![]() |
| Mungkin bagi nelayan Pulau mabul, apa saja yang ada dalam laut adalah rezeki. Pihak berkuasa bertanggungjawab untuk memberi tunjuk ajar kepada mereka. |
GONG XI FA CAI. Selamat Tahun baru Cina Bidai ucapkan kepada pembaca setia ruangan ini dan semua rakyat Malaysia tidak kira bangsa Cina, India, Melayu, Punjabi, Kadazan, Murut, Orang Asli, Bajau dan semualah.
Sekarang perayaan di negara ini disambut oleh semua, tidak kira kaum, bertepatan dengan semangat 1Malaysia.
Bidai pun suka dengan keadaan ini sebab Bidai berpeluang untuk meraikan bersama-sama rakan-rakan Bidai yang berlainan agama dan kaum.
Bercakap mengenai Bajau pula, terutama Bajau Laut yang ramai menghuni di pantai timur Sabah terutama di Semporna dan Pulau Mabul, mereka merupakan satu kaum yang unik.
Bukan hanya terdapat di negara ini, Bajau Laut turut menghuni selatan Filipina dan Indonesia terutama di Kalimantan dan Sulawesi.
Apa pun bukan Bidai ingin menceritakan keunikan dan sejarah mereka kali ini namun sempena Tahun Baru Cina ini Bidai agak kecewa dengan satu insiden yang berlaku di pulau berkenaan.
Baru-baru ini, seorang rakan forum (http://bit.ly/ikanyumati) selam skuba Bidai telah memuat naik beberapa keping gambar yang agak mengganggu peminat hobi selam skuba seperti kami.
Pada mulanya Bidai ingat dia hanya memuat naik gambar ikan yu yang dipancing nelayan Pulau Mabul dan Bidai kurang ambil peduli mengenai hal itu.
Ye lah, tidak ada salahnya menaikkan ikan yu itu jika mereka tahu mengenai saiz dan kapasiti yang dibenarkan.
Malah, Bidai hormat kerja seharian mereka di situ kerena itulah sahaja mata pencarian saki baki nelayan yang ada di pulau berkenaan.
Kebetulan pula keadaan jalur lebar di kawasan perumahan Bidai ketika itu seperti nyawa-nyawa ikan walaupun terpampang iklan penyedia perkhidmatan di segenap ceruk yang mengatakan itulah 'jajahan takluk' mereka.
Jadi disebabkan untuk memaparkan semua yang ada di forum tu lambat, dapatlah Bidai melihat satu gambar sahaja pada masa tu.
Gambar yang menunjukkan beberapa ikan yu sirip hitam yang dinaikkan. Standard lah, dah rezeki mereka. Malah itupun kerja yang pernah dilakukan oleh datuk nenek mereka sejak berzaman dahulu.
Tapi selepas beberapa hari, terima e-mel daripada admin forum berkenaan dan merayu untuk dilakukan sesuatu.
Terfikir juga Bidai, mungkin ada yang tak kena. Jadi forum tadi Bidai buka semula di kawasan yang bukan 'jajahan takluk' penyedia perkhidmatan yang satu tu.
Kali ini gambar yang dimuat naik semakin banyak. Lebih mengejutkan, gambar-gambar yang dipos itu turut mengganggu.
Ikan-ikan yu yang dinaikkan itu hanya akan diambil siripnya sahaja.
Namun tidak ada bukti bahawa keadaan itu terjadi disebabkan gambar-gambar berkenaan tidak menunjukkan sirip-sirip ikan berkenaan dipotong dan badannya dibuang semula ke laut.
Tetapi yang menggusarkan Bidai adalah jumlah dan keadaan ikan itu dinaikkan.
Ada yang besar dan ada yang kecil.
Malah ada yang masih bayi di mana keadaan sirip yang masih belum tumbuh dengan sepenuhnya turut menjadi mangsa nelayan di Pulau Mabul.
Bidai terfikir dengan keadaan ini. Bidai tak mungkin akan salahkan nelayan di situ kerana sama seperti pendirian Bidai pada awal tulisan di ruangan ini, mereka hanya mencari sesuap nasi.
Ini sebenarnya silap pihak berkuasa terutama Jabatan Perikanan.
Bidai tidak tahu sama ada Jabatan Perikanan Malaysia yang kini diketuai oleh Datuk Ahamad Sabki Mahmood boleh menjalankan penguatkuasaan di bahagian Borneo jugak?
Ini disebabkan ada beberapa agensi kerajaan yang mempunyai arahan berasingan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Kalau tidak, maka Pelan Tindakan Kebangsaan Bagi Pemuliharaan dan Pengurusan Ikan Yu Malaysia (NPOA-Shark Malaysia) yang diwujudkan pada tahun 2006 tidak sampai ke kumpulan sasar.
Ini disebabkan banyak kali juga Bidai menerima e-mel dan panggilan dari rakan-rakan penyelam yang mengatakan insiden sebegini berlaku setiap hari.
Pernah satu ketika dahulu Bidai turut menulis mengenai perkara ini dan ketika itu lebih teruk. Ikan-ikan itu diambil siripnya.
Yang agak menggusarkan Bidai ialah kawasan di mana ikan-ikan yu ini diperoleh.
Bidai menjadikan Pulau Sipadan yang amat berdekatan dengan Pulau Mabul sebagai lokasi menyelam setiap tahun, tanpa gagal.
Yu sirip hitam, yu sirip putih, yu tokeh, yu bodoh dan banyak lagi spesies yu menjadi subjek lensa fotografi dasar laut Bidai.
Di Pulau Sipadan dan Pulau Mabul, Bidai merasakan inilah lokasi bagi kebanyakan spesies yu untuk membiak dan mengawan.
Jadi insiden yang didakwa rakan-rakan Bidai berlaku setiap hari ini akan menggusarkan. Bidai amat berharap, Jabatan Perikanan melakukan sesuatu.
Malah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun dalam berita yang dikeluarkan di akhbar Daily Express Januari lalu turut mahukan Jabatan Perikanan menyiasat insiden itu.
Malah Pejabat Daerah Semporna juga diarahkan untuk bersama-sama menyiasat perkara itu disebabkan Pulau Mabul bukan di bawah tanggungjawab Taman-Taman Sabah namun menjadi lokasi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.
Jadi satu tindakan drastik perlu diambil. Tindakan penguatkuasaan bukan satu-satunya jalan penyelesaian.
Penerangan demi penerangan perlu diadakan supaya para nelayan faham akan duduk perkara.
Namun yang menjadi peliknya, resort-resort besar yang ada di pulau itu diam seribu bahasa. Makin lama makin banyak tumbuh namun dilihat tidak ramai yang mahu membantu pihak berkuasa.
Keuntungan dikaut namun tidak semua mahu memulangkan sedikit kepada penduduk setempat untuk melestarikan alam sekitar.
Fikirkanlah...

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: