LAYAN...teman atau pelanggan dalam perniagaan sering dilayan sebaiknya menerusi skil komunikasi dikuasai wanita ini.
SESUATU yang mencabar apabila terpaksa ke pelantar minyak yang jauh di tengah lautan dan terpaksa menyorok daripada rakan setugas terutama lelaki akibat masalah 'bengkak susu' kerana baru beberapa bulan melahirkan bayi.
Pengalaman itu tidak mampu dilupakan sampai bila-bila oleh Wirdalina Tauhed, 27, yang berkhidmat sebagai jurutera di sebuah syarikat cari gali minyak tersohor negara.
"Sebagai wanita yang baru bergelar ibu, tentunya agak sukar buat saya menyesuaikan diri dengan kerjaya yang terpaksa berdepan dengan ramai lelaki. "Apatah lagi dengan suasana di pelantar minyak yang tiada kawasan bersesuaian. Untuk itu, saya harus bijak mencuri masa yang sesuai kerana kalau tidak berbuat begitu, saya kesakitan menahan bengkak berpanjangan.
"Pengalaman selama empat bulan meninggalkan anak dan suami tercinta ketika bertugas di Kerteh, Terengganu dan terpaksa ke lokasi lain seperti Sabah, semuanya memerlukan persefahaman banyak pihak. Itulah mungkin pengorbanan diri terhadap kerjaya dan pengalaman berharga itu sebenarnya mematangkan saya," kata ibu kepada seorang anak lelaki, Muhammad Altamis Idraki Khairool Anwar yang kini berusia setahun setengah.
Sebagai jurutera projek, tugasnya sering dikelilingi lelaki terutama ketika berurusan dan meninjau kawasan atau platform minyak. Namun wanita yang berasal dari Johor Bahru ini mengakui persefahaman dalam kerjaya serta komitmen yang tinggi bukan penghalang kepada wanita untuk berjaya apatah lagi dengan mempertaruhkan segala keyakinan diri dan minat mendalam untuk kerjayanya itu.
"Tidak dinafikan kerjaya ini memang sesuatu yang amat saya gemari dan menjadi cita-cita sejak dulu lagi. "Seharusnya, kerjaya diletakkan di tahap teratas apatah lagi meletakkan kepercayaan orang terhadap keupayaan wanita bukan mudah. Jadi, saya berasakan inilah peluang bagi saya untuk memartabatkan wanita dalam bidang profesional."Bukanlah terlalu memperjuangkan soal feminisme tetapi cukup untuk saya katakan, jika sasarannya untuk berjaya, fokus terhadap kerjaya harus menjadi keutamaan. Jika lelaki boleh mengapa wanita sendiri harus menidakkannya?" katanya bangga dengan tugas disandangnya sejak lima tahun lalu.
Ditanya mengenai kerjayanya yang banyak berdepan pelanggan yang terdiri daripada bangsa asing, selain sikap profesional apa yang terpenting adalah penguasaan skil komunikasi yang turut menjadi ukuran penting."Dalam apa juga perkara dilakukan, keseronokan bekerja juga penting kerana tanpa minat untuk memastikan hasil kerjaya yang terbaik, tentunya ia tidak memberikan hasil memberangsangkan," katanya.
Mengenai persefahaman dengan suami, Wirdalina berterima kasih kerana dianugerahkan suami penyayang dan amat memahami minatnya yang mendalam terhadap kerjayanya itu.
"Suami saya terbabit dalam bidang geologi dan bekas penuntut Universiti Sains Malaysia, kebetulan kami bertugas dalam satu syarikat konglomerat yang sama. Untuk itu, tiada masalah bagi kami walaupun bidang kerjaya berbeza.
"Apa yang penting adalah sokongannya tidak berbelah bahagi terhadap kerjaya saya.
"Walaupun kami satu pejabat, kami hanya bertemu untuk makan tengah hari bersama itu pun jika masing-masing ada kesempatan. Jika ada masalah atau idea tertentu kami akan berbincang bersama untuk mencari penyelesaian terbaik," katanya yang tidak menduga pertemuan ketika lawatan kampus antara universiti membuka ruang jodoh mereka.
Sebagai wanita yang tidak tahu duduk diam, dia mengakui kini banyak membantu keluarga suami terutama ibu mentuanya menguruskan perniagaan berkaitan busana Muslimah sebagai stokis.
"Ibu mentua saya menjalankan perniagaan di Satok, Serian dan mendapatkan bekalan produk di Semenanjung. Memandangkan saya sendiri gemar melakukan kerja sambilan untuk produk tudung dan pernah menghiasi ruangan fesyen dalam beberapa majalah terkenal tanah air, secara tidak langsung saya terpanggil untuk menumpahkan idea untuk ibu mentua merealisasikan perniagaan ini di sana.
"Untungnya, pengalaman bergelar model busana Muslimah ini menemukan saya dengan pelbagai kenalan dan mendedahkan pengalaman yang berbeza daripada kerjaya saya. "Inilah seronoknya meneroka benda baru yang pasti membuka minda untuk terus berkembang seiring aliran semasa," katanya.
>PROFIL
NAMA: Wirdalina Tauhed
JAWATAN: Jurutera
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Telekomunikasi), Universiti Teknologi Malaysia, Johor
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Khairool Anwar Laksamana
ANAK: Muhammad Altamis Idraki Khairool Anwar
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: