BELUM BERSEDIA...Fouziah tahu hukum bertudung itu wajib bagi setiap wanita.
CERITA sensasi sering mengiringi perjalanan seninya. Dikaitkan dengan orang kenamaan, suami orang malah dilabel anak emas stesen tertentu. Tidak cukup dengan itu, teka-teki hubungannya dengan pelakon popular turut menjadi perhatian.
Sejak melangkah ke dunia lakonan melalui siri Cinta Medik arahan Prof Madya A Razak Mohaideen kemudian Enigma, nama Fouziah Gous mula mendapat perhatian. Selepas enam tahun, Fouziah terus mengukuhkan tapaknya dalam lakonan dengan memastikan watak diserahkan memberi kesan kepada penonton.
Dalam kata lain, Fouziah atau nama sebenar, Nor Fouziah Mohd Gous, 28, kini lebih selektif memilih watak kerana tidak mahu tampil dengan watak sama dan pernah dilakukan sebelum ini. Katanya, dia melangkah ke dunia lakonan tanpa asas kerana sebelum itu menjadi pramugari dan mengikut apa saja watak diberikan kepadanya.
"Tapi kalau tiada Prof Razak, tentu saya tidak dikenali seperti sekarang. Apabila sudah beberapa tahun menjadi pelakon dan berpeluang bekerja dengan pelakon hebat seperti Datuk Rahim Razali dan Rosyam Nor, timbul keinginan untuk menyelami dan memahami dunia lakonan itu.
"Dulu saya tidak diberi peluang pegang watak berat tetapi saya tahu mampu melakukannya dengan belajar memahami lakonan. Saya juga tidak kisah sering berlakon untuk drama televisyen ataupun filem.
"Bagi saya, apa yang lebih penting ialah karakter dan menantikan tawaran watak berat dan mencabar seperti masalah emosi. Saya suka mencabar diri saya dengan melakonkan watak yang belum pernah saya lakukan sebelum ini," katanya.
Pelakon jelita berdarah kacukan Melayu, Pakistan dan Cina ini meluahkan rasa bangganya kerana menjadi pilihan stesen TV Al Hijrah untuk watak utama drama 12 episod, Kala Terbit Cinta.
Drama terbitan Global Station Sdn Bhd dan arahan Amie Maziah itu disiarkan setiap Rabu, Khamis dan Jumaat sepanjang bulan ini. Turut berlakon, Adi Putra, Rozie Rashid dan Riezman Khuzaimi.
Katanya, sememangnya dia tidak mampu menolak tawaran membintangi drama ini kerana tahu ada peraturan tertentu yang perlu dipatuhi.
"Bagi saya, ia sesuatu yang berbeza dan mencabar. Saya juga difahamkan, stesen ini sangat mementingkan siapa pelakon yang menjayakan drama mereka dan mereka yang dikaitkan dengan kontroversi tidak digalakkan. Bagi saya, ini satu penghormatan besar buat saya.
"Walaupun perlu mematuhi syarat ditetapkan, saya tiada masalah. Cuma ketika babak saya tidak bertudung, pakaian tetap tidak boleh menampakkan bentuk badan dan saya cuba pakai baju longgar tetapi masih sesuai dengan watak Juliana yang digambarkan menjalani kehidupan bebas. Untuk nampak remaja, saya ikat rambut dengan skaf serta pakai subang besar bersama kardigan labuh atau pakai topi," katanya.
Kata Fouziah, watak bertudung sudah selalu dijayakannya tetapi kali ini berbeza kerana ada peraturan dan etikanya. Tudung dipakai hendaklah labuh menutup dada manakala pakaian pula tidak menampakkan bentuk badan."Saya cuba mewarnai watak saya untuk drama ini dengan mencari fesyen tudung dan pakaian sesuai mengikut peraturan ditetapkan. Saya banyak berjubah hitam tetapi cuba warnakan penampilan saya dengan tudung warna cerah seperti hitam dan merah.
"Lebih membanggakan, ada pihak yang sudi menaja tudung untuk kemunculan saya dalam drama ini. Butik Zaliana di Axis Atrium, Pandan Indah menghasilkan tudung khas untuk saya, siap dinamakan FG, sempena nama saya.
"Selepas ini saya akan menjayakan drama Tahajut Cinta arahan Erma Fatima yang memerlukan saya tampil berpurdah. Saya tidak sabar menantikan penggambarannya kerana ini sesuatu yang mencabar kerana orang tidak nampak ekspresi saya kerana berpurdah," katanya.
Fouziah juga menafikan dia menjadi kesayangan stesen TV3 sebagaimana diperkatakan orang kerana tidak banyak drama dijayakannya untuk stesen itu berbanding untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM).
"Pada awal kemunculan dulu, saya berlakon Enigma untuk slot Samarinda di TV3 tetapi selepas itu tidak banyak. Kalau ada pun, bukan watak utama seperti Spa Q dan tahun lalu Penunggu Gunung Raya," katanya.
Akuinya, penampilan bertudung juga sudah sinonim dengan lakonannya walaupun realitinya, tidak bertudung. Dirinya juga tahu bertudung itu wajib bagi setiap wanita Islam tetapi buat masa ini belum bersedia ke arah itu.
"Saya sedar banyak dugaan yang harus ditempuh apabila bertudung dan saya tidak mahu pakai tudung tetapi tidak kekal. Kalau pakai biarlah berterusan dan bukan pakai seperti fesyen.
"Niat bertudung memang ada tapi saya takut kerana sedar menjadi artis sering dijadikan contoh oleh masyarakat dan mahu jadi contoh yang baik. Saya sedar ia satu tanggungjawab besar dan saya belum berani mengambil risiko itu.
"Saya selalu ingat kata-kata ustazah mengatakan berdosa tidak pakai tudung tetapi lagi besar dosanya jika pakai tudung kemudian tidak memakainya," katanya.
Anak bongsu daripada lima beradik ini berkata, keinginan bertudung sudah timbul ketika di tingkatan lima dan sempat bertudung ketika itu. Malah sebelum menceburi lakonan, dia lebih dulu menjadi model menggayakan fesyen tudung untuk majalah.
"Alhamdulillah, rezeki saya bermula dengan tudung malah saya mula dilamar menjadi pelakon oleh Prof Razak ketika melihat gaya saya sebagai model bertudung dan kini saya sering diberi watak bertudung," katanya.
>PROFIL
NAMA: Nor Fouziah Mohd Gous
TARIKH LAHIR: 11 Disember 1982
TEMPAT LAHIR: Hospital Kuala Lumpur (HKL)
STATUS: Bujang
KELUARGA: Bongsu daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Diploma Kesetiausahaan (BSC), Kolej Systematic
KERJAYA: Model dan pelakon
DRAMA: Cinta Medik, Enigma, Demi, Sanggar Saadah, Qa'naah, Impak Maksima The Series, Otai The Series, Pencak Akhir, Anak Mami, Kain Ketat dan SpaQ 2
FILEM: Bujang Senang, Malaikat Maut, Otai, Sifu dan Tongga, Rasukan Ablasa, Skrip 707
PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Popular (Anugerah Shine Pantene) di ASK2007
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: