Tuesday, February 15, 2011

Humaira raih pengalaman dalam D11


Kenangan bergambar bersama ahli keluarga selepas tamat latihan di Pulapol, Jalan Semarak.


SETIAP apa yang dilakukan oleh seorang insan itu pasti beroleh kejayaan jika mendapat restu kedua ibu bapa. Begitu juga dengan pemilihan sesuatu pekerjaan, restu dan galakan dari kedua ibu bapa amat perlu agar pekerjaan itu mendapat keberkatan.

Senario itu sama dengan calon gaya polis kali ini, Inspektor Humaira Zohdi berusia 27 tahun.

"Pada mulanya, keluarga tidak menggalakkan saya menceburi profesion polis walaupun mereka juga daripada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Namun, kerana minat sejak kecil untuk menjadi pegawai polis, mereka (ibu-bapa) setuju. Apatah lagi bila saya menerima tawaran menjalani latihan di Pulapol (Pusat Latihan Polis), di Jalan Semarak pada 17 Julai 2008.

"Ibu-bapa saya iaitu Allahyarham Asisten Komisioner Zohdi Hanafiah dan Puan Hairun merupakan individu yang paling gembira serta teruja menerima perkhabaran itu," katanya memulakan bicara.

Katanya, ketika itulah beliau sedar, walaupun pada mulanya ibu-bapanya tidak memberi galakan, jauh di sudut hati, mereka mahu anaknya mengikut jejak mereka.

"Atas alasan kerja ini mencabar dan membawa risiko keselamatan, mereka pada mulanya menentang keras niat saya itu.

"Apabila saya mendapat tawaran itu, mereka adalah orang paling sibuk menyediakan segala kelengkapan yang perlu dibawa selain nasihat dan tunjuk ajar," katanya.

Walaupun memiliki Ijazah dalam jurusan Teknologi Maklumat dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Humaira juga tidak kesal memilih profesion polis.

Jelas anak kedua dari enam beradik itu, beliau turut melalui saat-saat sukar sebelum bergelar pegawai polis.

Katanya, ketika berada di Pulapol Jalan Semarak, beliau dikejutkan dengan berita yang bapa kesayangannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat kanser.

Menceritakan lebih lanjut, Humaira berkata, sejurus menerima berita itu, beliau segera ke Hospital Kuala Lumpur dan mendapati bapanya terlantar di atas katil.

"Hati siapa yang tidak sedih melihat ayah sendiri menghidap kanser pada tahap keempat.

"Kami sekeluarga tidak tahu ayah menghidap kanser itu sehinggalah dua hari sebelum dia meninggal dunia," jelasnya sayu.

Bagaimanapun, jelas Humaira, sebelum bapanya menghembuskan nafas terakhir, beliau sempat berbisik ke telinga bahawa anak gadisnya itu akan menjaga keluarga mereka.

Bukan setakat itu, Humaira turut melafazkan ikrar akan menjadi seorang pegawai polis yang disegani selain membuktikan akan berjaya seperti bapanya.

"Ketika saya bisikan kata-kata itu di telinga ayah, dia membalas dengan anggukan dan saya cukup berpuas hati," ujarnya menahan sebak.

Jiwa wanita

Sambil tersimpul malu, anak kedua dari enam beradik itu secara terus terang memberitahu bahawa dia tidak mempunyai banyak pengalaman untuk dikongsikan bersama.

Ini kerana beliau baru sahaja bertugas selama setahun setengah di Cawangan Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Namun jelasnya, baru sahaja memulakan tugas di IPD PJ beliau diberi tanggungjawab menimba pengalaman terlibat secara langsung dalam 'Ops Kasih' membanteras pemerdagangan bayi pada Disember 2009.

Anak jati Temerloh, Pahang itu berkata, banyak perlu dipelajari hingga seperti berurusan dengan pihak Bukit Aman untuk menghantar laporan.

"Bila diceritakan ia nampak mudah. Namun apabila saya sendiri menyelesaikan laporan dan mengikuti operasi itu, ia sangat mencabar dan memerlukan ketahanan mental serta fizikal," ujarnya yang mempunyai kesemua adik beradik perempuan.

Humaira berkata, beliau masih mengingati satu kes yang dikendalikannya membabitkan penderaan seksual atas seorang mangsa di Petaling Jaya.

Katanya, perasaan sedih menyelubungi diri apabila mangsa disamun, dipukul dan dirogol oleh suspek yang merupakan kenalan rapat mangsa.

Keadaan mangsa yang lebam-lebam dan kesakitan akibat dipukul serta dirogol menyebabkan Humaira tidak mendesak untuk mendapatkan maklumat mengenai kes itu.

"Saya tidak mendesak mangsa menceritakan kejadian sebenar yang berlaku ke atas dirinya kerana dia masih berada dalam keadaan trauma," katanya kesal dengan kes-kes dera dan rogol di kalangan gadis-gadis.

Humaira memberitahu, kes-kes penderaan seksual dapat dielakkan sekiranya mangsa sentiasa berwaspada dalam berpakaian dan perilaku.

Persekitaran kerja

Berbangga kerana mempunyai 'bos' yang sangat prihatin terhadap anak-anak buah, Humaira bersyukur sering diberi peluang menyelesaikan kes-kes walaupun masih baru dalam pasukan.

Jelasnya, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed tidak pernah memilih bulu dan membeza-bezakan anak-anak buahnya dalam menyiasat sesuatu kes.

"Tuan Arjunaidi sering memberi peluang untuk anak-anak buahnya menimba pengalaman dan menjalankan siasatan sesuatu kes," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: