia, Yusup Hamid, pihaknya telah mengagihkan bahan masakan yang perlu dibawa oleh pelajar mengikut tingkatan.

Menerusi sumbangan itu, karnival itu dapat mengumpulkan lebih kurang 1,000 biji bawang besar, 1,000 batang serai dan 1,000 biji halia.

Turut dikumpul adalah 3,000 ulas bawang merah dan putih serta 500 biji telur.

Yusup berkata, ada beberapa masakan seperti lemang dan dodol perlu dimasak sehari sebelum karnival bermula.

Selain lemang dan dodol, masakan tradisional lain adalah kuih kapit, kuih bahulu, nasi minyak, capati, kuah kari dan wade.

Aktiviti karnival itu turut dimeriahkan dengan pameran kebudayaan yang merangkumi pakaian, kesenian dan perayaan mengikut kaum, termasuk budaya bumiputera.

Tidak ketinggalan persembahan kebudayaan yang membabitkan dikir barat, zapin, tarian naga, tarian lilin, sumazu, bangra dan kol attam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: