Sunday, February 6, 2011

Galactic Laser cetusan perang angkasa


RUANG pertempuran yang mirip kehidupan di kapal angkasa.


DENGAN langkah berhati-hati, setiap ahli kumpulan merah mara sedikit demi sedikit mendekati kubu musuh dalam keadaan gelap. Kadang kala ternampak kelibat beberapa cahaya yang samar sedang bergerak.

Bagaimanapun, kehadiran mereka berjaya dihidu pihak musuh yang terlebih dahulu mengatur langkah.

Setibanya mereka ke lokasi tersebut, kumpulan merah dihadiahkan dengan tembakan laser bertalu-talu dari lokasi tersembunyi mengakibatkan kumpulan tersebut berpecah menjadi dua kumpulan kecil.

Situasi semakin cemas apabila salah satu daripadanya dikepung dan komunikasi telah terputus manakala baki ahli kumpulan yang lain terpaksa berundur.

Melihatkan gerak geri kumpulan merah sedang berundur, pihak musuh mula turun satu persatu dengan pergerakan yang pantas disusuli serangan yang semakin pesat terhadap baki ahli kumpulan merah.

Tanpa disedari, pihak lawan telah diperdayakan dengan taktik pengunduran yang digunakan oleh ahli kumpulan merah yang sebenarnya sedang mengambil peluang untuk bersembunyi sementara menunggu perkiraan masa selama tiga saat untuk kembali semula ke medan perang.

Taktik tersebut nyata berjaya memperdayakan pihak musuh apatah lagi setiap posisi persembunyian memberikan kelebihan buat mereka.

Apabila kesemua cahaya kuasa di dada setiap ahli kumpulan merah kembali menyala maka permainan perang angkasa pusingan kedua bermula dan dalam masa yang singkat kesemua musuh berjaya diatasi dengan mudah.

Itulah antara situasi yang dirasai penulis ketika mencuba siri permainan Super Charge di Galactic Laser, Tingkat 3, Mid Valley Megamall baru-baru ini bersama beberapa kenalan yang aktif dalam bidang penulisan blog.

Pengalaman merasai situasi dunia realiti alam maya menerusi permainan empat dimensi itu menyeronokkan kerana ia sentiasa berubah-ubah.

Adakalanya ia mencemaskan dan dalam sekelip mata ia boleh bertukar kepada situasi mendebarkan lebih-lebih lagi ketika terkejut apabila pihak lawan berada tiba-tiba dihadapan anda.

peralatan pistol laser

Malah peralatan pistol laser yang digunakan dalam permainan tersebut agak memeranjatkan penulis kerana ia amat mirip dengan apa yang digunakan oleh Hans Solo dalam babak filem blokbuster, Star Wars.

Walaupun rupa pistol itu kelihatan seperti alat permainan, cahaya laser yang ditembak olehnya kelihatan amat realistik dan ia seolah-olah membawa penulis ke dalam permainan video.

Tetapi kelainan yang ditampilkan oleh Galactic Laser agak berlainan kerana ia lebih menyerupai dengan permainan strategik seperti Half Live yang telah direalitikan dalam sebuah permainan yang tampak menyerupai dengan Paint Ball.

Bezanya, Galactic Laser tidak menyakitkan dan sesiapa yang ditembak hanya perlu menunggu tujuh saat untuk kembali berperang.

Bagi mereka yang ingin merasai pengalaman perang angkasa bolehlah mencuba pengembaraan tersebut dalam ruangan mirip kapal angkasa terbengkalai.

Medan perang tiga tingkat yang digunakan dalam permainan itu meliputi keluasan 6,000 kaki persegi dan ia turut dilengkapi dengan pelbagai lokasi yang sesuai untuk digunakan ketika serangan hendap di kubu, lorong dan beberapa anak tangga.

Di ruangan tersebut, para peserta berpeluang untuk bergerak dari tingkat atas ke bawah ketika sedang mencari lokasi persembunyian pihak musuh yang dibahagikan mengikut warna pada cahaya lampu di dada dan bahu setiap peserta.

Sebelum memasuki pintu ke ruangan medan perang, setiap peserta akan disajikan dengan sebuah tayangan video yang akan menerangkan arahan dan langkah yang perlu diambil ketika permainan bermula.

Selepas itu, setiap peserta akan memakai anak baju elektronik yang disediakan bersama dengan pistol laser.

Apabila warna pada anak baju elektronik tersebut menyala secara tak langsung setiap peserta telah dibahagikan mengikut warna pada lampu cahaya di dada dan bahu.

Setiap peserta juga dikehendaki mengakseskan diri masing-masing melalui kad RPG yang membolehkan anda mengumpul mata dari setiap permainan.

Melaluinya juga, anda berpeluang untuk meningkatkan tahap kemahiran dan senjata yang digunakan dalam permainan akan datang.

Apabila peserta mula masuk ke ruang yang disediakan, maka permainan secara tak langsung bermula dan pada masa itu, setiap peserta perlu mencari kubu masing-masing ataupun mencari lokasi yang sesuai untuk menyembunyikan diri.

Ada juga setengah daripada peserta suka berada di tingkat atas kerana mudah untuk menyerang musuh yang bergerak di bawah, tetapi keselamatan mereka tidak terjamin kerana setiap penjuru boleh ditembusi dengan pelbagai taktik dan helah yang boleh digunakan bergantung kepada kebijaksanaan ahli kumpulan masing-masing.

Walaupun permainan itu menggunakan cahaya laser, cahaya tersebut tidak membahayakan keselamatan peserta terutamanya jika terkena dibahagian mata.

Ini kerana, cahaya laser yang digunakan hanyalah cahaya infra merah jalur lebar untuk menentukan keadaan pemain.

Jika peserta ditembak, maka cahaya lampu di dada dan bahu peserta akan terpadam secara automatik dan ia menandakan yang peserta tersebut telah mati.

Bagaimanapun, setiap peserta boleh kembali semula ke medan perang setelah menunggu perkiraan masa selama tujuh saat dan setiap pusingan boleh memuatkan 30 peserta dalam satu masa.

Menariknya, selepas setiap permainan berakhir anda berpeluang melihat kiraan mata yang berjaya dikutip menerusi setiap siri permainan tersebut.

Malah rekod mata itu boleh disimpan dalam kad RPG untuk ditebuskan dengan keupayaan yang telah dipertingkatkan selain senjata yang lebih canggih.

Pengarahnya, Nick Yau berkata, setiap siri permainan Galactic Laser menampilkan keunikan misi yang berlainan dalam ruang berhawa dingin sepenuhnya.

“Setiap siri permainan memberikan pengalaman yang berbeza-beza kerana setiapnya telah diprogramkan untuk memberikan cabaran pada peserta dengan tahap-tahap yang tertentu.

“Malah kesemua mata dan keupayaan dalam perlawanan sebelumnya boleh disimpan bagi meningkatkan kemahiran dalam peringkat yang seterusnya seperti yang terdapat dalam mana-mana permainan video,” katanya.

Menurutnya, permainan itu juga sesuai dimainkan bersama ahli keluarga dan teman sekerja kerana Galactic Laser tidak membezakan di antara jantina apabila ia datang kepada permainan yang sedemikian.

Selain permainan pistol laser, Galactic Laser turut menyediakan ruangan bilik karaoke, permainan arkid dan bilik istirehat yang boleh digunakan untuk sebarang jamuan mahupun untuk aktiviti bina semangat.

Untuk maklumat lanjut mengenai pakej yang disediakan di Galactic Laser, sila layari laman web www.galacticlaser.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: